Ahad, 2 Oktober 2011

Pra Kanser Mulut 1

Seorang pesakit telah datang ke klinik gigi mengadu tidak selesa pada kawasan pipinya. Sakit semasa makan makanan panas dan pedas yang telah menjadi makanan rutinnya.

Doktor gigi mendapati terdapat bintik-bintik putih yang ketara di kawasan aduan. Diikuti jaringan jalur putih yang menyambungkan di antara bintik-bintik putih tersebut. Doktor menyatakan bahawa ianya adalah lesi pra kanser.

Pernahkah anda merasa tidak selesa di dalam mulut anda? Adakah anda sedar bahawa terdapat perubahan pada gusi dan tisu lembut di dalam mulut anda? Cuba periksa betul-betul keadaan mulut anda menerusi pembacaan ini.


APA ITU PRA KANSER?

Pesakit tersebut sedang mengalami pra kanser tetapi bukan kanser. Pra kanser adalah tanda-tanda wujudnya sel-sel kanser sebelum menjadi lebih agresif.

Biasanya doktor gigi akan menemui lesi pra kanser ini lebih banyak berbanding mengesan kehadiran kanser. Namun tidak semua lesi pra kanser menjadi kanser. Jika dikesan seawal mungkin, lesi tersebut dapat dielakkan daripada menjadi kanser.


PUNCA DAN TANDA-TANDA PRA KANSER

Ramai yang telah ketahui bahawa kanser boleh diwarisi melalui genetik. Jika salah seorang daripada ahli keluarga pernah mengalami pra kanser atau kanser, kemungkinan besar ia akan berlaku pada diri kita. Tanpa kita sedari, sel-sel berubah sifat sedikit demi sedikit dan menyebabkan kita tidak merasa sakit.

Pengambilan alkohol dan merokok yang berlebihan akan meninggalkan kesan yang ketara di dalam mulut. Begitu juga pemakanan sireh yang mengandungi tembakau dan buah pinang. Ketiga-tiga tabiat ini akan menyebabkan lesi pra kanser cepat berlaku. Seterusnya mempercepatkan kadar perubahan sel-sel untuk menjadi kanser

Selain apa yang telah diadukan oleh pesakit yang dinyatakan di atas, terdapat beberapa tanda-tanda pra kanser yang telah dikenalpasti oleh pakar pergigian. Sakit adalah salah satu tanda utama. Namun, jangan terkejut jika sesetengah pesakit tidak pernah merasa sakit tetapi kebas pada bahagian lesi.

Umur merupakan faktor kedua. Bagi wanita, risiko yang tinggi jika anda adalah berumur dan menopaus. Lazimya lesi pra kanser berlaku di kawasan sukar untuk dikesan oleh kita. Contohnya di kawasan belakang gigi geraham, belakang lidah dan lantai mulut. Kawasan tersebut samada berwarna putih atau merah. Mungkin berbintik, berjalur, berbonjol atau berulser.

Kulit yang pada asalnya lembut, lembap dan berair, menjadi tegang dan kering. Ini membuatkan seseorang itu tidak selesa dengan keadaan mulutnya. Bagi sebahagian individu, pra kanser boleh menyebabkan ketegangan pada sendi sehingga sukar untuk membuka mulut. Ini akan menyukarkannya untuk bercakap dan mengunyah makanan.

Lesi pra kanser ini tidak akan sembuh untuk beberapa minggu dan semakin membesar. Dalam pada itu juga, sel-sel mula berubah sikap menjadi lebih agresif dan menjadi kanser jika tidak terus mendapatkan rawatan.

1 ulasan: