Ahad, 15 Julai 2012

Puasa dan rawatan pergigian 4


Amalan baik semasa berpuasa

Apabila berpuasa, makanan tidak akan berada di dalam mulut sepanjang masa seperti hari-hari lain. Ini membuatkan keadaan dalam mulut sentiasa berada pH yang optimum (pH≈7). Ini akan mengurangkan aktiviti bakteria untuk menghasilkan karies gigi dan penyakit gusi. Makanan yang manis hanya boleh diambil semasa berbuka dan bersahur.

Penggunaan ubat gigi semasa memberus gigi ketika puasa ada sedikit perbezaan pendapat. Namun, apa yang pasti, berus gigi dengan ubat gigi berfluorida selepas berbuka puasa dan selepas bersahur adalah paling baik. Pastikan juga lidah dan permukaan mukosa/dinding pipi diberus bersama. Jangan lupa mengeluarkan sisa makanan di celah-celah gigi dengan menggunakan benang flos. Bagi yang memakai gigi palsu jangan lupa bersihkan gigi palsu sebaik sahaja selepas berbuka dan sahur.
Penggunaan ubat kumur dibenarkan ketika berpuasa. Berkumurlah selepas memberus gigi sekiranya perlu. Cuba elakkan ubat kumur yang berunsurkan alkohol kerana ia akan membuatkan mulut anda kering.

Elakkan pengambilan makanan yang mampu mengeluarkan bau yang kuat. Jika ada mengambilnya, lakukan pemberusan gigi sebaiknya selepas makan mampu menyingkirkan halitosis. Banyakkan minum air masak pada waktu malam (di antara waktu berbuka hingga imsak).

Adalah amat digalakkan sekiranya individu yang merokok memulakan langkah untuk berhenti merokok ketika puasa. Tidak merokok menjadi pelengkap kepada ibadah puasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan