Ahad, 25 Mac 2012

1- Gigi anak tercabut? Apa yang perlu dibuat?


Seorang ibu telah membuat panggilan kecemasan ke klinik pergigian. Aduan utama beliau adalah gigi anak lelakinya telah patah ketika sedang bercuti di sebuah tempat peranginan. Di dalam keadaan yang resah, saya menenangkan ibu agar dapat melakukan apa yang bakal saya perkatakan. Kejadian seperti ini sering diabaikan oleh ibubapa atau penjaga mahupun guru-guru di sekolah. Tiada cara lain yang perlu dilakukan selain membawa kanak-kanak ini ke klinik yang berdekatan.

Tindakan ibu, bapa, penjaga dan guru

Jika kejadian ini berlaku, jangan panik. Tenangkan kanak-kanak yang sedang menangis. Periksa di dalam mulut kanak-kanak. Pastikan gigi yang masih ada atau telah tercabut atau berubah kedudukan. Gigi yang masih ada, pastikan tiada perdarahan. Bagi gigi yang berubah kedudukan atau tercabut, kawal perdarahan dengan kapas atau kain yang bersih. Jika anda mampu mengembalikan gigi kepada kedudukan asal, pastikan jari anda bersih dan masukkan gigi tersebut ke dalam soketnya kembali. Seterusnya, minta kanak-kanak gigit kain bersih agar gigi tetap berada pada kedudukannya.

Manakala gigi yang telah tercabut dan jatuh, pegang gigi pada kepalanya (korona) dan lalukan akar gigi di bawah air yang mengalir selama 10 saat. Jangan membasuh akar gigi dan jangan terlalu lama di bawah air yang mengalir kerana ia akan menyebabkan sel-sel di sekeliling akar gigi akan mati dan membuatkan gigi tersebut mati. Cuba masukkan gigi ke dalam soket gigi seperti yang dijelaskan di atas. Tetapi jiak tidak dapat dilakukan segera ke klinik pergigian tidak kurang dari 1 jam selepas gigi tersebut tercabut.

Bagaimana pula bagi gigi yang patah separuh sahaja? Lakukan yang sama seperti di atas kerana mungkin gigi tersebut masih mampu disambungkan semula. Sekiranya serpihan gigi tersebut tidak dijumpai, bawa terus kanak-kanak ke klinik pergigian bagi mengenalpasti tahap kecederaan gigi kanak-kanak tersebut.

Ahad, 11 Mac 2012

Pengganti gigi 3

1       Jambatan pergigian

Jambatan pergigian bermaksud penganti gigi yang telah tiada dan bergantung kepada gigi bersebelahan yang sedia ada di dalam rongga mulut. Jambatan pergigian sering dikenali sebagai tanam gigi, memerlukan gigi bersebelahan sebagai tiang seperti jambatan yang mempunyai tiang untuk agar ianya kukuh dan tidak tertanggal. Gigi bersebelahan (gigi tumpang) akan dikecilkan saiznya dengan membuang sebahagian struktur gigi samada sihata atau telah bertampal. Pesakit berasa sensitif semasa prosedur rawatan diberikan.

Berbanding dentur, jambatan memberikan lebih keselesaan kepada pesakit kerana tidak terasa kehilangan gigi dan warnanya hampir menyerupai gigi asli. Kekal di dalam mulut serta tidak perlu ditanggalkan di waktu malam membuatkan pesakit memilihnya sekiranya mampu memilikinya. Harganya bergantung berapa batang gigi yang perlu diganti termasuk gigi bersebelahan. Contohnya: jika satu gigi yang tiada, pesakit perlu membayar harga untuk 3 gigi.

Dari segi penjagaan tidak banyak perbezaan dengan gigi asli kecuali penggunaan flos khas perlu diamalkan bagi membuang sisa makanan di bawah jambatan. Ini penting agar gusi di bawah jambatan sihat dan gusi gigi tumpang tidak menyebabkan gigi goyang.

Ahad, 4 Mac 2012

Pengganti gigi 2


Jenis-jenis penganti gigi

Berikut adalah jenis-jenis penganti gigi yang terkini mampu memenuhi kehendak pesakit :

1    Dentur (Gigi palsu)
Dentur atau sering dikenali sebagai gigi palsu merupakan alat pergigian boleh tanggal yang mengantikan gigi yang hilang atau dicabut. Walaupun diperbuat daripada bahan plastik dan logam namun, beberapa kelemahan dikenalpasti contohnya mudah patah.
Kos pembuatannya yang murah membuatkan pesakit lebih memilih denture sebagai penganti gigi yang lazim. Pesakit memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan dentur baru, lebih-lebih lagi jika pesakit pertama kali memakainya. Masalah yang mungkin dihadapi seperti sukar menyebut beberapa perkataan, sukar untuk makan, air liur keluar dengan banyak dan bentuk bibir dan pipi yang berubah sekali gus sedikit perubahan bentuk muka berlaku.
Dari segi penjagaan pula, dentur hendaklah dibersihkan setiap kali selepas makan dan sebelum tidur. Selepas dentur dibersihkan sebelum tidur, masukkannya ke dalam air biasa di dalam satu bekas. Jangan gunakan air suam atau air panas kerana ia akan membuatkan dentur mengembang dan tidak boleh dipakai lagi.
Dentur harus diganti dari semasa ke semasa agar dapat memberikan keselesaan kepada pemakai. Lakukan pemeriksaan pergigian secara berkala untuk memastikan tempoh penggunaan dentur yang dipakai. Walau bagaimanapun, pegawai akan memberi panduan dan tunjukajar semasa menerima dentur yang telah siap.
Bagi dentur yang diperbuat dari gabungan bahan logam dan plastik, logam kadangkalanya akan kelihatan. Demi keselesaan dan tidak mudah patah, pesakit lebih memilih dentur jenis logam-plastik berbanding jenis plastik sahaja. Dari segi harga, dentur jenis ini lebih mahal berbanding dentur jenis plastik.

Ahad, 26 Februari 2012

Pengganti gigi 1


Senyuman yang cantik dan memikat adalah idaman semua orang tetapi bagaimana sekiranya sekitar umur 20an, gigi hadapan telah tiada. Gigi memang satu harta yang tidak ternilai harganya kerana jika sudah tiada gigi, nikmat untuk makan dah hilang. Pada keluaran kali ini saya tidak membincangkan bagaimana berlaku kehilangan gigi. Tumpuan saya pada kali ini adalah bagai mana untuk memilih pengganti gigi yang telah tiada.

Di zaman teknologi maju, gigi yang tiada masih boleh digantikan dengan gigi palsu. Tetapi gigi palsu memang tidak akan sama rasanya seperti gigi yang asli tetapi bolehlah juga digunakan untuk mengunyah makanan. Ada pesakit meminta penganti gigi jenis yang boleh tanggal dan ada juga yang meminta penganti gigi yang tidak boleh tanggal.


Cabutan gigi kekal

Buat pengetahuan pembaca, terdapat rawatan penganti gigi yang tidak perlukan cabutan atau membuat gigi yang rosak. Ianya dikenali sebagai Korona.

Masalah karies dan penyakit gusi adalah penyebab utama rawatan cabutan dilakukan setalah semua jenis rawatan dikenalpasti tidak dapat menyelamatkan gigi tersebut. Selepas cabutan dilakukan, lazimnya pesakit diminta berehat dan menunggu selama lebih kurang 1 bulan untuk meneruskan hasrat meneruskan rawatan pengganti gigi.

Namun terdapat juga penganti gigi yang perlu diletakkan sejurus selepas rawatan cabutan seperti dentur (gigi palsu) serta merta dan implant.

Ahad, 19 Februari 2012

Pengambilan makanan untuk pesakit pergigian 2


Cara pemakanan

Pesakit selepas pembedahan dan cabutan gigi memerlukan diet cecair untuk beberapa hari sekurang-kurangnya sehingga proses penyembuhan bermula. Selain memudahkan penelanan makanan, ia mampu mengawal kandungan cecair badan agar dapat membantu proses penyembuhan dari dalam.

Pesakit yang mengalami kepatahan tulang rahang memerlukan diet yang terhad dalam masa beberapa minggu. Bagi pesakit yang mengalami kecederaan atau sedang mengalami rawatan pada gigi anterior dinasihatkan jangan makan makanan yang perlu digigit atau dikoyak

Elakkan dari mengambil makanan yang berempah, minuman keras dan minuman panas yang boleh mengiritasikan kawasan luka. Antara makanan yang tidak dibenarkan makan adalah jenis keras seperti keropok, jenis liat seperti daging dan jenis melekit seperti gula-gula.

Makanan yang diambil hendaklah mudah ditelan, dihadam dan berzat tinggi.Berikut adalah contoh makanan dan minuman yang dicadangkan untuk pesakit selepas cabutan dan pembedahan serta kecederaan:






 Contoh minuman:
Ø  Susu
Ø  Milo
Ø  Bijirin
Ø  Jus
 


Contoh makanan:
Ø  Bubur
Ø  Yogurt
Ø  Jenis Sup
Ø  Buah-buahan lembut 
   (pisang)
Ø  Puding
Ø  Sumber dari tenusu
Ø  Ais Krim
 














Pemakai dentur (gigi palsu) atau aplian ortodontik (jenis boleh tanggal) yang baru perlu belajar mengigit dan mengunyah makanan dengan menggunakan denture/aplian baru. Untuk beberapa hari pada peringkat permulaan dinasihatkan untuk mengambil diet cecair. Kemudian, mencuba memakan makanan pepejal yang telah dipotong kecil-kecil. Beransur-ansur belajar makan semua jenis makanan dan kembali kepada diet yang normal dengan dentur baru

Pesakit aplian ortodontik jenis tetap haruslah mengelak dari memakan makanan yang sangat keras supaya braket dan spring tidak membengkokkan atau putus. Jauhi makanan yang berkariogenik kerana gigi sukar untuk dibersihkan. Antara makanan yang harus dielakkan adalah gula-gula getah, toffee, karamel dan jenis kekacang. Buah-buahan seperti epal hendaklah dipotong kecil-kecil dan sayuran seperti lobak hendaklah dipotong dan dimasak.


Nasihat Umum

Walau apa jua keadaan pesakit pergigian, penggambilan makanan yang berzat amat penting sekali pun di dalam bentuk cecair. Contohnya, bubur nasi dikisar bersama sedikit daging/ayam dan sayur-sayuran serta minuman berjus. Sentiasalah berkumur-kumur setiap kali selepas makan bagi mengeluarkan sisa-sia makanan yang terlekat di celah-celah gigi yang sukar diberus. Sebaik-baiknya gunakanlah ubat kumur yang disyorkan oleh doktor gigi selepas rawatan pembedahan mulut dilakukan.


Rujukan

  1. http://emedicine.medscape.com/article/434875-overview
  1. http://www.dentist.net/orthodontic-diet.asp

Ahad, 12 Februari 2012

Pengambilan makanan untuk pesakit pergigian 1


Pernahkah anda mengalami sakit gigi dan tidak boleh makan? Makanan mana yang sesuai untuk dimakan selepas pembedahan dan cabutan? Bagaimana caranya untuk makan selepas menerima gigi palsu baru dan aplians ortodontik? Ramai masih terkapai-kapai untuk mengetahuinya. Lazimnya, pesakit pergigian akan menerima panduan pengambilan makanan dari doktor gigi dan pembantunya semasa di klinik. Pada penulisan kali ini, saya ingin menekankan tentang penjagaan pemakanan bagi individu/pesakit pergigian.


Kepayahan selepas rawatan pergigian

Rata-rata beranggapan bidang pergigian adalah gigi sahaja. Hakikatnya rawatan pergigian tidak tertakluk kepada gigi, ia meliputi keseluruhan rongga mulut dan tulang rahang. Pesakit pergigian bukan melibatkan cabutan, gigi palsu (dentur) serta tampalan tetapi pembedahan tulang rahang akibat ketumbuhan atau kanser atau kecederaan kemalangan.

Apabila pesakit telah menerima rawatan cabutan, sakit serta sukar untuk bercakap dan makan sering berlaku. Pesakit tidak dapat membuat aktiviti atau pekerjaan yang berat dan aktif. Kadang kala, diiringi dengan demam.

Manakala, selepas pembedahan dan kecederaan akibat kemalangan, kebanyakan pesakit tidak selesa dengan keadaan mulut yang tercedera. Rawatan yang diberikan masih tidak dapat mengembalikan keadaan mulut kepada asal dalam jangka waktu yang singkat.

Bagi pesakit yang pertama kali memakai dentur terutama dentur penuh atas dan bawah, cara penggunaan dentur untuk bercakap dan makan perlu dipelajari agar memudahkan pesakit menghadapi kehidupan sehariannya. Mereka yang gagal untuk mengawal pergerakan dentur dan otot-otot di kawasan mulut akan berakhir dengan tidak memakainya sama sekali.

Pemakaian aplian ortodontik jenis tetap telah menjadi trend masa kini. Individu yang merasakan gigi tidak teratur dan berupaya untuk mendapatkan rawatan ortondontik pasti tidak akan melepaskan peluang memakainya. Namun, pernahkah anda terlintas difikiran bahawa pemakaiannya di peringkat awal memberikan ketidakselesaan kepada si pemakai? Mulut penuh dengan ulser dan sukar untuk bercakap dan makan adalah diantara kesukaran yang dialami oleh peskit aplian ortodontik.

Ahad, 5 Februari 2012

Pemakanan seimbang untuk kesihatan gigi 2


Peranan protein, lemak dan galian di dalam pergigian

Protein merupakan komponen penting di dalam pembentukan enamel dan dentin. Kekurangan protein menyebabkan lambat pertumbuhan gigi dan struktur gigi kurang sempurna seperti hipoplasia serta dentin tidak teratur.

Lemak sering dikaitkan dengan kegemukan. Oleh kerana itu, lemak disarankan diambil dalam kuantiti yang sedikit. Di dalam pergigian, lemak membantu proses pencegahan kerosakan gigi dan penyakit gusi. Mungkin anda terkejut mengetahuinya bukan?. Apabila lemak meresap ke dalam permukaan gigi, lapisan permukaan gigi yang berminyak mengurangkan daya penempelan plak gigi (mengandungi bakteria) dan tiada daya sentuh di antara asid plak dengan gigi

Kalsium meningkatkan kekuatan gigi dan tulang dengan bantuan Vitamin D. Manakala fosfat di dalam air liur menjadi penimbal dalam keadaan mulut berasid. Fluorida merupakan unsur yang paling penting apabila berlakunya pemusnahan awal struktur gigi oleh asid. Fluorida akan memasuki struktur gigi yang telah kosong ditinggalkan oleh unsur hydrogen akibat kepekatan asid yang tinggi.


Nasihat diet

Makanan seimbang amat penting di dalam kehidupan seharian. Ia membantu meningkatkan kesihatan gigi dan keseluruhan tubuh. Justeru itu, berikut adalah panduan pengambilan diet yang berkaitan dengan pergigian bagi membantu anda menjalani kehidupan di dalam keadaan yang sihat.
  1. Kurangkan kekerapan memakan karbohidrat yang mudah difermentasikan
  2. Hadkan pengambilan karbohidrat pada waktu makan utama sahaja. Makanan-makanan yang dimakan di antara waktu makan tetap (makanan sampingan/snack) mestilah kurang atau tidak mengandungi karbohidrat yang mudah difermentasikan. Makanan sampingan yang baik adalah seperti buah-buahan, kacang dan keju
  3. Gantikan karbohidrat yang ringkas dengan yang tidak ringkas sebagai penutup hidangan, contohnya gantikan kuih atau makanan yang manis dengan buah-buahan
  4. Jangan mengambil makanan atau minuman bergula sebelum tidur. – minumlah air masak tanpa gula terutama untuk kanak-kanak
  5. Elakkan dari minuman bergula atau menambah gula ke dalam susu yang diberikan kepada bayi dan kanak-kanak dalam botol susuan terutama pada waktu tidur
  6. Elakkan dari makan makanan yang mengandungi “gula tersorok” seperti yang dipek di dalam tin, botol dan bungkusan
  7. Elakkan mengambil ubat-ubatan yang telah dicampur dengan air gula terutama untuk bayi dan kanak-kanak. Jika perlu, pastikan mereka berkumur atau minum air masak setelah mengambil ubat-ubatan tersebut
  8. Kurangkan penggunaan gula pasir dalam semua makanan dan minuman


Rujukan

  1. Murray JJ. Diet and Dental caries. The prevention of dental caries, 2 Ed. New York Oxford University Press, 1989:4-96
  2. Speirs R.L, Beeley J.A. Food and Oral health: Dental caries Dental Update 1992, 4: 100-106
  3. http://ms.wikipedia.org/wiki/Pemakanan_seimbang
  4. http://www.myhealth.gov.my/myhealth/bm/$public/story_images/child/P2T3_piramidmakanan.jpg
  5. http://www.nlm.nih.gov/medlineplus/ency/images/ency/fullsize/1138.jpg