Halitosis
Mulut berbau atau yang lebih dikenali dengan halitosis sering berlaku
terutama mulut yang kering (bermaksud bukan sahaja mereka yang sedang berpuasa
tetapi mereka yang kurang minum air dan mengalami masalah perubatan seperti pesakit
kanser). Mulut kering berlaku akibat kurangnya rembesan air liur atau kurangnya
minum air. Air liur sebagai pembilas mulut semulajadi kurang dirembeskan kerana
tiada proses penguyahan ketika berpuasa. Pembilasan air liur mampu membuang
cebisan sisa-sisa makanan dari permukaan licin gigi. Kekurangan minum air
semasa puasa menyebabkan air liur menjadi likat dan susah membilas mulut. Maka,
berlaku kekurangan oksigen dengan menyediakan suasana anaerobik yang sesuai
untuk peningkatan pembiakan dan aktiviti bakteria.
Ini bermakna punca sebenar halitosis
adalah daripada penjagaan kesihatan harian. Ia bukan berpunca daripada puasa. Makanan
yang terselit di celah-celah gigi memberikan kesan bau yang kuat apabila
mengalami proses pereputan. Mulut kering lebih memburukkan lagi keadaan kerana
kesan pereputan sisa makanan mengeluarkan gas pereputan bercampur dengan bau
asid hasil daripada aktviti bakteria dalam mulut. Pembersihan mulut harus
dilakukan dengan segera sekiranya mahu kesan bau dikurangkan. Rasulullah s.a.w.
bersabda yang bermaksud;
“Siwak dapat membersihkan mulut dan membuat Tuhan
senang.”
(Hadis riwayat Bukhari dari Aisyah)
Dalam menjalankan ibadah puasa, penjagaan kebersihan gigi tetap
dititikberatkan. Dicadangkan berus gigi dengan ubat gigi selepas berbuka puasa
dan bersahur. Dari riwayat At-Tabrani,
“Bersiwaklah (dalam berus) sisa-sisa makanan antara
gigi kerana (membersihkan sisa-sisa makanan semacam itu) termasuk kebersihan
dan kebersihan itu membawa kepada iman dan iman itu bersama-sama pemiliknya di
syurga”
Pemakanan harus dijaga. Bawang putih, bawang merah, keju, susu dan daging
mampu menyumbang masalah halitosis. Tidak dilupa jua punca lain seperti
penyakit di saluran respiratori, masalah dalam perut, diabetes, jangkitan
sinus, penyakit hati dan buah pinggang. Namun, lebih jelas halitosis bermula
daripada bau pernafasan melalui mulut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan