Ahad, 30 Oktober 2011

Trismus, kesakitan dari gigi bongsu 2


Kerosakan sendi TMJ

Kerosakan yang berpunca dari sendi TMJ ini akan menyebabkan kemusnahan sel-sel otot pengunyahan dan sekitarnya. Kecederaan di antara tulang di sendi membuatkan pertumbuhan tisu konektif menjadi agresif dan seterusnya menyekat pergerakkan sendi.

Kerosakan sendi yang berpunca daripada trauma akan menghasilkan cecair pelincir di antara sendi berkurangan akibat pengumpulan sel-sel darah merah dan putih sebagai proses penyembuhan. Walau bagaimanapun ia akan menggalakkan pertumbuhan tisu konektif dan seterusnya menyebabkan sendi mengalami ankilosis (tidak mampu bergerak/kaku secara kekal).

Apabila pergerakkan sendi terganggu, otot di sekitarnya akan menerima rangsangan bahawa tiada tona pergerakkan daripada saraf. Otot akhirnya menjadi tegang dan menyakitkan.

Rawatan

Dapatkan rawatan secepat yang mungkin bagi mengelakkan berlakunya kesesakkan nafas hasil daripada bengkakkan. Doktor gigi melakukan pemeriksaan secara teliti dan lazimnya ubat antibiotik akan diberikan bersama-sama ubat tahan sakit. Habiskan ubat antibiotik yang diberikan kerana ianya akan melibatkan kesan pada rawatan yang seterusnya pada lawatan ke klinik pergigian yang akan datang.

Lebih kurang seminggu selepas pengambilan ubat, Amin diberikan temujanji untuk mengeluarkan gigi bongsunya melalui rawatan cabutan melalui pembedahan minor. Oleh itu, jika Amin dapat menghabiskan pengambilan ubat antibiotik, bengkakkan akan surut dan tiada komplikasi berlaku setelah pembedahan dilakukkan ke atasnya.

Lakukan pembersihan mulut secara rutin dan jangan lupa menggunakan ubat kumur sekiranya tidak mampu memberus gigi dengan baik ketika berlaku trismus.

Rujukan

  1. http://www.oralcancerfoundation.org/dental/trismus.htm
  2. http://simplestepsdental.com/SS/ihtSS/r.PSIHW000/st.32219/t.35197/pr.3.html

Ahad, 23 Oktober 2011

Trismus, kesakitan dari gigi bongsu

Kesakitan yang menghantuinya sejak beberapa hari di bahagian belakang pipi hingga ke telinga dan dahi membuatkannya tidak keruan. Semua perkara yang ingin dilakukan serba tidak mengena. Mulutnya tidak mampu membuka lebih besar daripada biasa. Malah sukar untuk membawa sesudu makanan ke dalam mulut. Amin cuba mengambil ubat penahan sakit seperti panadol dan juga ponstan tetapi masih tidak dapat melegakan kesakitan yang dialaminya.

Dia melewati klinik yang berdekatan, dia dinasihatkan oleh doktor agar berjumpa doktor gigi sesegera mungkin. Ini berikutan dari hasil pemeriksaan mendapati terdapat gigi bongsu Amin yang tersekat daripada tumbuh ke permukaan rongga mulut. Kesakitan berpunca dari kemasukkan plak yang berbakteria ke kawasan sekeliling gusi dan seterusnya menyebabkan kebengkakan. Hasilnya setelah berlarutan beberapa hari, bengkakkan menimbulkan nanah yang memasuki kawasan pipi lebih dalam. Akhirnya kesakitan dapat dirasai sehingga ke telinga dan dahi serta mulut tidak mampu dibuka.


Trismus

Situasi ini dikenali sebagai ‘trismus’ di mana berlaku ketegangan otot pengunyahan di sekitar mulut dan pipi. Biasanya ia berpunca daripada jangkitan di sekitar otot, kecederaan, selepas rawatan pembedahan dan radiasi. Kesan yang paling ketara adalah daripada sendi temporomadibular (TMJ) yang tidak berfungsi dengan baik. Ia menyebabkan seseorang mengalami kesakitan dan tidak mampu membuka mulut dengan bukaan yang normal.

Lazimnya bukaan mulut individu yang normal adalah sebesar 3 jari yang diletakkan menegak di antara gigi insisor (gigi hadapan, atas dan bawah) di rongga mulut. Jika kurang daripada itu, ia bermaksud bukaan mulut adalah terhad. Bukaan mulut yang terhad ini menghasilkan implikasi yang besar di dalam kehidupan seharian seseorang seperti Amin. Sukar untuk mengunyah makanan dan pengambilan makanan menjadi terhad hanya kepada makanan bercecair dan lembut sahaja. Tidak mampu berinteraksi kerana tidak dapat bertutur dan akhirnya sukar untuk menjaga kebersihan mulut.

Bagi situasi Amin, nanah yang menular masuk ke dalam pipi yang dalam menyebabkan bengkakkan menjadi lebih besar dan muka tidak simetri. Bengkakkan di muka yang semakin membesar menjadikan bukaan mulut terhad. Jika ianya berlarutan, sendi TMJ yang berdekatan mengalami kerosakan sementara atau kekal. Ini akan merumitkankan lagi keadaan Amin.

Ahad, 16 Oktober 2011

Pra Kanser Mulut 3

APA YANG DOKTOR GIGI AKAN LAKUKAN?

Pemeriksaan keseluruhan mulut dilakukan dan anda perlulah memberikan segala maklumat seperti tempoh kewujudan lesi dan tanda-tandanya. Setelah lesi dikenalpasti sebagai pra kanser, anda akan mendapatkan nasihat daripada doktor tentang cara penjagaan mulut agar dapat mengurangkan rebakan pra kanser. Sesetengah jenis pra kanser memerlukan ubat untuk mengawalnya. Oleh itu, sila patuhi arahan yang telah diberikan. Ingat! Ia bukan kanser!

Anda akan dirujuk kepada pakar untuk pemeriksaan lanjut. Sila hadir temujanji dengan pakar untuk mendapatkan kepastian yang jitu tentang perubahan lesi pra kanser kepada kanser. Ini penting agar kanser dapat dikesan lebih awal dan mampu menyelamatkan nyawa.


Sebelum penyakit menyinggah kepada diri kita, jagalah kesihatan mulut dan badan secara keseluruhan. Makan makanan yang berkhasiat dan seimbang. Jauhi pengambilan sireh, alkohol dan merokok. Lakukan pemeriksaan sendiri dan hadirlah ke klinik pergigian sekurang-kurangnya 2 kali setahun. Semoga kesihatan mulut menjadi tanda badan sihat dan cergas.

RUJUKAN

1. Cawson R.A and Odell E.W. Essential of Oral Pathology and Oral Medicine. 6th edition. 1998. Churchill Livingstone
2. Pamplet. Looking in your mouth to look after yourself. Department of Health Psychology, King’s College London.
3. Kamus Dwibahasa. Bahasa Inggeris–Bahasa Melayu. Edisi Kedua. Dewan Bahasa dan Pustaka.2002.
4. Kamus Dewan. Edisi Keempat. Dewan Bahasa dan Pustaka. 2005
5. http://www.infosihat.gov.my
6. http://www.healthline.com?galacontent/smoking-cessation
7. http://www.about.com
8. learn.genetics.utah.edu

Ahad, 9 Oktober 2011

Pra Kanser Mulut 2

PRA KANSER: PERIKSA SENDIRI DI RUMAH

Apabila anda datang ke klinik pergigian atau hadir ke kem kesihatan anjuran klinik pergigian yang berdekatan, anda akan diperiksa keseluruhan mulut. Lakukan pemeriksaan pra kanser/kanser pada setiap tahun.

Pemeriksaan pra kanser/ kanser sebenarnya anda boleh melakukannya sendiri di rumah dengan menggunakan cermin muka. Tanggalkan apa-apa aplians (gigi palsu atau pendakap gigi boleh tanggal) yang terletak di dalam mulut anda.

Pertama: Periksa bibir dan gusi dengan menarik bibir bawah dan atas
keluar menggunakan jari anda di hadapan cermin muka.

Kedua: Periksa bahagian dalam pipi dengan letakkan dua jari di antara
sudut atas dan bawah bibir. Tolak ke arah tepi dan lihat melalui cermin
muka. Lakukan bagi kedua-dua belah pipi.

Ketiga: Periksa lidah dengan mengeluarkan lidah sepanjang yang
mungkin (jelirkan lidah). Bawa lidah anda ke kanan dan ke kiri di hadapan
cermin muka.

Keempat: Periksa lelangit mulut dengan membuka mulut seluasnya dan
angkat sedikit kepala sehingga dapat lihat lelangit mulut anda.

Kelima: Periksa lantai mulut dengan membawa dan meletakkan lidah ke
lelangit. Lihat bawah lidah seterusnya tunduk sedikit untuk melihat
keadaan lantai mulut pada cermin muka.

Periksa keseluruhan mulut, beberapa tanda yang boleh kelihatan iaitu lesi berwarna putih atau merah, berulser dan terdapat bonjolan atau bengkakan. Jangan panik! Tanda-tanda tersebut mungkin hanya sementara. Jika lebih daripada 3 minggu tanda-tanda tersebut masih kelihatan, anda bolehlah dapatkan khidmat pemeriksaan daripada doktor gigi.


BERAPA KERAP SAYA PERLU PERIKSA?

Tidak perlu setiap minggu anda memeriksa keseluruhan mulut. Cukuplah sekadar setiap bulan kerana lesi pra kanser hanya akan ditentukan selepas lesi tersebut kelihatan selama lebih daripada 3 minggu. Mungkin rutin pemeriksaan mulut dilakukan apabila anda menukar ubat gigi setiap bulan sebagai ingatan anda.

Periksa sendiri keadaan mulut anda kerana ianya mudah dan percuma. Selain hanya mengambil masa beberapa minit, ia dapat menyelamatkan nyawa anda dengan mengesan lebih awal pra kanser dan seterusnya kanser daripada terus berlaku.

Ahad, 2 Oktober 2011

Pra Kanser Mulut 1

Seorang pesakit telah datang ke klinik gigi mengadu tidak selesa pada kawasan pipinya. Sakit semasa makan makanan panas dan pedas yang telah menjadi makanan rutinnya.

Doktor gigi mendapati terdapat bintik-bintik putih yang ketara di kawasan aduan. Diikuti jaringan jalur putih yang menyambungkan di antara bintik-bintik putih tersebut. Doktor menyatakan bahawa ianya adalah lesi pra kanser.

Pernahkah anda merasa tidak selesa di dalam mulut anda? Adakah anda sedar bahawa terdapat perubahan pada gusi dan tisu lembut di dalam mulut anda? Cuba periksa betul-betul keadaan mulut anda menerusi pembacaan ini.


APA ITU PRA KANSER?

Pesakit tersebut sedang mengalami pra kanser tetapi bukan kanser. Pra kanser adalah tanda-tanda wujudnya sel-sel kanser sebelum menjadi lebih agresif.

Biasanya doktor gigi akan menemui lesi pra kanser ini lebih banyak berbanding mengesan kehadiran kanser. Namun tidak semua lesi pra kanser menjadi kanser. Jika dikesan seawal mungkin, lesi tersebut dapat dielakkan daripada menjadi kanser.


PUNCA DAN TANDA-TANDA PRA KANSER

Ramai yang telah ketahui bahawa kanser boleh diwarisi melalui genetik. Jika salah seorang daripada ahli keluarga pernah mengalami pra kanser atau kanser, kemungkinan besar ia akan berlaku pada diri kita. Tanpa kita sedari, sel-sel berubah sifat sedikit demi sedikit dan menyebabkan kita tidak merasa sakit.

Pengambilan alkohol dan merokok yang berlebihan akan meninggalkan kesan yang ketara di dalam mulut. Begitu juga pemakanan sireh yang mengandungi tembakau dan buah pinang. Ketiga-tiga tabiat ini akan menyebabkan lesi pra kanser cepat berlaku. Seterusnya mempercepatkan kadar perubahan sel-sel untuk menjadi kanser

Selain apa yang telah diadukan oleh pesakit yang dinyatakan di atas, terdapat beberapa tanda-tanda pra kanser yang telah dikenalpasti oleh pakar pergigian. Sakit adalah salah satu tanda utama. Namun, jangan terkejut jika sesetengah pesakit tidak pernah merasa sakit tetapi kebas pada bahagian lesi.

Umur merupakan faktor kedua. Bagi wanita, risiko yang tinggi jika anda adalah berumur dan menopaus. Lazimya lesi pra kanser berlaku di kawasan sukar untuk dikesan oleh kita. Contohnya di kawasan belakang gigi geraham, belakang lidah dan lantai mulut. Kawasan tersebut samada berwarna putih atau merah. Mungkin berbintik, berjalur, berbonjol atau berulser.

Kulit yang pada asalnya lembut, lembap dan berair, menjadi tegang dan kering. Ini membuatkan seseorang itu tidak selesa dengan keadaan mulutnya. Bagi sebahagian individu, pra kanser boleh menyebabkan ketegangan pada sendi sehingga sukar untuk membuka mulut. Ini akan menyukarkannya untuk bercakap dan mengunyah makanan.

Lesi pra kanser ini tidak akan sembuh untuk beberapa minggu dan semakin membesar. Dalam pada itu juga, sel-sel mula berubah sikap menjadi lebih agresif dan menjadi kanser jika tidak terus mendapatkan rawatan.