Peranan
protein, lemak dan galian di dalam pergigian
Protein merupakan komponen penting di
dalam pembentukan enamel dan dentin. Kekurangan protein menyebabkan lambat
pertumbuhan gigi dan struktur gigi kurang sempurna seperti hipoplasia serta
dentin tidak teratur.
Lemak sering dikaitkan dengan
kegemukan. Oleh kerana itu, lemak disarankan diambil dalam kuantiti yang
sedikit. Di dalam pergigian, lemak membantu proses pencegahan kerosakan gigi
dan penyakit gusi. Mungkin anda terkejut mengetahuinya bukan?. Apabila lemak
meresap ke dalam permukaan gigi, lapisan permukaan gigi yang berminyak
mengurangkan daya penempelan plak gigi (mengandungi bakteria) dan tiada daya
sentuh di antara asid plak dengan gigi
Kalsium meningkatkan kekuatan gigi dan
tulang dengan bantuan Vitamin D. Manakala fosfat di dalam air liur menjadi penimbal
dalam keadaan mulut berasid. Fluorida merupakan unsur yang paling penting apabila
berlakunya pemusnahan awal struktur gigi oleh asid. Fluorida akan memasuki
struktur gigi yang telah kosong ditinggalkan oleh unsur hydrogen akibat
kepekatan asid yang tinggi.
Nasihat diet
Makanan seimbang amat penting di dalam
kehidupan seharian. Ia membantu meningkatkan kesihatan gigi dan keseluruhan
tubuh. Justeru itu, berikut adalah panduan pengambilan diet yang berkaitan
dengan pergigian bagi membantu anda menjalani kehidupan di dalam keadaan yang
sihat.
- Kurangkan kekerapan memakan karbohidrat yang mudah difermentasikan
- Hadkan pengambilan karbohidrat pada waktu makan utama sahaja. Makanan-makanan yang dimakan di antara waktu makan tetap (makanan sampingan/snack) mestilah kurang atau tidak mengandungi karbohidrat yang mudah difermentasikan. Makanan sampingan yang baik adalah seperti buah-buahan, kacang dan keju
- Gantikan karbohidrat yang ringkas dengan yang tidak ringkas sebagai penutup hidangan, contohnya gantikan kuih atau makanan yang manis dengan buah-buahan
- Jangan mengambil makanan atau minuman bergula sebelum tidur. – minumlah air masak tanpa gula terutama untuk kanak-kanak
- Elakkan dari minuman bergula atau menambah gula ke dalam susu yang diberikan kepada bayi dan kanak-kanak dalam botol susuan terutama pada waktu tidur
- Elakkan dari makan makanan yang mengandungi “gula tersorok” seperti yang dipek di dalam tin, botol dan bungkusan
- Elakkan mengambil ubat-ubatan yang telah dicampur dengan air gula terutama untuk bayi dan kanak-kanak. Jika perlu, pastikan mereka berkumur atau minum air masak setelah mengambil ubat-ubatan tersebut
- Kurangkan penggunaan gula pasir dalam semua makanan dan minuman
Rujukan
- Murray JJ. Diet and Dental caries. The prevention of dental caries, 2 Ed. New York Oxford University Press, 1989:4-96
- Speirs R.L, Beeley J.A. Food and Oral health: Dental caries Dental Update 1992, 4: 100-106
- http://ms.wikipedia.org/wiki/Pemakanan_seimbang
- http://www.myhealth.gov.my/myhealth/bm/$public/story_images/child/P2T3_piramidmakanan.jpg
- http://www.nlm.nih.gov/medlineplus/ency/images/ency/fullsize/1138.jpg
Tiada ulasan:
Catat Ulasan