Jumaat, 6 November 2009

Jambatan Pergigian sama dengan Jambatan Pulau Pinang?

Semalam saya berhubung dengan seorang rakan lama. Beliau merupakan sahabat saya semasa sekolah rendah dan kini bertugas sebagai seorang Jurutera. Dalam perbualan kami, satu persoalan yang dilontarkan adalah berkaitan dengan bidang saya dan bidang kerjanya. Dia mengatakan bahawa pernah terlihat satu blog yang membincangkan tentang Jambatan Pergigian tetapi tidak menelitinya dengan betul.


Pada hematnya, Jambatan Pergigian adalah sama strukturnya dengan Jambatan Pulau Pinang. Ia bermaksud bagi sesuatu Jambatan yang hendak dibina, ia memerlukan sungai atau air di bawahnya, memerlukan tiang yang kukuh dan perlu ada pengiraan yang sesuatu untuk jambatan itu kukuh dan tidak mudah roboh.

Pandangan beliau amat saya hargai. Ia sememangnya pendangan bukan sahaja dari seorang jurutera tetapi ramai yang di luar sana membayangi maksud yang sama. Secara asasnya, jambatan memerlukan tiang dan di bawah jambatan terdapat rongga yang akan dilalui oleh sesuatu seperti air. Contohnya, Jambatan Pulau Pinang.

Dalam bidang pergigian, dengan asas yang sama tetapi diaplikasi mengikut kesesuaian keadaaan di dalam mulut. Tujuan utama jambatan pergigian dibina adalah mengantikan gigi yang telah hilang samada disebabkan oleh rosak atau dicabut. Maksudnya, satu batang atau beberapa gigi telah hilang dan masih terdapat gigi kekal yang lain di dalam rongga mulut. Gigi yang masih ada di antara ruang kosong tersebut akan dijadikan tiang atau lebih dikenali sebagai gigi tumpang.

Di bawah jambatan pergigian, terdapat ruang dimana menjadi laluan kepada cecair makanan atau air semasa berkumur. Ruang tersebut juga merupakan ruang pembersihan dengan cara melalukan flos pergigian khas di bawah jambatan pergigian. Pembersihan ini penting agar gusi tidak membengkak dan radang.

Kebaikan penganti gigi ini adalah tidak seperti gigi palsu yang perlu ditanggalkan dan dibersihkan serta direndam di dalam bekas berair pada setiap malam. Jambatan pergigian ini akan tetap kekal di dalam mulut dan membuatkan pemakai tidak merasa kehilangan gigi.

Prosedur yang dilakukan:

1. Pesakit diminta datang ke klinik selepas sebulan membuat cabutan.
2. Setelah gusi gigi yang telah dicabut didapati sihat, doktor gigi akan memeriksa pula gigi bersebelahannya samada bergoyang dan gisu sekelilingnya sihat serta tidak berkaries (walaupun terdapat tampalan).
3. Perbincangan akan dimulakan di antara doktor gigi dan pesakit berkaitan prosedur rawatan yang akan dilakukan serta bagi menentukan jenis gigi penganti, warna yang sesuai dan kemampuan pesakit.
4. Setelah perbincangan disepakati, acuan mulut diambil bagi mendapatkan model kajian kesesuaian kes serta membina kelongsong jambatan sementara (bagi sesetengah kes).
5. Penyediaan gigi tumpang dilakukan dengan mengurangkan beberapa milimeter ketebalan gigi bagi memberikan laluan kepada jambatan menyarungi gigi tersebut.
6. Acuan gigi diambil sekali lagi bagi mendapatkan ketepatan dan kejituan bentuk gigi tumpang yang telah disedia bagi membuat Jambatan Pergigian yang sebenar.
7. Sementara menunggu Jambatan Pergigian untuk siap, Jambatan sementara akan disarungkan kepada gigi yang telah disedia agar pesakit tidak merasa sensitif dan merasa telah ada gigi di dalam mulutnya. Tempoh masa yang di perlukan adalah bergantung kepada jarak klinik dan makmal yang membuat Jambatan Pergigian
8. Setelah Jambatan telah siap, pesakit diminta hadir ke klinik (telah ditetapkan temujanjinya) bagi menukarkan Jambatan sementara kepada Jambatan Pergigian sebenar. Penyimenan Jambatan dilakukan pada tiang (gigi tumpang) dan dipastikan ruang di antara gusi dan bawah jambatan diperolehi.
9. Tunjukajar pembersihan gigi akan diberikan setelah pesakit dan doktor gigi berpuas hati.

Rujukan:
1. www.aacd.com.au/dental-bridge.htm
2. dentistry.about.com/.../ss/bridgemaint_4.htm
3. www.dentalwestwood.com/bridges/index.htm

Sabtu, 31 Oktober 2009

Mengatasi fobia anak ke klinik gigi

Dari sudut perubatan psikologi mengatakan bahwa resah, bimbang dan takut adalah sesuatu yang biasa di kalangan kanak-kanak dan biasanya ia tidak akan berterusan untuk jangka masa yang panjang. Perasaan ini bermula apabila bertemu orang-orang asing dan bila berpisah dari penjaga adalah dua perasaan yang biasa di alami oleh kanak-kanak. Ini adalah satu perkembangan yang biasa.

Keresahan terhadap orang-orang asing bermaksud bahawa kanak-kanak merasa takut bila berhadapan dengan orang yang tidak dikenali. Dalam konteks pergigian, doktor gigi dan kakitangan yang ada di klinik dianggap sebagai orang asing. Biasanya terjadi pada peringkat umur 4 - 5 bulan dan akan memuncak hingga ke usia 12 bulan.

Kajian mendapati 80-85% pesakit yang datang ke klinik pergigian mengalami fobia rawatan pergigian. Ini bukan sahaja takut sakit tetapi takut dari segi psikologi terhadap doktor gigi tidak kecuali pada kanak-kanak kerana di awal usia ke klinik pergigian ini adalah pengalaman pertama.

Selain itu, kanak-kanak belajar dari pengalaman yang dialami ketika melihat ibubapa atau saudara terdekat menjalani rawatan yang menakutkan ketika di klinik pergigian. Pembelajaran ini akan membuatkan kanak-kanak takut untuk menjalani rawatan pergigian seterusnya tidak menghadiri temujanji pergigian

http://www.ahu.on.ca/Default.aspx?l=,1,10,53,82

Langkah yang perlu dilakukan:

1. Mulakan dari awal dengan membawa anak anda bersama bila anda jumpa doktor gigi. Persatuan Pergigian Malaysia mengesyorkan supaya anda mula membawa anak berjumpa doktor gigi apabila dia sudah mencecah 1 tahun.

2. Ibubapa dan doktor gigi masing-masing memainkan peranan yang penting dalam menyediakan keadaan yang positif untuk perjumpaan pertama ini.

3. Pilihlah doktor yang mahir dalam mengendalikan kanak-kanak kecil. Tidak semestinya Pakar.

4. Tanyalah sesama rakan-rakan anda jika mereka dapat mengesyorkan doktor gigi yang prihatin dan simpati dengan ketakutan yang dialami kanak-kanak kecil.

5. Sesetengah doktor gigi mengadakan sesi untuk menyediakan kanak-kanak sebelum perjumpaan pertama.

6. Anda boleh temani anak anda untuk kali pertama sesi perjumpaan.

7. Kebanyakan kanak-kanak takutkan orang yang tidak dikenali termasuklah si doktor gigi. Tunjukkan kepadanya yang doktor itu adalah orang yang anda kenali dan percayai. Dengan memperlihatkan reaksi yang tenang, ia akan membantu anak anda menyesuaikan dirinya dengan lebih cepat.

8. Biasakan anak anda dengan doktor gigi dengan membawanya untuk pemeriksaan sahaja tanpa berbuat lebih dari itu. Janganlah tunggu sehingga sakit gigi baru hendak jumpa doktor kerana dia akan mengaitkan kesakitan dengan doktor gigi.

9. Dengar apa yang diperkatakan oleh kanak-kanak itu dan fahami tingkahlakunya. Dengar di mana kesakitan yang dialaminya.

10. Jangan sekali-kali memaksa atau mengugut anak anda. Ini akan menimbulkan rasa negatif setiap kali berjumpa doktor.

11. Yang paling penting pujilah anak anda setiap kali dia bekerjasama dan berjaya menjalani pemeriksaan di klinik gigi dengan baik.

12. Anda perlu faham bahawa peralatan yang digunakan oleh doktor gigi menakutkan bagi kanak-kanak. Cadangkan supaya doktor anda menunjukkan dan menerangkan kepada anak anda satu per satu peralatan yang akan digunakan

13. Sikap anda juga penting. Elakkan dari mengalihkan rasa takut anda sendiri kepada anak anda kerana dia akan merasainya. Jangan berbincang mengenai pengalaman silam yang menyakitkan dan elakkan dari menggunakan perkataan yang negatif.

14. Jangan pula menghadiahkannya dengan gula-gula selepas itu! Ini bertentangan pula dengan amalan penjagaan gigi yang baik.

Kanak-kanak lazimnya mempelajari banyak tentang kehidupan melalui ibubapa mereka. Jadi, ibubapa mestilah peka tentang perkara ini untuk memastikan yang anda tidak memindahkan ketakutan anda sendiri kepada anak-anak. Dengan erti kata lain, anak takut akan sesuatu kerana melihat reaksi ibu bapa.

Isnin, 14 September 2009

Gigi palsu jenis sebahagian

Minggu lepas, saya dikunjungi seorang pesakit wanita yang mahukan giginya dirawat. Beliau bertanyakan banyak perkara tentang gigi palsu jenis ini.

Gigi palsu yang sering digunakan pada masa kini adalah gigi pelsu jenis penuh dan jenis sebahagian. Setiap individu adalah berbeza dari segi bilangan kehilangan gigi yang dialaminya.
1. Jenis penuh-penuh (tiada gigi atas dan bawah)
2. Jenis penuh-sebahagian (tiada gigi atas dan sebahagian gigi tiada di bawah)
3. Jenis sebahagian-penuh (tiada sebahagian gigi di atas dan tiada gigi bawah)
4. Jenis Sebahagian-sebahagian (masih terdapat gigi di atas dan bawah)

Kebanyakkan gigi palsu diperbuat daripada akrilik (bahan plastik berwarna mejah jambu). Bahan akrilik adalah ringan dan tahan dengan suhu badan. Hanya berwarna merah jambu kerana sesuai dengan warna asal gusi kita. Untuk menambahkan kekuatan gigi palsu, bahan metal (kobalt krom) dan akrilik digabungkan dalam penghasilan gigi palsu.

Cuba lihat beberapa rakaman penerangan dari YouTube ini
1. Jenis-jenis dentur sebahagian
2. Fleksibiliti dentur sebahagian

Rabu, 9 September 2009

Tempat saya bertugas.....

Ramai yang bertanya di mana tempat saya bertugas....
Mari lihat tayangan ini dengan klik di bawah....

TEMPAT BERTUGAS

TEMPAT BERTUGAS II

Jumaat, 28 Ogos 2009

Pembedahan orthognathic atasi jongang


Dari artikel berita harian

Gambar kiri (sebelum) dan kanan selepas pembedahan.

Rawatan pakar mampu betulkan rahang supaya penampilan menarik

JONGANG bagi sesetengah orang mungkin perkara biasa. Namun, jongang yang keterlaluan mengganggu keharmonian wajah dan menjejaskan individu itu secara psikologi.

Jongang adalah satu daripada kategori masalah rahang (prognathism). Prognathism menjelaskan kaitan kedudukan antara rahang bawah (mandible) dan rahang atas (maxilla) dengan tulang asas rahang. Prognathism diambil daripada bahasa Greek yang bermaksud ke hadapan (pro) dan rahang (gnathos).

Baca lagi....


Anda ingin mengenali Dr Firdaus Hanapiah? Sila layari...

Isnin, 17 Ogos 2009

Khamis, 13 Ogos 2009

Dapat gigi baru!



Tersenyum pesakit saya apabila mendapat gigi barunya. Seorang wanita, bayang jika tiada gigi.... pastinya tidak menawan lagi... tetapi dengan gigi barunya yang berkilat apabila dia tersenyum membuatkan saya puas sebagai perawat.

Teringat saya pada seorang rakan baik saya. Dia menelifon saya berkenaan proses membuat gigi palsu kepada saya. Dia bertugas di Kuala Lumpur. Pagi tersebut saya sedang bertugas di klinik memantau pelatih saya. Panggilan yang mengejutkan saya membuatkan saya terfikir sejenak... masih ramai lagi masyarakat di luar sana yang tidak memahami proses pergigian terutama gigi palsu.

Rakan baik saya meminta saya menyiapkan gigi palsu ibunya dan diposkan kepadanya apabila siap. Kejutan panggilan masih belum reda.. inikan pula permintaannya yang diluar jangkaan saya. Saya bertanya "Gigi palsu jenis apa?" Dia menjawab "Gigi palsu untuk semua gigi yang telah tiada." Soalan saya yang seterusnya, "Adakah semua gigi telah tiada?" Dia menjawab, "Ya, yang tinggal adalah akar yang berwarna hitam. Kalau dah siap, tolong pos pada mak saya yang berada di Johor ya..."



Penjelasan yang boleh saya berikan adalah gigi palsu tidak boleh dilakukan tanpa pesakit datang sendiri ke klinik. Beberapa prosedur harus dilalui iaitu:
1. Pengambilan acuan keseluruhan mulut,
2. Model rahang dibuat seperti di dalam mulut
3. Pembentukan ceper khas,
4. Pengambilan sekali lagi, acuan gigi yang lebih tepat
5. Model rahang yang lebih tepat dibuat
6. Mengukur gigitan mengikut kedudukan rahang semasa mengigit dan berfungsi
7. Menyusun gigi di atas model rahang dengan bantuan lilin
8. Percubaan gigi dimana pesakit mencuba gigi yang belum siap proses
9. Proses membuat gigi palsu diselesaikan
10. Memberi pesakit gigi palsu yang telah siap serta tunjukajar penjagaan gigi palsu
dan gusi
11. Pesakit diminta datang semula ke klinik untuk mengenalpasti masalah semasa memakai gigi palsu selepas seminggu kemudian.

Pesakit dikehendaki datang pada peringkat 1, 4, 6, 8, 10 dan 11. Ini bermaksud perlu beberapa kali utk datang ke klinik pergigian selama 1 bulan jika tiada sebarang masalah. Contohnya, dari kata-kata rakan saya, ibunya masih mempunyai akar gigi. maka, akar gigi tersebut perlulah dibuang dahulu dan perlu menunggu selama hampir 1 bulan untuk memberikan ruang masa kepada gusi pulih. Kemudian, barulah boleh mulakan prosedur rawatan gigi palsu.

Diharapkan dengan penerangan ini, pembaca blog dapat memahami bahawa gigi palsu tidak sewenang-wenangnya dibuat. ia perlu dilakukan dengan baik dan teliti agar dapat memberi keselesaan kepada pemakai. Akhir sekali, gigi palsu tidak boleh diberikan kepada orang lain sebagai pinjaman.....

Rabu, 22 Julai 2009

Kenapa mahu tampal gigi yang tinggal akar?


Dua hari yang lepas, pesakit dirujuk kepada saya atas sebab mahu membuat tampalan pada gigi yang tunggul tunggul akar. Gadis remaja, mempunyai tunggul akar di bahagian hadapan. Apabila dia tersenyum, tunggul hitam itu akan kelihatan dan ini memabuatkan dia malu untuk berinteraksi dengan individu lain. Apatah lagi, kerjayanya memerlukannya berjumpa dengan ramai orang.

Jururawat bertugas telah cuba untuk membantu pesakit mengenai kesedaran penjagaan kesihatan gigi. Setiap kali temujanji rawatan yang dihadirinya mengecewakan kerana giginya perlu di'cuci' sebelum memulakan rawatan tampalan. Memandangkan pesakit mempunyai kehendak yang tinggi terhadap giginya, jururawat merujuk pesakit ini kepada beberapa doktor gigi lain sebelum saya. Namun masih menerima hasil yang sama iaitu kebersihan mulut yang tidak memuaskan.

Gigi yang telah tinggal akar memang boleh dilakukan rawatan. Salah satu rawatan yang boleh diberikan adalah rawatan kanal akar (RKA). Akar gigi tersebut dibersihkan dan seterusnya ditampal sepanjang pulpa (ruang di dalam akar yang kosong). Kemudian, gigi palsu dibuat dan dipakai di atas akar gigi tersebut. Kehadiran akar gigi tersebut membuatkan gusi tidak surut dengan cepat. Tetapi, rawatan ini sesuai bagi pesakit yang mempunyai kebersihan mulut yang baik.....

Oleh itu, paling utama, jaga kebersihan mulut... sebalum gigi rosak atau semasa mahukan rawatan selanjutnya.....

Khamis, 2 Julai 2009

Tampalan Amalgam



Tampalan Amalgam (YouTube.com) video

Rabu, 1 Julai 2009

Karies di antara gigi


Pelbagai anggapan bahawa doktor gigi akan sentiasa membuat kerja untuk tampalan gigi. Sebenarnya tidak semua tampalan perlu dilakukan kepada gigi pesakit. Di awal kunjungan ke klinik pergigian, anda akan ditanya tentang kemahuan atau kehendak anda terhadap rawatan pergigian.

Namun tidak semua orang menyatakan tentang masalah dan kehendak rawatan kepada doktor gigi. Bagi aduan gigi berlubang, doktor pergigian akan memastikan kedudukan gigi dan kawasan yang berlubang/karies.

Terdapat beberapa bentuk karies di dalam bidang pergigian. Karies yang paling rumit untuk diberikan tampalan adalah karies di antara gigi, terutamanya gigi belakang. Mengapa karies ini sering berlaku? Ianya bermula dari tabiat penjagaan gigi seseorang individu di mana cara dan kekerapan pemberusan gigi dalam kehidupan seharian. Penggunaan benang pergigian/flos amat penting untuk membantu pembersihan di celah-celah antara gigi.

Karies jenis ini sukar untuk dipastikan kedudukan saraf dan salur darah. Beberapa kes didapati pendedahan pulpa (saraf dan salur darah) berlaku semasa penyediaan gigi dan pembersihan karies. Ini akan menjejaskan kesihatan gigi malahan akan menyebabkan gigi tersebut mati dan kemungkinan sakit.

Pastikan setiap kali selepas makan, berkumur agar makanan mudah keluar dari celah-celah gigi. Jangan gunakan pencungkil gigi kerana ia akan menyebabkan gusi anda luka dan berdarah seterusnya berlaku penyakit gusi (periodontitis).

Berjumpa doktor gigi untuk rawatan penskaleran/cuci gigi. Ini akan membantu anda membersihkan gigi dengan lebih efektif.

Selasa, 30 Jun 2009

Gigi saya kena cabut???...

Pesakit menangis mengatakan giginya bakal kena cabut.....
Pelik juga. Setiap kali pesakit datang ke klinik, perkataan pertama yang sebut adalah cabut gigi. Mengapa?
Kalau sakit, mengapa hendak dicabut? Biasanya doktor gigi akan memberikan ubat untuk melegakan kesakitan dan menyurutkan bengkak gusi.

Ini adalah di antara senario di klinik pergigian. Mengapa bila sakit baru hendak datang ke klinik gigi?

Seeloknya, datang ketika gigi masih sihat. Ia penting bagi memastikan kesihatan dan kebersihan gigi dijaga. Jangan takut untuk berjumpa doktor gigi. Datang ke klinik pergigian akan membantu gigi anda sihat sepanjang masa dan seterusnya mengawal penyakit agar tidak merebak dan sakit.

Pengalaman seorang pesakit yang rutin ke klinik gigi sejak dari kecil akan membuatkan pesakit rasa selesa untuk datang ke klinik pergigian walaupun tanpa sebarang kesakitan.

Tidak perlu risau.... kerana pada lawatan pertama ke klinik pergigian, biasanya doktor gigi akan memeriksa secara keseluruhan. Kemudian barulah doktor gigi akan berbincang dengan anda peringkat-peringkat dan pilihan rawatan yang sesuai untuk anda. Apabila telah ada persetujuan, barulah rawatan akan dimulakan.

Ada juga yang mengadu kepada saya, mengapa bila sampai ke klinik gigi, doktor gigi hanya bertanyakan mahu apa yang perlu dilakukan pada gigi pesakit? Ya, fahami situasi di mana bila masanya anda datang ke klinik pergigian? Jika hari tersebut adalah hari untuk cabutan (contohnya) maka, doktor gigi akan bertanya menjurus kepada masalah dan rawatan yang berkaitan dengan cabutan.

Panduan yang perlu anda tahu....
1. Nyatakan masalah anda setibanya anda di kaunter hadapan.
2. Sedia dan berikan kad pengenalan, MyKid, pasport atau mana-mana pengenalan diri untuk proses membuat kad rawatan atau pencarian kad (bagi pesakit yang pernah menerima rawatan)
3. Setelah berada di kerusi pergigian, jelaskan kemahuan anda (beritahu apa yang anda harapkan dari perawat)
4. Ajak perawat berbincang dengan masalah anda dan cara penyelesaian serta kehendak anda
5. Sekiranya perlu membuat pilihan rawatan yang mengambil masa yang lama sila maklumkan kepada perawat bahawa anda ingin berfikir dahulu dan maklumkan kemudian pada lawatan yang seterusnya.
6. Bagi yang datang ke klinik dengan kesakitan, harap bersabar kerana tidak semua kesakitan perlu diberikan rawatan segera. Terdapat kesakitan yang memerlukan komitmen akan untuk makan ubat dan datang semula ke klinik untuk rawatan selanjutnya.

Khamis, 18 Jun 2009

Selasa, 9 Jun 2009

Datang bila sakit...

Hari ini pesakit muda datang kepada saya mengadu sakit. Aduan sakit tersebut adalah berpunca dari tampalan yang telah dilakukan beberapa hari yang lalu.

Di dalam mulutnya, gigi yang telah ditampal adalah gigi geraham kecil pertama di sebalah kanan atas. Tampalan tersebut elok dan tiada pecah atau retak. Pesakit tidak merasa sakit apabila saya mengetuk gigi tersebut dengan Prob (alat 'mengira' gigi). Saya meminta pesakit mengigit kapas gulung pada gigi aduan. Pesakit tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Kemudian saya melalukan angin kawasan gigi tersebut dan pesakit kata 'sakit'.

Saya dapat mengenalpasti bahawa pesakit mengalami sensitif pada gigi tersebut. Ramai orang mengalami sensitif gigi. Sensitif sering berlaku apabila seseorang makan atau minum yang sejuk. Ditambah lagi jika terdapat tampalan pada gigi tersebut.

Rawatan yang boleh diberikan adalah menyapukan sedikit bahan anti-sensitif pada permukaan akar atau dentin yang terdedah. Mengapa akar atau dentin? Struktur ini mengandungi saluran mikro yang dikenali dengan tubul dentin. Apabila makan atau minun yang sejuk, saraf di dalam tubul dentin akan terangsang akibat tekanan air/hidro. Namun, bahan anti-sensitif ini hanya dapat bertahan untuk sementara. Pesakit perlu datang ke klinik untuk rawatan yang sama berulang kali.

Bagi membantu mengurangkan rasa sensitif, terdapat ubat gigi yang sering anda lihat di dalam iklan iaitu 'Sensodyne'. Gunakan mengikut arahan yang telah diberikan oleh doktor gigi mengikut keadaan sensitiviti yang anda alami.

Isnin, 1 Jun 2009

Cara untuk mengajar anak-anak berus gigi

video

Barah terus mengganas


Seorang bagi setiap empat rakyat Malaysia berisiko

BARAH terus menjadi penyebab utama kematian di seluruh dunia. Ketika dunia mengiktiraf 5 Februari sebagai Hari Barah Sedunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memberi peringatan yang membimbangkan iaitu 84 juta orang akan menemui ajal akibat barah bagi tempoh 2005 hingga 2015.

Di Malaysia, seorang bagi setiap empat warga Malaysia berdepan risiko diserang barah. Persatuan Barah Kebangsaan meramalkan, menjelang tahun 2020, barah akan menyerang seorang daripada setiap tiga orang jika tiada sebarang tindakan diambil.

Baca lagi

Khamis, 28 Mei 2009

Sakit gigi...

Kehadiran pemuda yang sedang murung pada pagi ini membuatkan saya berasa kasihan melihatnya. Saya terus bertanyakan apa masalahnya. Pemuda yang masih bertongkat dagu masih mendiamkan diri. Saya menguatkan sedikit suara saya. Dia menunjukkan pipinya yang ditutup dengan tangan kanannya sedari tadi....

Rupa-rupanya giginya sedang sakit... Mmmm... apa masalahnya sampai giginya sakit... Selepas membuat pendaftaran, saya bertanyakan beberapa soalan berkaitan aduan sakitnya, pengalaman sakitnya, tentang masalah perubatannya dan sejarah rawatan pergigian.

Pemeriksaan muka nampak bengkak sedikit di pipi bawah sebelah kanan. Agak panas sepeti hendak demam. Sakit sejah 3 hari yang lalu dan hanya makan panadol untuk melegakan kesakitan. Dalam mulut, gigi gerahamnya telah ber'lubang' besar hingga ke kelihatan kanal saraf dan salur darah di dalam akar...

Apa yang perlu dilakukan?....
Saya terus membersihkan kawasan yang ber'lubang' setelah memakaikan 'baju hujan' kepada gigi tersebut. Akhirnya, sampai ke kawasan akar. Pesakit tidak merasa sakit kerana gigi tersebut telah mati....

Pembersihan dilakukan dengan berhati-hati pada semua akar yang ada (terdapat 3 akar pada gigi geraham pertama bawah. Namun, had saya sebagai insan biasa, saya terpaksa merujuk pemuda tadi kepada pakar.

Kenapa saya rujuk kesnya kepada pakar?
Ini adalah kerana saya tidak dapat menjumpai kanal akar yang kedua. Pakar lebih arif tentang kanal ini akan menggunakan peralatan seperti mikroskop khas untuk mengenalpasti kedudukan sebenar kanal tersebut...

Kesimpulan pada kali ini:
1. Tidak semua kes boleh dilakukan oleh semua doktor
2. Terdapat beberapa kes yang rumit perlu dirujuk kepada pakar.
3. Terdapat juga kes yang memerlukan perbincangan di antara pakar dan doktor gigi atau di antara doktor gigi dengan doktor gigi yang lain
4. Jangan rasa diri anda terhina jika kes anda menjadi perbincangan, kerana ini adalah untuk kebaikan diri anda juga

Isnin, 25 Mei 2009

Tampalan untuk gigi kanak-kanak yang bernanah

Pagi ini saya berjaya membuat tampalan kekal untuk seorang 'puteri' yang comel. Asalnya gigi tersebut bernanah di bahagian gusi yang mengadap ke pipi... nanah yang keluar dan menyakitkan itu telah sembuh dengan pengambilan ubat tahan sakit dan antibiotik. Memandangkan 'puteri' ini telah menghabiskan ubatnya, saya meneruskan rawatan pada 2 minggu yang lepas dengan membuka kaviti (membersihkan 'lubang') yang telah sedia besar....

'Puteri' yang berumur 4 tahun, tidak mengerang kasakitan semasa saya membuat rawatan kerana gigi tersebut telah mati; dalam erti kata gigi itu telah kehilangan deria rasa sakit. Gigi geraham pertama atas sebelah kanan yang masih elok bentuknya kecuali bahagian yang ber'lubang' sahaja yang perlu diletakkan tampalan. Gigi kekal yang akan mengantikannya akan mula tumbuh pada umur 11 tahun... bayangkan jika saya cabut gigi tersebut... bagaimana 'puteri' hendak mengunyah makanan selama 7 tahun mendatang?

Saya bersihkan giginya hingga ke kebuk pulpa (kawasan yang mengandungi saraf dan salur darah yang telah mati. Bagi gigi susu, rawatan ini tidak menyakitkan jika telah 'mati'. Saya letakkan sedikit ubat di dalam kebuk pulpa tersebut dan tunggu beberapa saat. Ini bertujuan untuk membersihkan kebuk pulpa dan menghindari gigi daripada bernanah semula.

Pada hari ini saya telah memberikan tampalan kekal kerana tiada tanda gelaja kesakitan dirasai pesakit. Pesakit berasa giginya masih berada di dalam mulutnya....

Beberapa faktor perlu dipertimbangkan bagi memberikan rawatan seperti ini:
1. Umur pesakit
2. Jangka waktu gigi kekal tumbuh mengantikan gigi susu tersebut
3. Kerjasama pesakit (tidak menangis, meraung dan lain-lain)
4. Kebenaran ibu bapa
5. Penjagaan kebersihan mulut yang teratur

Selasa, 19 Mei 2009

Sakit Gigi

Semalam, saya ditemukan dengan seorang pesakit yang mengadu sakit gigi. Dia rasa macam ada 'lubang' dan bila melihat ke cermin, dia mendapati giginya berwarna hitam. Aduan lain, sakit di sebelah kiri, atas. Sakit terutama apabila makanan masuk ke dalam 'lubang' tersebut.

Apakah 'lubang' itu? Mengapa 'lubang' itu menyakitkan? 'Lubang' itu dikenali sebagai karies gigi. Karies merupakan salah satu penyakit pergigian. Kejadian dan perluasan karies gigi boleh dicegah dengan mengamalkan beberapa langkah pencegahan. Untuk memahami berbagai cara pencegahan, penyebab dan proses penyakit hendaklah benar-benar difahami.

Karies terjadi tanpa mengira usia, bangsa, status sosio-ekonomi, keadaan fizikal iaitu cacat atau normal mahupun di dunia bahagian mana mereka berada. Sejak mula gigi erupt di dalam rongga mulut, ia akan terdedah kepada faktor-faktor yang menyebabkan terjadinya karies.

Karies gigi melibatkan proses penghuraian tisu keras gigi iaitu enamel dentin dan simentum akibat dari tindakan asid. Asid ini dihasilkan oleh bakteria di dalam plak yang bertindak ke atas karbohidrat di permukaan gigi. Proses berlarutan dan memakan lama sehingga terbentuk kaviti pada permukaan gigi. Jika dibiarkan berlanjutan, ia akan melibatkan pulpa dan menimbulkan nanah.

Sabtu, 9 Mei 2009

Bagaimana jika tiada gigi atau gigi telah rosak?

Pastinya akan menyusahkan seseorang itu untuk makan, bertutur dan bersosial. Jika susah untuk makan, seseorang itu akan mengambil jalan mudah dengan makan makanan yang kurang zat. Apabila kurang zat diambil setiap hari, kesihatan badan akan terjejas. Ini menyebabkan seorang manusia itu tidak dapat melakukan aktiviti yang biasa dilakukan.


Gigi merupakan mutiara yang penting di dalam kehidupan kita. Jaga kesihatan gigi bermakna jaga kesihatan keseluruhan tubuh badan kita. Menurut WHO, Kesihatan Oral ditakrifkan sebagai pengekalan gigi sepanjang hayat iaitu mempunyai fungsi, kegigian asli dengan estetik yang baik, jumlah yang tidak kurang daripada 20 batang gigi, mempunyai kedudukan baik dari kanin ke kanin dan premolar dan tidak memerlukan gigi palsu.

Keadaan mulut yang sihat adalah mulut yang bebas daripada sebarang penyakit dan tidak kehilangan gigi pada usia yang muda.

FUNGSI GIGI

Gigi insisor berfungsi sebagai pemotong makanan. Gigi kanin mampu mengoyakkan makanan seperti daging. Gigi pramolar dan molar bertindak semasa mengunyah makanan iaitu menghancurkan makanan agar mudah dihadamkan oleh perut. Semua fungsi setiap gigi akan bekerjasama semasa proses pengunyahan berlaku ketika makan.

Sekiranya semua gigi molar telah hilang dari rongga mulut, anda masih boleh mengunyah kerana masih ada gigi premolar. Tetapi, jika gigi incisor dan kanin telah hilang, tiada penggantinya, maka anda sukar untuk makan.

Apabila anda menyebut huruf ‘S’ dan’L’, lidah akan terletak pada hujung gigi atas. Apa kata anda menyebut perkataan ‘selasa’ dan ‘selesa’. Ini bermakna gigi amat diperlukan untuk pertuturan. Sedarkah apabila bertutur, anda memerlukan gigi untuk menyebut beberapa huruf dan perkataan.

Bayangkan jika anda terlihat seseorang tersenyum dan senyuman itu kelihatan seperti ada sesuatu yang tidak kena. Kenapa? Anda akan lihat gigi bukan?.... Jadi, gigi juga memperlihatkan senyuman yang menawan kepada seseorang. Mungkin anda terlihat tompok-tompok hitam pada gigi. Mungkin tiada gigi, terutama gigi hadapan. Atau…gigi berkilat seperti memakai gigi palsu…. Mungkin ya, mungkin tidak. Apa yang pasti gigi mempengaruhi personaliti kita.

PERUBAHAN PERGIGIAN

Bagaimana gigi kekal menggantikan gigi desidus? Contoh berpandukan gigi incisor. Sebenarnya benih gigi kekal dan gigi desidus telah mula berada di dalam rahang seorang manusia dari sejak usia pembentukannya di dalam kandungan ibu. Gigi desidus mula proses pembentukannya sejak kandungan ibu 6 bulan. Ketika pembentukan gigi desidus hamper siap akarnya, benih gigi kekal telah mula proses pembentukkannya sejak bayi berumur 6 bulan.

JENIS KEGIGIAN

Terdapat 2 jenis kegigian untuk setiap manusia iaitu kegigian susu (desidus) dan kegigian kekal. Seawal umur 6 bulan, gigi susu akan tumbuh. Biasanya gigi hadapan bawah. Begitu juga seawal umur 6 tahun, gigi kekal hadapan bawah akan menggantikan gigi susu walaupun tidak rosak.

Kegigian susu terdiri daripada 8 batang gigi hadapan (kacip/insisor), 4 batang gigi taring (taring/kanin) dan 8 batang gigi geraham (molar). Jumlah gigi susu yang ada di dalam rongga mulut seorang kanak-kanak adalah 20 batang gigi.

Manakala kegigian kekal terdiri daripada 8 batang gigi hadapan (kacip/insisor), 4 batang gigi taring (taring/kanin), 8 batang gigi geraham kecil (pramolar) dan 12 batang gigi geraham besar (molar). Jumlah keseluruhan gigi kekal yang hadir di dalam mulut seorang dewasa adalah 32. Walau bagaimanapun, gigi geraham besar yang ketiga jarang kelihatan bagi populasi manusia zaman ini. Biasanya gigi ini hanya tertanam dalam rahang dan tidak akan keluar jika tiada kesakitan berlaku.

KENALI KEGIGIAN KITA

Gigi merupakan suatu struktur yang amat kuat. Kekuatannya menyamai tulang kerana ia dibentuk daripada kalsium. Tulang berperanan sebagai tempat pelekatan otot dalam pembentukan tubuh manusia tetapi gigi berfungsi semasa makan dan bertutur. Ia juga merupakan satu aset penting dalam kecantikan seseorang. Susunan gigi yang cantik akan menerbitkan senyuman yang menawan. Kepentingan penjagaan gigi adalah bermula dengan mengenali berkenaan dengan struktur gigi kita.