Ahad, 25 Disember 2011

Sakit Gusi; perkaitan dengan masalah perubatan 3


Diabetes/kencing manis
Bagi masalah kencing manis, penyakit gusi memang cukup sinonim di dalam bidang perubatan pergigian. Ramai pakar mengakui dan disahkan melalui pelbagai kajian bahawa kedua-dua penyakit ini saling berkaitan. Kencing manis melemahkan sistem pertahanan badan seseorang. Salur darah pesakit diabetes menebal dan pengaliran darah yang perlahan, kurang nutrient dan mengandungi lebih banyak toksin.

Pesakit yang tidak mengawal kadar gula di dalam badannya adalah lebih banyak kehilangan gigi berbanding diabetes yang terkawal. Melalui sedikit luka, jangkitan boleh berlaku di sekitar luka tersebut. Apatah lagi jika berlaku luka semasa memberus gigi. Luka lambat sembuh dan mudah dijangkiti bakteria Pesakit mengalami masalah mulut kering yang dipanggil Xerostamia.
Dengan adanya tanda-tanda penyakit gusi, ia akan meningkatkan sistem keradangan badan dan bahan endotoksin mengiritasi proses keradangan yang berlaku di kawasan luka. Pesakit mudah mengalami kehilangan awal gigi kerana keradangan yang sering berlaku dan menyebabkan struktur penyokong gigi mudah luruh. Akhirnya pesakit memerlukan cabutan dan digantikan dengan gigi palsu.

Pemakanan ubat
Pemakanan ubat-ubatan untuk jangkamasa panjang memberikan implikasi yang besar pada tubuh badan pesakit. Di dalam mulut, beberapa pengambilan ubat boleh menyebabkan pembesaran gusi secara mendadak dan perubahan kedudukan gigi berlaku. Ini menyulitkan pesakit untuk makan dan bercakap. Contoh, pengambil ubat nephidipine untuk pesakit jantung.
Prosedur rawatan pergigian bagi pesakit yang mengalami masalah perubatan dan penyakit gusi ini amat rumit. Sebelum rawatan diberikan, pemeriksaan dan latarbelakang mengenai masalah perubatan perlu diberi dengan lengkap. Ini amat penting kerana sebarang komplikasi cabutan akan dikaitkan dengan masalah perubatan.
Melalui maklumat yang diberi, biasanya masalah perubatan akan diperiksa dahulu sebelum cabutan gigi dilakukan.

Ahad, 18 Disember 2011

Sakit Gusi; perkaitan dengan masalah perubatan 2


Tanda-tanda
Penyakit gusi bermula dengan sedikit keradangan pada gusi dan melarat hingga merosakkan tisu lembut dan tulang yang menyokong gigi. Keadaan ini jika dibiarkan boleh menyebabkan kehilangan gigi.
Tanda-tandanya ialah gusi merah, membengkak surut dari permukaan akar gigi. Gigi kelihatan panjang, jarang, longgar dan berubah kedudukan.. Nafas juga berbau (halitosis). Akhirnya tulang tidak mampu memegang gigi dan seterusnya gigi tercabut.

Perkaitan dengan masalah perubatan
Guiness Book of World Records telah mengistiharkan bahawa penyakit gusi adalah di antara penyakit yang sering dialami manusia. Penyakit yang mengandungi hampir 6 juta bakteria di dalam mulut ini akan menyelinap masuk ke organ lain di dalam badan. Jangkitan bakteria melalu salur darah menyebabkan risiko penyakit jantung dan diabetes selain kehilangan banyak gigi di peringkat umur 20-40 tahun. Penyakit gusi dipercayai sebagai ‘Pembunuh senyap’ oleh pakar US.

Sakit Jantung
Penyakit gusi yang tidak dapat dikawal membuatkan pembiakan bakteria semakin banyak. Maka endotoksin dibebaskan dengan lebih cepat di dalam amaun yang besar. Ini merangsang sel-sel di dalam badan menjadi radang.
Kajian mendapati bahawa pesakit gusi akan mengalami risiko yang tinggi untuk mendapat penyakit jantung. Perkaitan dengan masalah jantung bermula apabila bahan endotoksin memasuki sel dan meningkatkan risiko plak atheriosklerotik terbentuk pada salur darah. Penebalan salur darah berlaku dan menghasilkan pengecilan aliran darah untuk sampai ke jantung.

Strok
Proses yang sama berlaku di salur darah di bahagian otak tetapi ia menjadikan pembekuan darah terbentuk. Seterusnya, risiko tinggi terhadap penyakit strok. Kajian mendapati bahawa sekiranya penyakit gusi dapat dikawal, ia akan mengurangkan serum dan lemak berkumpul di permukaan salur darah serta penebalan epithelium salur darah dapat dihentikan.

Ahad, 11 Disember 2011

Sakit Gusi; perkaitan dengan masalah perubatan 1


Apa yang ingin dijelaskan di sini adalah perkaitan penyakit periodontitis dengan masalah perubatan.

Perkaitan ini telah lama diketahui oleh pakar-pakar. Namun, masyarakat tidak mengetahui bagaimana perkaitan ini berlaku. Tujuan kali ini adalah untuk memberikan sedikit informasi yang sesuai dan mudah difahami di mana perkaitan antara penyakit gusi dan masalah perubatan

Punca

Punca utama adalah daripada PLAK. Plak pergigian adalah suatu lapisan nipis yang lembut, melekit dan mudah melekat erat ke atas permukaan gigi yang tidak terdedah kepada geseran pipi, lidah dan permukaan pengunyahan. Ia akan menjadi tebal dan menguning pada permukaan gigi. Permukaan plak menjadi keras dan kasar membuatkan bakteria semakin banyak terkumpul.

Bakteria akan berkongsi makanan apa yang kita makan dan seterusnya akan mengeluarkan bahan buangan yang terdiri daripada asid dan toksin. Asid akan menyebabkan gigi anda berlubang (karies) manakala toksin akan meresap ke permukaan gusi dan meyebabkan gusi radang.  Dua peringkat penyakit gusi iaitu Gingivitis dan Periodontitis.
Gingivitis ialah penyakit gusi peringkat awal yang hanya melibatkan tisu gusi sahaja. Periodontitis pula adalah penyakit gusi yang lebih parah dan melibatkan bahagian akar dan tisu penyokong gigi. Penyakit gusi merupakan punca utama kehilangan gigi di kalangan warga emas.

Ahad, 4 Disember 2011

Rokok pemusnah bangsa 3


Katakan ‘TAK NAK’ pada rokok

Laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menunjukkan bahawa penduduk dunia telah menghabiskan 2.5 kali ganda wang mereka untuk membeli rokok berbanding membeli keperluan harian dan kesihatan (Bulan Mei 2004). Merokok menyumbang kepada 10,00 kematian setiap tahun. Risiko kanser berlaku hampir 30% bagi perokok tegar. Kanser yang sering berlaku adalah kanser mulut. Jika anda tidak mahu tergolong di dalam sumbangan negara ini, berikut adalah kaedah yang betul untuk berhenti merokok:

- Tetapkan tarikh untuk berhenti merokok
- Yakinkan diri
- Buat nota peringatan
- Buang semua yang berkaitan dengan rokok
- Katakan pada diri anda, "Aku bukan perokok"
- beranikan diri untuk berkata tidak jika ditawarkan rokok
- Bersihkan segala pakaian yang berbau rokok
- Tumpukan pada hari ini
- Sentiasa berfikiran positif
- Dapatkan sokongan daripada ahli keluarga dan rakan
- Banyakan mandi dan minum air sejuk
- Lawan keinginan untuk merokok
- Dapatkan rawatan pergigian
- Gunakan Terapi atau rawatan yang sesuai
- Tarik nafas dalam-dalam dan berdoa kepada Tuhan
- Dapatkan nasihat dan masuki Klinik Berhenti Merokok

Dengan berhenti merokok dalam masa 20 minit, tekanan darah dan kadar nadi akan kembali kepada normal. Apabila anda berhenti merokok, berikut adalah faedah berhenti merokok

- Hidup lebih lama
- Dapat menghindari racun
- Dapat melindungi diri, keluarga dan orang lain daripada bahaya merokok
- Menjadi teladan yang baik kepada anak-anak
- Dapat meningkatkan kecergasan serta memiliki tubuh yang sihat
- Meningkatkan deria rasa dan bau
- Gigi lebih putih dan nafas lebih segar
- Dapat mengelakkan budaya membazir dengan menggunakan wang untuk membeli rokok kepada tujuan yang lebih baik dan bermanfaat.





Sayangi diri dan orang yang tersayang

Berhentilah merokok bermula dari hari ini. Jangan terpedaya dengan iklan rokok.dan pelawaan rakan terdekat. Ingatlah bahawa apabila anda berhenti merokok, anda telah menyelamatkan diri anda, keluarga dan orang sekeliling yang lain. Sayangi diri anda dan ingatlah yang tersayang….


RUJUKAN

4. Pusat Racun Negara, USM Official Website

Ahad, 27 November 2011

Rokok pemusnah bangsa 2


Kesan rokok

Seorang perokok perlu bertanggungjawab terhadap dirinya sendiri dan juga orang yang berada di sekelilingnya. Bahaya asap rokok bukan sahaja berbahaya kepada dirinya sahaja, malah orang di sekelilingnya. Asap rokok akan memasuki salur pernafasan dan seterusnya melalui trakea ke paru-paru. Dalam pada itu, asap rokok juga akan memasuki esofagus dan sistem pencernaan dan menyerap ke tisu badan. Asap rokok yang larut ke dalam cecair badan seperti darah akan beredar keseluruhan badan. Kesan serius berlaku seperti batuk, sakit-sakit badan dan kanser.

Kesan asap rokok terhadap diri sendiri
-       Ketagihan
-       Radang paru-paru
-       Tekanan darah tinggi
-       kebas pada kaki dan jari
-       migrain (sakit kepala)
-       pedih ulu hati
-       kekejangan otot kaki
-       serangan penyakit jantung
-       penyakit buah pinggang
-       kanser
Kesan asap rokok terhadap isteri perokok
- Melahirkan bayi yang kurang berat badan
- Melahirkan bayi yang tidak cukup bulan
- Lebih terdedah kepada kanser
- Mengurangkan kesuburan dan putus haid awal

Kesan asap rokok terhadap anak perokok
- Lebih mudah mendapat lelah
- Mendapat jangkitan paru-paru
- Pertumbuhan paru-paru kanak-kanak terganggu
- Mudah menjadi perokok apabila dewasa kelak


Ahad, 20 November 2011

Rokok pemusnah bangsa 1


Apa itu rokok?

Daun tembakau kering dileraikan dan digulung di dalam kertas. Kemudian dicucuh api pada hujung kertas itu dan bakarnya sedikit demi sedikit. Ia memberikan nikmat yang tidak terkata bagi yang menagihnya. Rokok merupakan salah satu tabiat ketagih yang berlaku di dalam masyarakat pada masa kini.

Bagi sesetengah individu merasa bangga dengan merokok. Rasa kelakian terserlah dan menjadikan diri lebih berkeyakinan untuk berinteraksi dengan individu lain. Tetapi sedarkah mereka, semua kebanggaan dan keegoan yang terserlah itu akan lupus bila mana mereka terlantar kesakitan akibat merokok. Pada masa itu, hanya keluarga sahaja yang mereka boleh harapkan atau tiada sesiapa yang mampu mendampingi mereka.


Kandungan rokok

Lebih dari 4,000 bahan kimia yang terdapat di dalam sebatang rokok. Bahan utama yang ada di dalam rokok adalah nikotin. Nikotin, asalnya tidak berwarna dari daun tembakau tetapi kesannya cukup besar pada perokok tegar. Jika anda baru pertama kali merokok, selama 10 saat, 1-2 mg bahan nikotin akan memasuki cecair otak. Nikotin akan menyebabkan dopamine dalam otak dirembeskan menyebabkan rasa ketagih untuk merokok lagi.

Ini membuatkan seseorang yang kehabisan rokok kadang kala berkelakuan seperti gangguan akal dan tertekan. Oleh itu, terlalu sukar bagi individu yang sudah terjerat dengan ketagihan merokok untuk meninggalkan tabiat itu selamanya.

Nikotin juga akan merangsang kelenjar adrenal untuk mengeluarkan adrenalin.  Rembesan ini akan meningkatkan tekanan darah, kadar pernafasan dan denyutan jantung. Ia menjadi punca serangan jantung secara tica-tiba dan seterusnya koma.

Selain nikotin, minyak tar juga terkandung di dalam sebatang rokok. Minyak ini sebenarnya sering digunakan untuk penurapan jalan raya. Bahan yang terdapat dalam tar akan mencetuskan sel-sel bertindak agresif. Sel-sel ini akan memulakan pembentukan kanser.

Karbon monoksida pula adalah gas beracun yang keluar dari asap rokok. Gas ini biasanya dikeluarkan oleh kenderaan yang menggunakan diesel atau petrol. Oksigen yang dibekalkan oleh gas ini kepada tisu-tisu menyebabkannya terencat. Jika gas ini melebihi 60% di dalam badan, sel-sel akan rosak teruk dan akhirnya maut akan menyahut.

Ahad, 13 November 2011

Rahang dislokasi 2

Rawatan

Beberapa usaha dilakukan bagi membolehkan mulut boleh ditutup kembali. Cara yang paling mudah adalah meminta pertolongan doktor gigi. Jangan risau jika ianya berlaku di waktu malam, anda boleh datang ke bahagian kecemasan. Biasanya, terdapat doktor gigi yang bertugas bagi mengendalikan kes-kes kecemasan seperti ini.

Bagaimana caranya untuk menutup kembali mulut dan mengembalikan kedudukan kondil ke soketnya? Pastikan pesakit duduk di dalam postur yang tegak bersandar. Perawat berdiri di hadapan pesakit. Balut kedua-dua belah ibu jari dengan kain kasa atau sapu tangan. Masukkan kedua-dua ibu jari ke dalam mulut dan letakkan di atas gigi geraham. Jari-jari yang lain memegang atau mengampu bawah rahang di luar mulut. Daya tolakan secara tegas tetapi lembut diperlukan. Tarik rahang ke arah bawah untuk mengeluarkan kondil dari kawasan artikular aminen. Kemudian, tolak secara menyerong ke arah belakang bertujuan untuk memasukkan kondil kembali ke dalam soket.

Jika otot telah tegang, suntikan anestetik harus diberikan. Sekiranya sering berlaku, ahli keluarga terdekat pesakit diberikan tunjukajar cara untuk mengendalikannya oleh doktor gigi.

Kesakitan dan ketidakselesaan yang dialami di kawasan telinga buat beberapa hari. Pesakit dibekalkan dengan ubat tahan sakit untuk kelegaan. Namun, seandainya ia menyebabkan kesakitan dan kebengkakan yang serius, penyiasatan lanjut harus dilakukan. Radiograf dan CT scan merupakan salah satu langkah penyiasatan bagi mengesan ketidaknormalan pada TMJ. Fisioterapi mampu melembutkan otot rahang agar tidak telalu tegang. Suntikan ubat mengawal ligamen TMJ boleh diberikan membantu menganjalkan ligamen daripada longgar.

Pembedahan adalah langkah yang terakhir dalam rawatan. Pembedahan secara konservatif boleh dilakukan dengan mengikat rahang pada kedudukan sebenarnya dan mengawal pergerakan tergelincir yang disebabkan oleh otot. Manakala penbedahan secara eminektomi dilakukan dengan memotong artikular aminen bagi membenarkan pergerakkan kondil secara bebas tanpa sekatan. Ataupun, membesarkan saiz artikular aminen bagi menghalang kondil dari tergelincir.


Pencegahan

Pencegahan boleh dilakukan bagi mengelakkan terjadinya rahang dislokasi. Berikut adalah cara-cara pencegahannya:
  1. Elakkan menguap terlalu besar. Ampu rahang dari bawah ketika menguap.
  2. Kurangkan pengambilan makanan yang keras dan rangup seperti kacang dan keropok
  3. Elakkan pengunyahan makanan yang liat seperti daging
  4. Pastikan anda mendapat kerjasama dari perawat pergigian untuk berhenti seketika bagi merehatkan mulut anda yang telah membuka lama


Rujukan
  1. http://www.simplestepsdental.com/SS/ihtSSPrint/r.WSIHW/st.32219/t.25055/pr.3/c.308415.html
  2. http://www.scribd.com/Dislokasi/d/18576707
  3. http://emedicine.medscape.com/article/823775-overview
  4.  

Ahad, 6 November 2011

Rahang dislokasi 1


Denilia berumur 24 tahun, tidak mampu menutup mulutnya semula setelah menguap besar semasa bangun dari tidur. Dia pernah mengalami rasa sakit di sekitar pipi hingga ke telinga sebelum ini terutama ketika makan makanan yang rangup dan keras seperti keropok. Tetapi selama itulah tidak dihiraukannya. Kini, mulut tidak mampu ditutup semula buat beberapa ketika. Dia dibawa bergegas ke klinik dan doktor gigi membantunya menutup mulutnya semula.

Bagaimana ini terjadi? Pernahkah anda melaluinya? Apakah yang perlu dilakukan sekiranya ianya berlaku buat pertama kali atau telah beberapa kali berlaku ke atas diri anda? Tahukah anda, ia juga boleh terjadi semasa rawatan pergigian dilakukan akibat membuka mulut terlalu lama?

Bukaan mulut yang normal adalah sebesar 3 jari anda sendiri diletakkan secara menegak di antara gigi insisor (gigi hadapan, atas dan bawah) di rongga mulut. Jika bukaan mulut melebihi daripada ukuran itu dan mulut tidak boleh ditutup, ini bermakna individu tersebut mengalami rahang dislokasi.


Rahang dislokasi

Rahang bersambung dengan tengkorak melalui sendi yang dikenali sebagai sendi Temporomandibel (TMJ). Untuk pengetahuan, TMJ terletak di hadapan telinga. Anda boleh merasai pergerakan rahang dengan meletakkan jari di hadapan telinga sambil buka serta tutup mulut. Sendi terdiri daripada bebola (kondil) dan soket serta diselaputi dengan cecair untuk memudahkan pergerakan. Seperti di mana-mana sendi lain di dalam tubuh manusia, pergerakan bebola dikawal hanya di sekitar soketnya sahaja. Apa yang dirasai dengan meletakkan jari di hadapan telinga adalah pergerakan kondil di dalam soket iaitu ke hadapan dan ke belakang.

Rahang dislokasi bermaksud perubahan pergerakan kondil tergelincir daripada soketnya. Semasa bukaan mulut yang maksimum, kondil bergerak ke hadapan dan tergelincir melebihi sempadan soket yag dikenali sebagai artikular aminen. Sekatan daripada artikular aminen ini membuatkan mulut tidak boleh ditutup semula kerana kondil tidak boleh kembali ke dalam soket dan mengakibatkan ketegangan di kawasan telinga dan pipi. Kejadian ini bakal berulang kembali mungkin disebabkan ligamen yang memegang TMJ menjadi semakin longgar dan tidak bersifat anjal.

Ahad, 30 Oktober 2011

Trismus, kesakitan dari gigi bongsu 2


Kerosakan sendi TMJ

Kerosakan yang berpunca dari sendi TMJ ini akan menyebabkan kemusnahan sel-sel otot pengunyahan dan sekitarnya. Kecederaan di antara tulang di sendi membuatkan pertumbuhan tisu konektif menjadi agresif dan seterusnya menyekat pergerakkan sendi.

Kerosakan sendi yang berpunca daripada trauma akan menghasilkan cecair pelincir di antara sendi berkurangan akibat pengumpulan sel-sel darah merah dan putih sebagai proses penyembuhan. Walau bagaimanapun ia akan menggalakkan pertumbuhan tisu konektif dan seterusnya menyebabkan sendi mengalami ankilosis (tidak mampu bergerak/kaku secara kekal).

Apabila pergerakkan sendi terganggu, otot di sekitarnya akan menerima rangsangan bahawa tiada tona pergerakkan daripada saraf. Otot akhirnya menjadi tegang dan menyakitkan.

Rawatan

Dapatkan rawatan secepat yang mungkin bagi mengelakkan berlakunya kesesakkan nafas hasil daripada bengkakkan. Doktor gigi melakukan pemeriksaan secara teliti dan lazimnya ubat antibiotik akan diberikan bersama-sama ubat tahan sakit. Habiskan ubat antibiotik yang diberikan kerana ianya akan melibatkan kesan pada rawatan yang seterusnya pada lawatan ke klinik pergigian yang akan datang.

Lebih kurang seminggu selepas pengambilan ubat, Amin diberikan temujanji untuk mengeluarkan gigi bongsunya melalui rawatan cabutan melalui pembedahan minor. Oleh itu, jika Amin dapat menghabiskan pengambilan ubat antibiotik, bengkakkan akan surut dan tiada komplikasi berlaku setelah pembedahan dilakukkan ke atasnya.

Lakukan pembersihan mulut secara rutin dan jangan lupa menggunakan ubat kumur sekiranya tidak mampu memberus gigi dengan baik ketika berlaku trismus.

Rujukan

  1. http://www.oralcancerfoundation.org/dental/trismus.htm
  2. http://simplestepsdental.com/SS/ihtSS/r.PSIHW000/st.32219/t.35197/pr.3.html