Ahad, 29 Januari 2012

Pemakanan seimbang untuk kesihatan gigi 1


Makanan seimbang

Makanan seimbang adalah pengambilan makanan yang mengandungi kesemua jenis zat makanan iaitu karbohidrat, protein lemak vitamin, garam galian dan air pada kadar dan gabungan yang betul untuk memenuhi keperluan harian seseorang individu. Berikut adalah kepentingan makanan seimbang kepada tubuh badan kita;

n  Memastikan bekalan tenaga mencukupi untuk badan
n  Menentukan tumbesaran, perkembangan fizikal dan mental yang sempurna
n  Membekalkan zat yang diperlukan untuk pemulihan dan pengantian tisu dalam badan
n  Mempercepatkan proses penyembuhan
n  Memastikan badan mempunyai daya tahan yang cukup untuk menentang penyakit
n  Mengekalkan kesihatan badan dan mengelakkan dari penyakit kekurangan zat makanan yang khusus


Peranan karbohidrat dalam pergigian

Ramai yang kurang memahami perkaitan makanan di dalam pergigian. Tetapi mungkin kita pernah mendengar perkaitan makan gula-gula atau makanan yang manis menyebabkan kerosakan gigi. Makanan manis bukan sahaja berunsurkan dari gula sahaja, malahan makanan karbohidrat seperti nasi, roti dan bijirin menjadi punca kerosakan gigi.

Karbohidrat sahaja tidak menyebabkan kerosakan gigi, tetapi bakteria yang menjadikan karbohidrat sebagai subsratnya/makanan. Hasil yang dikeluarkan oleh bakteria iaitu asid dan toksin memusnahkan struktur gigi dan gusi menjadi bengkak.

Karbohidrat jenis sukrosa adalah lebih digemari bakteria berbanding fruktosa (buah-buahan) dan laktosa (susu). Sukrosa seperti gula-gula lambat larut di dalam mulut berbanding minum minuman manis. Ini membuatkan gula-gula lambat hilang dari rongga mulut untuk masuk ke kerongkong. Larutannya akan melekit dan melekat lama di permukaan gigi seterusnya menjadi substrat yang cukup baik untuk bakteria.

Jika gula-gula diambil di antara waktu makan, contohnya, selepas sarapan tanpa memberus giginya, seorang pelajar masuk ke kelas. Di dalam kelas pelajar tersebut mengantuk dan mengambil gula-gula agar dapat menghilang rasa mengantuknya dan meneruskan sesi pembelajarannya. Kemudian, apabila rehat, pelajar mengambil makanan berat seperti nasi lemak serta minuman manis. Gula-gula diambil sekali lagi semasa di dalam kelas di sesi yang seterusnya. Begitu juga di rumah. Proses yang berterusan sehingga ke malam dan pelajar tersebut tidak memberus gigi sehingga dia tidur.

Di dalam mulutnya, sentiasa berkeadaan asid dan mulut berbau. Persekitaran yang berasid ini, meningkatkan pembiakan bakteria. Semakin banyak asid dan toksin dihasilkan sehingga menyebabkan kerosakan gigi dan penyakit gusi. Lebih teruk lagi, pelajar tersebut tidak menjaga kebersihan mulut dengan baik.

Namun, mencegah pengambilan karbohidrat di dalam diet seseorang adalah tidak praktikal kerana karbohidrat merupakan sumber tenaga. Mengurangkan kekerapan dan mengubahsuaikan pola pengambilannya adalah langkah yang bijak untuk mencegah kejadian karies

Ahad, 22 Januari 2012

Jangkitan kulit (Selulitis) berpunca dari kencing manis 3

Pencegahan

Jagalah kebersihan kulit terutama semasa hari bekerja. Mandi setiap hari dan bersihkan muka secara optimum terutama ketika jerawat kelihatan di kulit muka. Jika terdapat kesakitan yang menunjukkan tanda-tanda jangkitan kulit sedang berlaku atau luka yang tidak sembuh setelah beberapa hari, sila berjumpa dengan doktor.

Bagi pesakit Diabetes, kawal tahap gula dalam darah dengan baik. Caranya:

a.    Kawalan pengambilan makanan iaitu makan makanan yang seimbang kerana pengambilan pemakanan yang berlebihan akan meninggikan tahap gula dalam darah

b.    Lakukan senaman fizikal agar dapat mengurangkan kandungan gula dalam darah dan membantu insulin bekerja dengan berkesan. Seterunya mengurangkan berat badan.

c.    Pastikan pengambilan ubat-ubatan yang telah disyorkan oleh doktor dipatuhi bagi membantu meningkatkan kesihatan diri yang optimum.

d.    Digalakkan melakukan pengawasan glukosa dalam darah sendiri. Ini penting untuk melihat keberkesanan pesakit dalam cara mengawal diabetesnya.

Tidak dilupakan, lakukan penjagaan dan pemeriksaan pergigian dan mata. Elakkan minuman keras dan berhenti merokok. Diabetes boleh dicegah. Jaga kesihatan diri, kawal pemakanan, lakukan senaman dan dapatkan rawatan segera jika dikesan mengalami selulitis, diabetes dan masalah gusi.


Rujukan

  1. http://myhealth.gov.my/myhealth/
  2. http://www.infosihat.gov.my
  3. http://medicastore.com/penyakit/192/Selulitis.html
  4. http://myinfokesihatan.blogspot.com/2009/07/tentang-jerawat.html
  5. http://www.medicinenet.com/cellulitis/discussion-72.htm

Ahad, 15 Januari 2012

Jangkitan kulit (Selulitis) berpunca dari kencing manis 2


Di dalam kes ini, pesakit mengalami tahap Diabetes Ketoacidosis. Ia adalah keadaan serius apabila tahap gula terlalu tinggi. (Ini biasanya bermaksud pesakit benar-benar kekurangan insulin). Ia juga boleh dihasilkan oleh tekanan, jangkitan kuman, kecederaan, penggunaan ubatan atau kemasukan wad bagi angin ahmar atau sakit jantung. Pesakit akan mengalami mengantuk dan tidak sedar diri.
Pesakit hadir ke klinik Pakar Bedah Mulut dengan aduan sakit gigi dan nanah keluar dari celah-celah gigi. Ini berlaku kerana tekanan yang berpunca dari kawasan selulitis membuatkan nanah di bawah kulit mencari ruang untuk keluar. Ruang yang sesuai di kawasan mulut adalah di gingiva (gusi). Pesakit Diabetes sering dikaitkan dengan masalah gusi apabila tidak menjaga kesihatan mulut. Oleh kerana sistem imuniti badan tidak stabil, gusi mudah berdarah dan mengaktifkan bakteria memasuki ruang di antara tulang dan gusi. Pempoketan gsi berlaku. Penembusan poket gusi terus ke kawasan selulit membuatkan nanah mengalir keluar ke rongga mulut.
Walau bagaimanapun, bengkakan masih tidak surut kerana tiada tindakan antibiotik ke atas selulitis tersebut

Rawatan yang diberikan

Pesakit diberikan rehat yang cukup di mana menginap di wad dan dikawalselia dengan rapi. Ini termasuk pengambilan makanan agar kadar gula dalam darah dapat di kawal. Antibiotik diberi secara intravena (melalui salur darah). Tuam bahagian bengkakan dengan ais atau air sejuk bagi mengurangkan rasa panas dan kemerahan kulit.

Selulit akan beransur pulih dalam masa beberapa hari setelah pemberian antibiotik.

Ahad, 8 Januari 2012

Jangkitan kulit (Selulitis) berpunca dari kencing manis 1


Jerawat boleh menyebabkan selulitis (bengkakkan).  Bagi remaja, jerawat merupakan suatu perubahan tubuh badan yang bertindak hasil daripada perubahan hormon di dalam badan. Namun, bagi individu yang melepasi umur remaja, kehadiran jerawat menjadi persoalan. Ditambah pula dengan keadaan individu yang sedang mengidap penyakit kencing manis.

Aduan pesakit bermula dengan jerawat yang timbul di sekitar mulut. Tidak sampai 3 hari, jerawat itu masih tidak berubah kedudukan dan saiznya, tetapi bengkakan pada muka kiri berlaku dengan kadar yang begitu cepat.

Punca

Bengkakkan muka tersebut dikenali sebagai Selulitis. Penyebaran jangkitan bakteria Streptococus dari jerawat bernanah ke dalam kulit dan jaringan dibawahnya. Muka menjadi bengakak, kemerahan, panas dan sakit. Selulitis akan menyebar hingga ke seluruh tubuh badan. Pesakit mengalami demam, mengigil, peningkatan denyutan jantung, sakit kepala dan tekanan darah berubah-ubah.

Ini ditambah lagi dengan kehadiran penyakit kencing manis atau diabetes. Salah satu gejala yang ketara pada pesakit ini adalah penyakit kulit yang berpanjangan dan luka lambat sembuh.
Diabetes Mellitus jenis II ini dihidapi oleh kebanyakan individu dewasa berumur 30 tahun ke atas dimana mengalami satu keadaan tahap gula di dalam darah adalah tinggi daripada normal. Diabetes berlaku apabila badan tidak boleh menggunakan insulin sendiri dengan berkesan. Apabila kekurangan insulin, gula tidak boleh dibawa ke dalam sel dan tisu, maka paras gula dalam badan akan meningkat. Ini akan merosakkan sel yang memerlukan glukosa untuk bahan bakar dan juga ini akan merosakkan organ dan tisu yang didedahkan kepada tahap glukosa yang tinggi.

Ahad, 1 Januari 2012

Sakit Gusi; perkaitan dengan masalah perubatan 4

Panduan yang perlu dipatuhi

Pencegahan adalah matlamat utama dalam menjaga kesihatan sepanjang hayat. Amalkan penjagaan kesihatan mulut yang baik seperti memberus gigi secara efektif dan bersih. Berus gigi sambil mengurut gusi. Gunakan flos untuk membuang plak di antara gigi.

Kenalpasti tanda-tanda penyakit gusi. Biasanya pendarahan yang berlaku semasa memberus gigi merupakan tanda pertama yang dikenalpasti. Selain itu, gigi sensitif dan gigi goyang memberikan tanda penyakit gusi perlu diberi perhatian dan rawatan.

Minta doktor gigi memeriksa gusi anda sekiranya didapati tanda-tanda penyakit gusi dikesan. Lakukannya pemeriksaan pergigian pada setiap 2 kali setahun atau setiap 6 bulan.

Maklumkan kepada doktor gigi berkaitan masalah perubatan, pengambilan ubat yang berpanjangan, tabiat merokok dan latarbelakang keluarga yang mempunyai masalah perubatan dengan jelas. Ini amat membantu untuk mengurangkan risiko masalah perubatan yang lain. Selain itu, doktor pergigian akan merujuk anda kepada doktor perubatan atau pakar.

Penyakit pergigian mempunyai perkaitan dengan masalah perubatan. Penyakit gusi boleh dicegah. Pencegahan penyakit ini akan mengurangkan risiko masalah sakit jantung, strok dan kencing manis. Ikuti panduan yang telah diberikan agar kesihatan anda terjamin. Usaha pencegahan harus dilakukan bersama.

Rujukan

  1. http://www.myhealth.gov.my
  2. http://www.infosihat.gov.my
  3. http://www.medicaltribune.com/mt_issues/MT%20Msia%20Jan%202009_56pp.pdf – muka surat 32-33