Ahad, 23 Oktober 2011

Trismus, kesakitan dari gigi bongsu

Kesakitan yang menghantuinya sejak beberapa hari di bahagian belakang pipi hingga ke telinga dan dahi membuatkannya tidak keruan. Semua perkara yang ingin dilakukan serba tidak mengena. Mulutnya tidak mampu membuka lebih besar daripada biasa. Malah sukar untuk membawa sesudu makanan ke dalam mulut. Amin cuba mengambil ubat penahan sakit seperti panadol dan juga ponstan tetapi masih tidak dapat melegakan kesakitan yang dialaminya.

Dia melewati klinik yang berdekatan, dia dinasihatkan oleh doktor agar berjumpa doktor gigi sesegera mungkin. Ini berikutan dari hasil pemeriksaan mendapati terdapat gigi bongsu Amin yang tersekat daripada tumbuh ke permukaan rongga mulut. Kesakitan berpunca dari kemasukkan plak yang berbakteria ke kawasan sekeliling gusi dan seterusnya menyebabkan kebengkakan. Hasilnya setelah berlarutan beberapa hari, bengkakkan menimbulkan nanah yang memasuki kawasan pipi lebih dalam. Akhirnya kesakitan dapat dirasai sehingga ke telinga dan dahi serta mulut tidak mampu dibuka.


Trismus

Situasi ini dikenali sebagai ‘trismus’ di mana berlaku ketegangan otot pengunyahan di sekitar mulut dan pipi. Biasanya ia berpunca daripada jangkitan di sekitar otot, kecederaan, selepas rawatan pembedahan dan radiasi. Kesan yang paling ketara adalah daripada sendi temporomadibular (TMJ) yang tidak berfungsi dengan baik. Ia menyebabkan seseorang mengalami kesakitan dan tidak mampu membuka mulut dengan bukaan yang normal.

Lazimnya bukaan mulut individu yang normal adalah sebesar 3 jari yang diletakkan menegak di antara gigi insisor (gigi hadapan, atas dan bawah) di rongga mulut. Jika kurang daripada itu, ia bermaksud bukaan mulut adalah terhad. Bukaan mulut yang terhad ini menghasilkan implikasi yang besar di dalam kehidupan seharian seseorang seperti Amin. Sukar untuk mengunyah makanan dan pengambilan makanan menjadi terhad hanya kepada makanan bercecair dan lembut sahaja. Tidak mampu berinteraksi kerana tidak dapat bertutur dan akhirnya sukar untuk menjaga kebersihan mulut.

Bagi situasi Amin, nanah yang menular masuk ke dalam pipi yang dalam menyebabkan bengkakkan menjadi lebih besar dan muka tidak simetri. Bengkakkan di muka yang semakin membesar menjadikan bukaan mulut terhad. Jika ianya berlarutan, sendi TMJ yang berdekatan mengalami kerosakan sementara atau kekal. Ini akan merumitkankan lagi keadaan Amin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan