Ahad, 17 Jun 2012

Pesanan buat pesakit selepas rawatan cabutan

Bila memikirkan tentang sakit gigi, pastinya kita semua membayangkan tidak tidur malam, terpaksa makan bubur dan kadang kala menganggu aktiviti harian. Bagaimana caranya untuk mengurangkan sakit gigi? Ada sesetengah individu yang cuba mengambil serbuk ubat tradisional bagi mengurang atau mendapatkan kelegaan kesakitan. Ada juga akan ke klinik perubatan dan meminta ubat dengan mengatakan ketegangan otot muka. Tidak semua kesakitan gigi perlu berakhir dengan tampalan. Terdapat beberapa pesakit yang sedar bahawa giginya sudah tidak boleh diselamatkan tetapi tetap mendesak untuk dirawat secara tampalan agar mereka merasakan 'ada gigi' dalam mulut.

Cabutan merupakan pilihan rawatan pergigian yang terakhir. Terdapat 2 sebab mengapa gigi perlu dicabut. Pertama, gigi tidak lagi disokong oleh tulang kerana jangkitan kuman di sekeliling tulang dan gusi. Kedua, gigi tidak lagi berfungsi disebabkan oleh jangkitan kuman pada saraf. perkara ini sering terjadi apabila kerosakan gigi tidak dicegah dengan lebih awal. Biasanya untuk melakukan rawatan tersebut perlukan persetujuan daripada anda atau jika bawah 18 tahun, daripada penjaga anda.

Berikut adalah pesanan yang harus dipatuhi oleh pesakit sebelum, semasa dan selepas rawatan cabutan;

Sebelum Cabut Gigi

1. Beritahu doktor gigi jika anda mempunyai masalah perubatan seperti masalah jantung, masalah perdarahan, atau pengalaman perdarahan yang berlanjutan selepas cabut gigi/ luka. Ini penting bagi mengelakkan sebarang kemungkinan keadaan kecemasan yang mungkin akan menjejaskan kesihatan keseluruhan tubuh anda.

2. Pastikan anda sudah bersarapan pagi/ makan. Sarapan adalah elemen utama di waktu pagi sebelum memulakan sebarang tugasan atau aktiviti harian.

Semasa Cabut Gigi

1. Tenangkan diri dengan menarik dan menghembus nafas secara perlahan-lahan.

2. Jangan 'mengeraskan badan'/ kejangkan badan bagi memudahkan proses pengeluaran gigi.

3. Jika merasa sakit sila angkat tangan sedikit

Selepas Cabut Gigi

1. Jangan memasukkan jari pada soket cabutan kerana jari yang tidak bersih boleh menjadi sumber bakteria yang menyebabkan keradangan. Begitu juga bermain-main soket cabutan dengan lidah sehingga merangsang pendarahan berlaku.

2. Telan air liur seperti biasa sambil mengigit kapas yang dibekalkan dengan kuat bagi menghentikan pendarahan. Kapas yang telah dibasahi dengan darah hendaklah ditukar dengan kapas yang baru dan gigit sehingga darah berhenti.

3. Jangan meludah banyak kali untuk mengeluarkan darah dan air liur. Sebaiknya telan ianya seperti air liur biasa. Ini kerana meludah yang kerap akan merangsang soket cabutan untuk berdarah banyak.

4. Kumur-kumur hanya dibenarkan selepas 24 jam selepas cabutan. Kumur perlahan-lahan dengan air suam yang bercampur garam (contohnya: 1 sudu kecil garam halus dicampurkan dengan segelas air suam). Berkumur yang berlebihan juga mengundang perdarahan.

5. Makan makanan yang lebut seperti bubur, bijirin dan roti yang dicecah air. Makanan dan minuman tidak seharunya yang panas hingga menyebabkan salur darah mengembang dan pendarahan berlaku. Elakkan mengunyah di bahagian gigi yang telah dicabut.

6. Sedikit kesakitan dan ketidakselesaaan bakal dirasai selepas 2-3 jam  dibius untuk cabutan. Ambil dan makan ubat yang telah dibekalkan seperti yang telah diarahkan. Jika antibiotik, sila habiskan bagi mengurangkan risiko jangkitan yang berlarutan.

5. Rehat dan usah melakukan aktiviti yang berat seperti senaman, angkat berat dan berlari.

6. Bagi perokok, sila berhenti merokok dalam masa 24 jam untuk mengelakkan pendarahan yang berlebihan. Begitu juga minum minuman keras.

Selepas 18 jam dari Cabut Gigi

Jika masih berlaku perdarahan dan kesakitan yang berlebihan atau masalah lain yang berkaitan, sila hubungi doktor gigi yang berkenaan atau ke klinik pergigian yang anda telah lakukan cabutan (di waktu pejabat) atau ke bahagian kecemasan hospital (di luar waktu pejabat).


RUJUKAN:
1. http://www.infosihat.gov.my/penyakit/GIGI/Cabutangigi.pdf
2. http://pergigiansarikei.tripod.com/nasihat.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan