Ahad, 13 Mei 2012

Gusi bengkak ibu mengandung 2


Perubahan hormon ibu mengandung

Kehamilan membawa banyak perubahan pada diri seorang wanita. Perubahan ini adalah bergantung kepada pengeluaran hormon semasa seorang ibu itu mengandung.  Gigi dan gusi adalah anggota yang tidak terkecuali dari mengalami perubahan tersebut.

Ketika hamil, hormon estrogen amat diperlukan untuk pertumbuhan sel pada anak di dalam kandungan. Walau bagaimanapun, kesan hormon ini juga akan berlaku pada ibu yang mengandung. Hormon estrogen mampu meningkatkan pembesaran sel gusi dan kelihatan gusi membengkak. Selain itu, hormon estrogen menyebabkan salur darah yang berada di kawasan gusi menjadi lebih kemerah-merahan dan kelihatan berlaku keradangan. Keadaan gusi ini mudah terluka walaupun hanya geseran yang lembut.


Perubahan ketika hamil

Ketika hamil dua hingga lapan bulan, seorang ibu itu kerap mengalami masalah gigi dan gusi berdarah. Ini adalah disebabkan oleh hormon dan menjadikan gusi lebih sensitif. Jelas sekali ini dibuktikan apabila memberus gigi, perdarahan gusi berlaku dan mengakibatkan luka.

Masalah gusi sering dikaitkan dengan plak dan bakteria. Luka yang terdedah membuatkan pengumpulan bakteria di kawasan tersebut. Bakteria yang mendapat makanan akan menghasilkan bahan kumuh toksin dan seterusnya menyebabkan berlaku kebengkakkan yang teruk.

Pengumpulan bakteria pula berlanjutan masuk ke salur darah dan menyebabkan jangkitan kepada kandungan. Kajian di Amerika (2009) menyatakan jangkitan bakteria dari penyakit gusi adalah salah satu punca kelahiran tak matang.

Selain itu, rasa mual dan muntah di pagi hari (morning sickness) telah meningkatkan tahap keasidan di dalam mulut. Keadaaan mulut yang berasid mampu menyumbang kepada masalah gusi berdarah dan kesakitan yang menganggu tidurnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan