Ahad, 3 Jun 2012

Kehausan gigi 2


Kehausan gigi

Haus bermaksud kepada kekurangan atau hilang saiz asal sesuatu objek akibat geseran, gosokan atau dipakai berulang kali. Dalam pergigian, kehausan gigi dikaitkan dengan 3 jenis iaitu atrisi, abrasi dan erosi. Ketiga-tiga jenis kehausan ini mempunyai perbezaannya yang tersendiri.

Atrisi adalah kehausan gigi yang melibatkan permukaan oklusi/gigitan. Pergerakan pengunyahan yang berulang-ulang dengan tekanan yang kuat menyebabkan struktur gigi sedikit demi sedikit dikisar halus. Tabiat suka melaga gigi terutama ketika tidur mampu mengundang masalah atrisi. Sering berlaku di gigi hadapan.

Abrasi adalah kehausan secara mekanikal yang melibatkan permukaan pemberusan. Teknik dan cara pemberusan yang salah dan tidak efektif seperti memberus secara mendatar dengan kuat menyebabkan permukaan gigi berlekuk ‘V’ di permukaan pemberusan gigi. Tidak disangkal juga tabiat mengigit pensil dan penggunaan kayu pencungkil gigi mampu menghasilkan masalah ini. Gigi yang sering terjadi abrasi adalah yang terletak di sudut paling menonjol dalam jajaran gigi seperti gigi kanin (taring) dan gigi promolar (geraham kecil).

Erosi adalah kehausan disebabkan oleh pemakanan jenis berasid. Tabiat pemakanan seperti suka makan makanan yang masam dan berasid (asam dan minuman berkarbonat) memainkan peranan dalam menyebabkan gigi berlaku kehausan. Erosi boleh berlaku pada individu yang mengalami masalah bulimia dan aneroxia nervosa.

Hasilnya, gigi kehilangan deria rasa, kurang fungsi mengunyah dan mengigit serta ada kalanya menyebabkan sakit/sensitif. Bagi pesakit ini, beliau mengalami gigi erosi.

Rawatan

Bagi mengurangkan sensitif, lazimnya perawat menampal kawasan gigi yang sensitif. Penggunaan ubat gigi yang sesuai dengan masalah sensitif adalah suatu tindakan pesakit semasa di rumah.

Sekiranya terdapat bentuk gigi yang berubah, rawatan pemakaian korona merupakan salah satu pilihan untuk mengembalikan bentuk gigi asal. Seharusnya pemilihan bahan dalam membuat korona dipilih dengan baik sesuai dengan masalah kehausan yang dihadapi oleh pesakit.

Masalah kehausan gigi boleh dielak melalui mengawal teknik pemberusan gigi dan tabiat pemakanan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan