Ahad, 12 Februari 2012

Pengambilan makanan untuk pesakit pergigian 1


Pernahkah anda mengalami sakit gigi dan tidak boleh makan? Makanan mana yang sesuai untuk dimakan selepas pembedahan dan cabutan? Bagaimana caranya untuk makan selepas menerima gigi palsu baru dan aplians ortodontik? Ramai masih terkapai-kapai untuk mengetahuinya. Lazimnya, pesakit pergigian akan menerima panduan pengambilan makanan dari doktor gigi dan pembantunya semasa di klinik. Pada penulisan kali ini, saya ingin menekankan tentang penjagaan pemakanan bagi individu/pesakit pergigian.


Kepayahan selepas rawatan pergigian

Rata-rata beranggapan bidang pergigian adalah gigi sahaja. Hakikatnya rawatan pergigian tidak tertakluk kepada gigi, ia meliputi keseluruhan rongga mulut dan tulang rahang. Pesakit pergigian bukan melibatkan cabutan, gigi palsu (dentur) serta tampalan tetapi pembedahan tulang rahang akibat ketumbuhan atau kanser atau kecederaan kemalangan.

Apabila pesakit telah menerima rawatan cabutan, sakit serta sukar untuk bercakap dan makan sering berlaku. Pesakit tidak dapat membuat aktiviti atau pekerjaan yang berat dan aktif. Kadang kala, diiringi dengan demam.

Manakala, selepas pembedahan dan kecederaan akibat kemalangan, kebanyakan pesakit tidak selesa dengan keadaan mulut yang tercedera. Rawatan yang diberikan masih tidak dapat mengembalikan keadaan mulut kepada asal dalam jangka waktu yang singkat.

Bagi pesakit yang pertama kali memakai dentur terutama dentur penuh atas dan bawah, cara penggunaan dentur untuk bercakap dan makan perlu dipelajari agar memudahkan pesakit menghadapi kehidupan sehariannya. Mereka yang gagal untuk mengawal pergerakan dentur dan otot-otot di kawasan mulut akan berakhir dengan tidak memakainya sama sekali.

Pemakaian aplian ortodontik jenis tetap telah menjadi trend masa kini. Individu yang merasakan gigi tidak teratur dan berupaya untuk mendapatkan rawatan ortondontik pasti tidak akan melepaskan peluang memakainya. Namun, pernahkah anda terlintas difikiran bahawa pemakaiannya di peringkat awal memberikan ketidakselesaan kepada si pemakai? Mulut penuh dengan ulser dan sukar untuk bercakap dan makan adalah diantara kesukaran yang dialami oleh peskit aplian ortodontik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan