Ahad, 22 Julai 2012

Puasa dan rawatan pergigian 5


Rawatan pergigian

Walau bagaimanapun, rawatan pergigian boleh dilaksanakan ketika puasa. Rawatan penskaleran, pembersihan akar yang terdedah, penyapuan fluorida setempat, tampalan dan rawatan akar boleh dilakukan tanpa perlu berbuka. Hanya berkumur-kumur samada dengan ubat kumur atau tidak, usahlah berlebihan terutama pada setiap sela masa rawatan dilakukan kerana dikuatiri tertelan.

Penggunaan bahan tampalan dan lapisan tampalan tidak membatalkan puasa. Lazimnya, pesakit dinasihatkan berkumur apabila selesai satu-satu prosedur rawatan. Ini membantu pengeluaran bahan tampalan daripada tertelan. Penggunaan alat pergigian yang mempunyai semburan air juga tidak menjejaskan ibadah puasa anda. Semburan air adalah sistem penyejuk agar struktur gigi dan gusi tidak rosak akibat haba yang dihasilkan oleh peralatan pergigian. Air yang bertakung akan disedut oleh alat penyedut, dipegang oleh pembantu di sebelah kiri pesakit. Ini membuatkan pesakit lebih selesa dan tidak mudah tertelan air.

Apabila anda sakit gigi dan anda diminta mengambil ubat, sila maklumkan kepada doktor gigi yang anda berpuasa. Anda boleh meminta kepada doktor gigi agar ubat yang diberi sesuai dengan waktu makan anda iaitu selepas berbuka puasa hingga ke waktu imsak. Contohnya; ubat yang boleh diambil hanya 2 kali sehari.

Jika perlukan cabutan, pemberian bius setempat (jenis spray, disapu atau suntikan) pada kawasan cabutan tiada masalah. Ia tidak membatalkan puasa kerana bukan jenis bahan nutrisi yang bertujuan memberikan tenaga tetapi untuk memastikan tiada deria rasa sakit ketika rawatan diberikan.

Sungguhpun begitu, masih ramai yang berpendapat untuk mengelakkan mendapatkan rawatan ketika puasa bagi menjaga kesempurnaan melaksanakan ibadah tersebut. Dapatkan nasihat dan rawatan dari doktor gigi yang berdekatan bagi membantu menyelesaikan masalah pembersihan mulut. Diharap anda dapatkan rawatan sebelum bermulanya bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadhan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang memudaratkan ibadah puasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan