Ahad, 8 Julai 2012

Puasa dan rawatan pergigian 3


Puasa dan berus gigi

Pertengahan Ramadhan, seorang pesakit 13 tahun, datang ke klinik untuk mendapatkan surat rujukan kepada pakar ortodontik (Pakar dalam penyusunan gigi). Sebagai pegawai yang merujuk kes kepada pakar saya perlu meastikan keadaan dalam mulut pesakit saya berada di tahap kebersihan yang maksimum. Apatah lagi rawatan pakar otodontik, ia memerlukan penelitian tentang kebersihan yang baik dan memuaskan.

Pakar ortodontik mahukan pesakit mereka menjaga kebersihan mulut masing-masing terutama mereka yang telah memakai aplians (samada pendakap gigi atau peralatan dalam mulut yang boleh tanggal). Apabila sudah memakai aplians, pembersihan yang teliti harus dilakukan agar tiada kejadian gigi tersusun cantik tetapi semuanya berlubang akibat penjagaan gigi yang tidak baik.

“Maaf Doktor, saya tak berus gigi pagi tadi lepas sahur. Mak kata makruh berus gigi selepas waktu imsak”, pesakit itu bersuara setelah saya menjemputnya naik ke kerusi pergigian.

“Mengapa begitu? Awak percaya 100% tentang hukum itu? Pernah tak awak dengar tentang Rasulullah sering bersiwak walaupun dalam keadaan berpuasa?” saya bertanyakan soalan bertubi-tubi untuk kepastian.

“Tak tahu la saya, doktor. Itu yang mak cakap pada saya”

 “Begini, Imam Ahmad melaporkan berkenaan kerapnya Rasulullah bersiwak walaupun dalam keadaan berpuasa. Satu lagi, Ibnu Amir bin Tabi’ah pernah berkata; “Saya melihat Rasullah berkali-kali bersiwak dalam keadaan berpuasa yang tidak dapat saya hitung dan kesan”.

“Ye ke, doktor?” tanya kehairanan pesakir itu dengan menjengkel mata.

“Kenapa ini berlaku? Salahkah Rasulullah bersiwak ketika berpuasa? Tak rugi kalau awak berus gigi. Malah dapat pahala lagi sebab awak menjaga kebersihan dan menunjukkan kebersihan amat penting dalam Islam. Kalau boleh berus gigi setiap kali hendak solat itu lagi baik. Cuma, jangan keterlaluan sehingga mencapai tahap makruh di sisi ibadah puasa, seperti sengaja menelan sedikit air kumuhan selepas memberus gigi.” saya menerangkan kepadanya sambil menunggu pembantu saya menyediakan segala peralatan dan bahan setelah saya memberikan isyarat tangan menunjuk ke arah alat penskaleran.

Saya teringat satu ceramah yang pernah saya hadiri ketika belajar di univeristi dahulu. Penceramah itu pernah menyebutkan tentang larangan berkumur berlebihan ketika berpuasa, katanya;
“Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Qait bin Sabran; “Berlebihanlah dalam berkumur melainkan engkau berpuasa”

“Sekarang saya perlu bersihkan seluruh mulut awak dengan prosedur penskaleran. Minggu ini saya tidak boleh rujuk awak kepada Pakar Ortodontik. Dua minggu lagi saya akan beri tarikh temujanji untuk memastikan awak dapat menjaga kebersihan mulut dengan baik sebelum saya buatkan surat rujukan kepada pakar”, terang saya lagi dengan lebih lanjut dan tegas agar pesakit dapat mematuhi nasihat yang diberikan. Tangan saya terus menyambar alat penskaleran dan membuat ‘pembersihan’ seluruh mulutnya. Pesakit akur tindakan saya dengan membuka mulut tanda bersedia menjalani prosedur penskaleran. Sambil menjalankan prosedur saya bercerita tentang apa yang saya faham berkaitan memberus gigi ketika berpuasa.

Ada pendapat mengatakan bahawa memberus gigi ketika berpuasa adalah harus. Tiada penegahan tentang bersugi ketika berpuasa. Ini merujuk dalam hadis yang bermaksud;
“Kalaulah tidak memberatkan bagi umatku, maka aku akan menyuruh mereka untuk bersiwak setiap kali ingin mendirikan solat.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun, dikatakan makruh sekiranya bersugi ketika matahari tegak di kepala (selepas waktu zuhur). Adalah lebih afdal sekiranya bau mulut orang berpuasa dibiarkan sahaja. Ini termaktub di dalam hadis di mana Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah, sabda Rasulullah s.a.w.;
“Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadhan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka;
1.     Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi,
2.     Malaikat mengampunkan mereka sehingga waktu berbuka
3.     Allah hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hambaku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepada mu
4.     Diikat padanya syaitan
5.     Diampunkan bagi mereka pada akhir malam”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan