Ahad, 9 Oktober 2011

Pra Kanser Mulut 2

PRA KANSER: PERIKSA SENDIRI DI RUMAH

Apabila anda datang ke klinik pergigian atau hadir ke kem kesihatan anjuran klinik pergigian yang berdekatan, anda akan diperiksa keseluruhan mulut. Lakukan pemeriksaan pra kanser/kanser pada setiap tahun.

Pemeriksaan pra kanser/ kanser sebenarnya anda boleh melakukannya sendiri di rumah dengan menggunakan cermin muka. Tanggalkan apa-apa aplians (gigi palsu atau pendakap gigi boleh tanggal) yang terletak di dalam mulut anda.

Pertama: Periksa bibir dan gusi dengan menarik bibir bawah dan atas
keluar menggunakan jari anda di hadapan cermin muka.

Kedua: Periksa bahagian dalam pipi dengan letakkan dua jari di antara
sudut atas dan bawah bibir. Tolak ke arah tepi dan lihat melalui cermin
muka. Lakukan bagi kedua-dua belah pipi.

Ketiga: Periksa lidah dengan mengeluarkan lidah sepanjang yang
mungkin (jelirkan lidah). Bawa lidah anda ke kanan dan ke kiri di hadapan
cermin muka.

Keempat: Periksa lelangit mulut dengan membuka mulut seluasnya dan
angkat sedikit kepala sehingga dapat lihat lelangit mulut anda.

Kelima: Periksa lantai mulut dengan membawa dan meletakkan lidah ke
lelangit. Lihat bawah lidah seterusnya tunduk sedikit untuk melihat
keadaan lantai mulut pada cermin muka.

Periksa keseluruhan mulut, beberapa tanda yang boleh kelihatan iaitu lesi berwarna putih atau merah, berulser dan terdapat bonjolan atau bengkakan. Jangan panik! Tanda-tanda tersebut mungkin hanya sementara. Jika lebih daripada 3 minggu tanda-tanda tersebut masih kelihatan, anda bolehlah dapatkan khidmat pemeriksaan daripada doktor gigi.


BERAPA KERAP SAYA PERLU PERIKSA?

Tidak perlu setiap minggu anda memeriksa keseluruhan mulut. Cukuplah sekadar setiap bulan kerana lesi pra kanser hanya akan ditentukan selepas lesi tersebut kelihatan selama lebih daripada 3 minggu. Mungkin rutin pemeriksaan mulut dilakukan apabila anda menukar ubat gigi setiap bulan sebagai ingatan anda.

Periksa sendiri keadaan mulut anda kerana ianya mudah dan percuma. Selain hanya mengambil masa beberapa minit, ia dapat menyelamatkan nyawa anda dengan mengesan lebih awal pra kanser dan seterusnya kanser daripada terus berlaku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan