Ahad, 25 Disember 2011

Sakit Gusi; perkaitan dengan masalah perubatan 3


Diabetes/kencing manis
Bagi masalah kencing manis, penyakit gusi memang cukup sinonim di dalam bidang perubatan pergigian. Ramai pakar mengakui dan disahkan melalui pelbagai kajian bahawa kedua-dua penyakit ini saling berkaitan. Kencing manis melemahkan sistem pertahanan badan seseorang. Salur darah pesakit diabetes menebal dan pengaliran darah yang perlahan, kurang nutrient dan mengandungi lebih banyak toksin.

Pesakit yang tidak mengawal kadar gula di dalam badannya adalah lebih banyak kehilangan gigi berbanding diabetes yang terkawal. Melalui sedikit luka, jangkitan boleh berlaku di sekitar luka tersebut. Apatah lagi jika berlaku luka semasa memberus gigi. Luka lambat sembuh dan mudah dijangkiti bakteria Pesakit mengalami masalah mulut kering yang dipanggil Xerostamia.
Dengan adanya tanda-tanda penyakit gusi, ia akan meningkatkan sistem keradangan badan dan bahan endotoksin mengiritasi proses keradangan yang berlaku di kawasan luka. Pesakit mudah mengalami kehilangan awal gigi kerana keradangan yang sering berlaku dan menyebabkan struktur penyokong gigi mudah luruh. Akhirnya pesakit memerlukan cabutan dan digantikan dengan gigi palsu.

Pemakanan ubat
Pemakanan ubat-ubatan untuk jangkamasa panjang memberikan implikasi yang besar pada tubuh badan pesakit. Di dalam mulut, beberapa pengambilan ubat boleh menyebabkan pembesaran gusi secara mendadak dan perubahan kedudukan gigi berlaku. Ini menyulitkan pesakit untuk makan dan bercakap. Contoh, pengambil ubat nephidipine untuk pesakit jantung.
Prosedur rawatan pergigian bagi pesakit yang mengalami masalah perubatan dan penyakit gusi ini amat rumit. Sebelum rawatan diberikan, pemeriksaan dan latarbelakang mengenai masalah perubatan perlu diberi dengan lengkap. Ini amat penting kerana sebarang komplikasi cabutan akan dikaitkan dengan masalah perubatan.
Melalui maklumat yang diberi, biasanya masalah perubatan akan diperiksa dahulu sebelum cabutan gigi dilakukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan