Ahad, 6 Mei 2012

Gusi bengkak ibu mengandung 1


Pesakit berumur 24 tahun sedang mengandung anak yang ketiga telah datang ke klinik pergigian. Pesakit mengadu sakit terutama di bahagian gigi belakang dan meminta doktor gigi mencabut mana-mana gigi yang menyebabkannya sakit. Pesakit kurang pasti gigi yang mana telah membuatkannya sakit berhari-hari sehingga tidak boleh tidur.

Pemeriksaan pergigian mendapati tiada gigi yang berlubang atau menyebabkan kesakitan. Semua giginya elok selain bengkak gusi berlaku pada seluruh mulutnya. Rawatan mencuci gigi (penskaleran dan pengilapan) telah dilakukan dan pesakit dibenarkan pulang.

Beberapa minggu kemudian, pesakit kembali datang ke klinik pergigian dengan aduan yang sama. Malah, meminta untuk mencabut gigi tertentu agar dapat menghilangkan kesakitanya. Setelah sebatang gigi dicabut, pesakit balik dengan perasaan gembira dan dengan harapan sakitnya akan hilang.

Namun, selang beberapa minggu, sakit datang lagi dan membuatkan pesakit terus meluru ke klinik pergigian dan meminta mencabut giginya sebatang lagi. Pesakit mengharapkan setelah gigi dicabut kesakitannya akan hilang buat seketika. Berdasarkan sesi kaunseling yang dijalankan oleh doktor gigi, pesakit pernah mengalami sakit yang sama semasa mengandungkan anak pertama dan kedua. Tetapi, setelah sebatang giginya dicabut, sakit tersebut hilang sepanjang tempoh mengandung sehingga anak dilahirkan.

Apakah yang berlaku kepada pesakit ini? Mengapa setiap kali mengandung baru pesakit ini merasakan kesakitan gigi sedangkan hanya mengalami gusi membengkak sahaja?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan