Ogos
ini, umat Islam bakal meraikan perayaan Hari Raya Aidilfitri. Perayaan yang
kini dianggap sebagai perayaan 1 Malaysia pastinya diraikan pelbagai lapisan
kaum dan bangsa. Sayugia, masyarakat Malaysia lazim dijemput ke rumah terbuka
untuk meraikannya bersama-sama.
Juadah
enak yang disediakan membangkitkan selera yang tidak terkata sehingga lupa
tentang kesihatan diri. Rata-rata beranggapan bahawa musim perayaan hanya
setahun sekali dan inilah masanya untuk makan makanan yang jarang ditemui. Pertambahan
kalori melebihi kadar yang diperlukan oleh badan biasanya berlaku di musim
perayaan dan ia sukar dielakkan. Amalan sebegini cukup membimbangkan bagi
individu yang mengalami masalah perubatan seperti penyakit jantung, diabetes,
darah tinggi dan lain-lain.
Pemilihan makanan
Dalam
kegembiraan menyambut perayaan, penjagaan kesihatan haruslah diberi tumpuan.
Semasa musim perayaan, kebanyakan makanan terdiri daripada makanan yang tinggi
lemak, gula berlebihan dan kurang serat. Oleh itu, pemilihan makanan perlu
membekalkan nutrien dan khasiat untuk tubuh badan.
Jika
terdapat beberapa rumah yang perlu dikunjungi, pilihan makanan yang sama tidak
digalakkan. Mencuba pelbagai jenis juadah terutama jamuan jenis bufet hendaklah
berwaspada; hadkan kuantiti pengambilan jika ingin merasa semua. Asasnya,
jangan makan hingga terlalu kenyang. Sebaik-baiknya makan dalam kuantiti
sedikit tetapi kerap.
Kurangkan
makan kuih-muih manis dengan pengambilan dalam kuantiti yang sederhana.
Pengambilan gula yang sederhana adalah dalam lingkungan 10 sudu teh (50 gram)
termasuk gula tersembunyi. Gula yang terkumpul akan bertukar kepada lemak yang
menyebabkan kegemukan dan berisiko diabetes, penyakit jantung dan kerosakan
gigi.
Selain
itu, sediakan ruang khas dalam pinggan untuk diletakkan buah-buahan dan sayuran
sebagai sumber serat. Pilihlah buah-buahan dan sayuran segar berbanding makanan
dalam tin yang mengandungi tinggi kandungan gula. Serat akan membuatkan rasa
kenyang yang berpanjangan dan mengurangkan keinginan untuk makan. Lebih banyak
kuantitinya lebih baik, khususnya bagi individu yang mengalami masalah
perubatan.
Sebagai
tetamu, jangan lupa amalkan minum air kosong berbanding minum air yang bergula
apatah lagi air bikarbonat. Sedikit panduan bagi mereka yang sukar kawal selera
makan, disarankan agar minum segelas air kosong sebaik-baiknya 10 minit sebelum
makan. Ini membuatkan perut terasa penuh dan mengelakkan makan berlebihan.
Penting sekali, basuh tangan menggunakan sabun sebelum dan selepas makan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan