Ahad, 24 Jun 2012

Puasa dan rawatan pergigian 1

Mulut berbau
Mulutnya berbau busuk dan rasa kelat bila disentuhi lidah pada gigi-giginya. Dia mula mual dengan keadaan mulutnya terutama ketika berpuasa. Hendak berkumur atau berus gigi, matahari tegak di kepala tanda makruh untuk dilakukannya. Apa yang perlu dilakukan? Kerjanya semakin menimbun, pelanggan perlu ditemui bagi melancarkan urusan perniagaannya. Akhirnya dengusan hampa kedengaran. Dia sendiri rasa rugi kerana berpuasa. Namun, tersentak dengan suara imam di surau sebelah rumahnya.

“Bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadahan adalah bulan-bulan ‘emas’ bagi kaum muslim. Di bulan-bulan ini, segenap rahmat, ampunan dan kunci surga dicurahkan oleh Allah SWT kepada umat Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang dapat kita lihat dalam petikan hadis-hadis beliau s.a.w. ini;

Rejab adalah bulan pengampunan bagi umatku, maka perbanyakkan beristigfar di bulan ini, kerana Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Bulan Rejab dikenali juga dengan Al-Ashab (pelimpahan) kerana pada bulan ini rahmat Allah dilimpahkan kepada umatku.

Sya’ban adalah bulan ku. Barangsiapa berpuasa sehari sahaja dibulan ku ini, ia berhak mendapatkan syurga.

Wahai manusia! Bulan Allah yang penuh rahmat dan ampunan (bulan Ramadhan) telah datang kepada kalian. Bulan yang merupakan bulan terbaik di antara seluruh bulan di hadapan Allah. Siang harinya merupakan siang terbaik, sedangkan malam-malamnya merupakan malam-malam terbaik, dan waktu-waktunya merupakan waktu-waktu terbaik.... tarikan nafas kalian bernilai ibadah. Pada bulan ini, amalan-amalan kalian diterima dan doa-doa kalian dikabulkan”

Itulah hidangan awal kalbunya dinihari pagi itu. Rasanya seperti meneguk air sejuk yang bersih lagi segar. Dirinya menjadi bersemangat untuk meneruskan ibadah puasanya. Teringat ketika berpuasa di bulan yang lalu, dia mengimbas kembali betapa sukarnya dia untuk menyesuaikan dirinya. Rejab menjadi saksi ketika dia melafaskan syahadah di surau yang sama. Dengan agamanya yang dulu, pernah juga dia berpuasa tetapi mengikut cara anutan yang dulu. Kini dalam Islam, bulan Rejab dan Sya’ban hukumnya sunat untuk berpuasa menjadi medan didikan dirinya membiasakan berpuasa sebelum menemui bulan rahmat, Ramadhan.

Sya’ban ini, dia berazam untuk cuba berpuasa penuh. Baru sehari dia sudah merungut dengan bau mulut rasa tidak selesa. Rasanya dia sudah memberus gigi pagi tadi. Mengapa ianya masih berbau busuk?. Mengapa pada keadaan tidak berpuasa bau mulut ini tidak disedarinya? Adakah bau mulutnya memang sekian lama berlaku? Apa yang perlu dilakukannya? Dia terus meluru ke arah klinik gigi yang berdekatan untuk mendapatkan khidmat nasihat tentang masalahnya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan