Ahad, 19 Ogos 2012

Kesihatan Pergigian: Sepintas lalu dari kaca mata LAT

Senario 2:

Seorang pengunjung di klinik saya telah bertanya, "Adakah tugas Doktor Gigi sekadar mencabut gigi orang sahaja?". Saya mulakan respons saya dengan senyuman. Senyuman adalah sedekah saya pertama dalam memulakan perbincangan. Tiada apa yang lebih berharga selain melontarkan senyuman terhadap persoalan tersebut.
Saya tahu ramai yang bertanyakan persoalan yang sedemikian tetapi rata-rata jawapan yang mereka terima masih samar-samar dek kerana kesukaran mencari personel pergigian yang dapat menerangkan lebih lanjut tentang persoalan tersebut.
Sebelum saya menjawab persoalan yang ditanyakan, saya lebih suka untuk mengembalikan pandangan dan imbasan anda sekelian tentang bagaimana rawatan pergigian bermula di Malaysia. Di samping itu, saya telah mengambil beberapa gambar dan petikan tulisan dari buku Kartunis kita - LAT.

Siapa kartunis LAT? Anda boleh layari laman web ini untuk mengenali beliau. Saya merasa sangat berbangga kerana beliau antara tokoh yang memahami kerjaya pergigian kami dan menterjemahkannya di dalam bentuk kartun. Medium kartun yang jarang dipelopori untuk menyelongkar sesuatu bidang kerjaya ini telah dikupas dengan baik oleh LAT.
Disebabkan kekurangan doktor gigi, perkhidmatan pergigian profesional sukar 
didapati kecuali di bandar-bandar besar. Ramai menggunakan khidmat 
"Tukang Chabot Gigi" kerana senang diperolehi di mana-mana, termasuk 
di pasar-pasar dan di kaki lima. Yang pasti ialah gigi yang sakit dapat 
dicabut dengan harga yang murah pula.

Pada ketika dahulu di Tanah Melayu, doktor gigi tidak seperti yang anda lihat di zaman kini. Tukang Gigi lebih banyak tertumpu di sekitar pekan dan kampung berbanding di bandar. Namun, pernahkah anda terfikir, jika seseorang di jalanan tiba-tiba bertanya sekiranya anda inginkan cabutan gigi? Atau, dapatkah dibayangkan jika gigi anda sakit dan dicabut di tepi jalan dengan hanya menggunakan tali atau alatan yang dibasuh dengan air paip di tepi longkang?
Paling mudah, contoh yang cuba saya berikan. Pernahkan anda terfikir bahawa gigi palsu yang dipakaikan ke dalam mulut anda adalah diambil daripada mulut orang lain. Mungkin anda akan mengatakan "Eee...." dengan persoalan yang saya lontarkan di atas. Ya, ianya memang benar berlaku. Malah, masih berlaku di beberapa tempat di dunia ini. Pastinya anda sekalian tidak mampu untuk membayangkannya jika berlaku lagi di negara kita. Syukurlah semua itu tidak berlaku lagi di Bumi Merdeka, Malaysia.
Doktor gigi semakin diperlukan di zaman kini. Rata-rata orang kini menyedari kehadiran dan kepentingan doktor gigi di dalam kehidupan mereka. Ada yang yang lebih peka dengan meletakkan nombor perhubungan/ nombor telefon doktor gigi mereka sebaris dan sepenting dengan insan yang disayangi. Ini bermakna doktor gigi suatu kerjaya yang mula manjadi perhatian.

Mengapa kerjaya ini seharusnya menjadi pilihan utama? Ya, banyak faktor yang boleh disenaraikan bagi mengukuhkan dan menaikkan martabat kerjaya sebagai doktor gigi. Tetapi, sebagai muslimah, berpeganglah kepada faktor kekuatan Ummah. Diyakini, para muslimah di luar sana pasti menyukai kecantikan. Kecantikan yang utama adalah senyuman. Oleh itu, senyuman yang manis bermula dari sinaran gigi yang putih mulus dan bercahaya bersih. Jika muslimah inginkan begitu, sudah pasti mereka akan mencari doktor gigi untuk mengekalkan manisnya senyuman mereka. Doktor gigi yang menjadi pilihan, ternyata yang boleh memahami kehendak mereka sebagai memenuhi naluri wanita. Sudah tentu, wanita mampu memahami dan dapat memenuhi kehendak naluri untuk cantik itu. Seterusnya, dapat memenuhi kehendak syariat dan menguatkan pembinaan ummah kerana muslimah akan mencari perawat dari kalangan muslimah dahulu. Sekiranya tiada, barulah mereka mencari perawat/doktor gigi yang bukan muslimah.

Rujukan:
1. Buku Glimpse of Dentistry Through the Eyes of LAT, terbitan Berita Publishing Sdn. Bhd, Kuala Lumpur 2004
2. http://ms.wikipedia.org/wiki/Lat

Ahad, 12 Ogos 2012

Pemakanan di musim perayaan 2


Peranan tuan rumah/penganjur rumah terbuka

Mengeratkan silaturrahim merupakan tujuan utama pengajur rumah terbuka. Slogan 1 Malaysia mempertimbangkan perpaduan antara kaum dan hormat-menghormati tanpa mengira bangsa. Namun adunan kepelbagaian makanan yang dihidangkan juga harus mendukung pendekatan 5M dari Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu
  • Mengurangkan gula
  • Mengurangkan garam
  • Mengurang minyak
  • Melebihkan buah-buahan
  • Melebihkan sayur-sayuran

Contohnya, garam hanya boleh diambil 4-6 gram sehari untuk mengelakkan pengumpulan bendalir dalam badan dan membantu mengawal tekanan darah. Bahan-bahan seperti herba boleh diganti sebagai penyedap rasa masakan. Tanpa menggunakan bahan perisa, herba seperti kayu manis, bunga cengkih dan bunga lawang, mempunyai khasiat tersendiri yang baik untuk kesihatan.

Jadikan buah-buahan dan sayuran segar sebagai pemanis mulut. Buah-buahan pelbagai rasa, warna dan bentuk pastinya dapat memikat tetamu. Sayuran yang berserat membantu mengurangkan tahap kolesterol darah di samping tinggi zat mineral. Paling penting, buah-buahan dan sayuran segar dapat membekalkan nutrien yang baik untuk tubuh badan. Sebagai pengajur yang prihatin, hidangkan air kosong bagi yang memerlukan.

Penganjur harus memastikan penyimpanan makanan pada suhu yang sesuai bagi mengelakkan pembiakan bakteria. Makanan yang telah dimasak tetapi tidak dihidang segera seperti puding dan kek hendaklah disejukkan sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk. Jangan mencampurkan makanan yang telah dimasak dengan makanan mentah di dalam peti sejuk kerana ini akan meningkatkan pembiakan bakteria secara pencemaran silang.

Perhatikan cara penyediaan makanan; tentukan makanan yang dimasak secara kukus, rebus dan kurang lemak menjadi perhatian. Pengendalian makanan yang betul dapat membantu tetamu mengelakkan risiko sakit perut, muntah dan cirit-birit. Pastikan juga tangan dibasuh sebelum dan selepas pengendalian makanan. Peralatan dibersihkan sebelum digunakan untuk memasak.

Rancanglah menu yang sesuai tanpa mengenepikan aspek kesihatan terutama tetamu yang mengalami masalah perubatan. Peka terhadap kepelbagaian peringkat umur dan tahap kesihatan tetamu yang bakal hadir ke majlis rumah terbuka.

Di dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri, aktiviti fizikal atau senaman masih perlu diteruskan. Lakukan senaman pada hari yang sama jika mendapati terlalu banyak makan. Disiplinkan diri demi kesihatan anda dan demi kesejahteraan bersama.



Rujukan
  1. http://salbeautyhealth.com/blog/?p=299
  2. http://web7.bernama.com/bernama/v5/bm/newsfeatures.php?id=440243
  3. http://www.cikedis.com/tip-pemakanan-sihat-sempena-musim-perayaan
  4. http://www.infosihat.gov.my/isusemasa.php?id=46

Ahad, 5 Ogos 2012

Pemakanan di musim perayaan 1


Ogos ini, umat Islam bakal meraikan perayaan Hari Raya Aidilfitri. Perayaan yang kini dianggap sebagai perayaan 1 Malaysia pastinya diraikan pelbagai lapisan kaum dan bangsa. Sayugia, masyarakat Malaysia lazim dijemput ke rumah terbuka untuk meraikannya bersama-sama.

Juadah enak yang disediakan membangkitkan selera yang tidak terkata sehingga lupa tentang kesihatan diri. Rata-rata beranggapan bahawa musim perayaan hanya setahun sekali dan inilah masanya untuk makan makanan yang jarang ditemui. Pertambahan kalori melebihi kadar yang diperlukan oleh badan biasanya berlaku di musim perayaan dan ia sukar dielakkan. Amalan sebegini cukup membimbangkan bagi individu yang mengalami masalah perubatan seperti penyakit jantung, diabetes, darah tinggi dan lain-lain.


Pemilihan makanan

Dalam kegembiraan menyambut perayaan, penjagaan kesihatan haruslah diberi tumpuan. Semasa musim perayaan, kebanyakan makanan terdiri daripada makanan yang tinggi lemak, gula berlebihan dan kurang serat. Oleh itu, pemilihan makanan perlu membekalkan nutrien dan khasiat untuk tubuh badan.

Jika terdapat beberapa rumah yang perlu dikunjungi, pilihan makanan yang sama tidak digalakkan. Mencuba pelbagai jenis juadah terutama jamuan jenis bufet hendaklah berwaspada; hadkan kuantiti pengambilan jika ingin merasa semua. Asasnya, jangan makan hingga terlalu kenyang. Sebaik-baiknya makan dalam kuantiti sedikit tetapi kerap.

Kurangkan makan kuih-muih manis dengan pengambilan dalam kuantiti yang sederhana. Pengambilan gula yang sederhana adalah dalam lingkungan 10 sudu teh (50 gram) termasuk gula tersembunyi. Gula yang terkumpul akan bertukar kepada lemak yang menyebabkan kegemukan dan berisiko diabetes, penyakit jantung dan kerosakan gigi.

Selain itu, sediakan ruang khas dalam pinggan untuk diletakkan buah-buahan dan sayuran sebagai sumber serat. Pilihlah buah-buahan dan sayuran segar berbanding makanan dalam tin yang mengandungi tinggi kandungan gula. Serat akan membuatkan rasa kenyang yang berpanjangan dan mengurangkan keinginan untuk makan. Lebih banyak kuantitinya lebih baik, khususnya bagi individu yang mengalami masalah perubatan.

Sebagai tetamu, jangan lupa amalkan minum air kosong berbanding minum air yang bergula apatah lagi air bikarbonat. Sedikit panduan bagi mereka yang sukar kawal selera makan, disarankan agar minum segelas air kosong sebaik-baiknya 10 minit sebelum makan. Ini membuatkan perut terasa penuh dan mengelakkan makan berlebihan. Penting sekali, basuh tangan menggunakan sabun sebelum dan selepas makan.