Ahad, 8 April 2012

3- Gigi anak tercabut? Apa yang perlu dibuat?

Perhatian kepada ibu, bapa, penjaga atau guru

Perhatikan warna kegigian kanak-kanak tersebut. Jika berubah warna bermakna gigi tersebut sedang di dalam proses tidak vital. Kanak-kanak mungkin mengadu sakit setelah beberapa minggu selepas rawatan atau di dalam tempoh rawatan. Mungkin gigi tersebut goyang, gusi bengkak dan sering bandingkan dengan gigi bersebelahan yang tidak tercedera.

Andai didapati ada perubahan, sila ke klinik pergigian untuk mendapatkan kepastian dan rawatan yang sepatutnya. Rawatan untuk gigi yang tercedera tidak terhenti setakat gigi kembali ke soketnya tetapi, memerlukan rawatan secara berjadual yang telah ditetapkan oleh doktor gigi.

Pada situasi yang tertentu, komplikasi yang berlaku dan akhirnya gigi tersebut terpaksa dicabut. Namun, dapat diterima hakikat bahawa kehadiran gigi tersebut dapat mengekalkan ruang untuk pilihan beberapa rawatan seperti gigi palsu, jambatan atau implan.

Nasihat kepada pesakit

Makan makanan yang lembut dan tidak membuat gigi terpaksa mengigit makanan yang keras. Makan ubat penahan sakit dan antibiotik yang telah dibekalkan. Datang temujanji yang seterusnya bagi memastikan gigi tersebut masih vital atau tidak (hidup atau telah mati). Jika memerlukan, doktor gigi akan meminta ibu, bapa, penjaga atau guru membawa kanak-kanak ke klinik perubatan untuk mendapatkan suntikan tetanus.

Apa yang penting, jaga kebersihan mulut pada tahap yang optimum. Pesakit pastinya tidak dapat memberus gigi pada beberapa hari yang pertama. Namun, pesakit digalakkan berkumur-kumur dengan ubat kumur setiap kali selepas makan.

Walau bagaimanapun, pencegahan adalah lebih baik daripada merawat. Awasi anak-anak kita dalam menjalani aktiviti lasak. Berikan alat perlindungan yang mampu minimumkan kecederaan. Malang tidak berbau, namun ianya mampu dicegah.


Rujukan

1.    http://en.wikipedia.org/wiki/Treatment_of_knocked-out_%28avulsed%29_teeth

2.    Ceramah Dr Mimi Syazleen binti Abdul Rahman, Pakar Pergigian Kanak-kanak Hospital Sg Buloh, Selangor.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan