Ahad, 19 Ogos 2012

Kesihatan Pergigian: Sepintas lalu dari kaca mata LAT

Senario 2:

Seorang pengunjung di klinik saya telah bertanya, "Adakah tugas Doktor Gigi sekadar mencabut gigi orang sahaja?". Saya mulakan respons saya dengan senyuman. Senyuman adalah sedekah saya pertama dalam memulakan perbincangan. Tiada apa yang lebih berharga selain melontarkan senyuman terhadap persoalan tersebut.
Saya tahu ramai yang bertanyakan persoalan yang sedemikian tetapi rata-rata jawapan yang mereka terima masih samar-samar dek kerana kesukaran mencari personel pergigian yang dapat menerangkan lebih lanjut tentang persoalan tersebut.
Sebelum saya menjawab persoalan yang ditanyakan, saya lebih suka untuk mengembalikan pandangan dan imbasan anda sekelian tentang bagaimana rawatan pergigian bermula di Malaysia. Di samping itu, saya telah mengambil beberapa gambar dan petikan tulisan dari buku Kartunis kita - LAT.

Siapa kartunis LAT? Anda boleh layari laman web ini untuk mengenali beliau. Saya merasa sangat berbangga kerana beliau antara tokoh yang memahami kerjaya pergigian kami dan menterjemahkannya di dalam bentuk kartun. Medium kartun yang jarang dipelopori untuk menyelongkar sesuatu bidang kerjaya ini telah dikupas dengan baik oleh LAT.
Disebabkan kekurangan doktor gigi, perkhidmatan pergigian profesional sukar 
didapati kecuali di bandar-bandar besar. Ramai menggunakan khidmat 
"Tukang Chabot Gigi" kerana senang diperolehi di mana-mana, termasuk 
di pasar-pasar dan di kaki lima. Yang pasti ialah gigi yang sakit dapat 
dicabut dengan harga yang murah pula.

Pada ketika dahulu di Tanah Melayu, doktor gigi tidak seperti yang anda lihat di zaman kini. Tukang Gigi lebih banyak tertumpu di sekitar pekan dan kampung berbanding di bandar. Namun, pernahkah anda terfikir, jika seseorang di jalanan tiba-tiba bertanya sekiranya anda inginkan cabutan gigi? Atau, dapatkah dibayangkan jika gigi anda sakit dan dicabut di tepi jalan dengan hanya menggunakan tali atau alatan yang dibasuh dengan air paip di tepi longkang?
Paling mudah, contoh yang cuba saya berikan. Pernahkan anda terfikir bahawa gigi palsu yang dipakaikan ke dalam mulut anda adalah diambil daripada mulut orang lain. Mungkin anda akan mengatakan "Eee...." dengan persoalan yang saya lontarkan di atas. Ya, ianya memang benar berlaku. Malah, masih berlaku di beberapa tempat di dunia ini. Pastinya anda sekalian tidak mampu untuk membayangkannya jika berlaku lagi di negara kita. Syukurlah semua itu tidak berlaku lagi di Bumi Merdeka, Malaysia.
Doktor gigi semakin diperlukan di zaman kini. Rata-rata orang kini menyedari kehadiran dan kepentingan doktor gigi di dalam kehidupan mereka. Ada yang yang lebih peka dengan meletakkan nombor perhubungan/ nombor telefon doktor gigi mereka sebaris dan sepenting dengan insan yang disayangi. Ini bermakna doktor gigi suatu kerjaya yang mula manjadi perhatian.

Mengapa kerjaya ini seharusnya menjadi pilihan utama? Ya, banyak faktor yang boleh disenaraikan bagi mengukuhkan dan menaikkan martabat kerjaya sebagai doktor gigi. Tetapi, sebagai muslimah, berpeganglah kepada faktor kekuatan Ummah. Diyakini, para muslimah di luar sana pasti menyukai kecantikan. Kecantikan yang utama adalah senyuman. Oleh itu, senyuman yang manis bermula dari sinaran gigi yang putih mulus dan bercahaya bersih. Jika muslimah inginkan begitu, sudah pasti mereka akan mencari doktor gigi untuk mengekalkan manisnya senyuman mereka. Doktor gigi yang menjadi pilihan, ternyata yang boleh memahami kehendak mereka sebagai memenuhi naluri wanita. Sudah tentu, wanita mampu memahami dan dapat memenuhi kehendak naluri untuk cantik itu. Seterusnya, dapat memenuhi kehendak syariat dan menguatkan pembinaan ummah kerana muslimah akan mencari perawat dari kalangan muslimah dahulu. Sekiranya tiada, barulah mereka mencari perawat/doktor gigi yang bukan muslimah.

Rujukan:
1. Buku Glimpse of Dentistry Through the Eyes of LAT, terbitan Berita Publishing Sdn. Bhd, Kuala Lumpur 2004
2. http://ms.wikipedia.org/wiki/Lat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan