Ahad, 20 November 2011

Rokok pemusnah bangsa 1


Apa itu rokok?

Daun tembakau kering dileraikan dan digulung di dalam kertas. Kemudian dicucuh api pada hujung kertas itu dan bakarnya sedikit demi sedikit. Ia memberikan nikmat yang tidak terkata bagi yang menagihnya. Rokok merupakan salah satu tabiat ketagih yang berlaku di dalam masyarakat pada masa kini.

Bagi sesetengah individu merasa bangga dengan merokok. Rasa kelakian terserlah dan menjadikan diri lebih berkeyakinan untuk berinteraksi dengan individu lain. Tetapi sedarkah mereka, semua kebanggaan dan keegoan yang terserlah itu akan lupus bila mana mereka terlantar kesakitan akibat merokok. Pada masa itu, hanya keluarga sahaja yang mereka boleh harapkan atau tiada sesiapa yang mampu mendampingi mereka.


Kandungan rokok

Lebih dari 4,000 bahan kimia yang terdapat di dalam sebatang rokok. Bahan utama yang ada di dalam rokok adalah nikotin. Nikotin, asalnya tidak berwarna dari daun tembakau tetapi kesannya cukup besar pada perokok tegar. Jika anda baru pertama kali merokok, selama 10 saat, 1-2 mg bahan nikotin akan memasuki cecair otak. Nikotin akan menyebabkan dopamine dalam otak dirembeskan menyebabkan rasa ketagih untuk merokok lagi.

Ini membuatkan seseorang yang kehabisan rokok kadang kala berkelakuan seperti gangguan akal dan tertekan. Oleh itu, terlalu sukar bagi individu yang sudah terjerat dengan ketagihan merokok untuk meninggalkan tabiat itu selamanya.

Nikotin juga akan merangsang kelenjar adrenal untuk mengeluarkan adrenalin.  Rembesan ini akan meningkatkan tekanan darah, kadar pernafasan dan denyutan jantung. Ia menjadi punca serangan jantung secara tica-tiba dan seterusnya koma.

Selain nikotin, minyak tar juga terkandung di dalam sebatang rokok. Minyak ini sebenarnya sering digunakan untuk penurapan jalan raya. Bahan yang terdapat dalam tar akan mencetuskan sel-sel bertindak agresif. Sel-sel ini akan memulakan pembentukan kanser.

Karbon monoksida pula adalah gas beracun yang keluar dari asap rokok. Gas ini biasanya dikeluarkan oleh kenderaan yang menggunakan diesel atau petrol. Oksigen yang dibekalkan oleh gas ini kepada tisu-tisu menyebabkannya terencat. Jika gas ini melebihi 60% di dalam badan, sel-sel akan rosak teruk dan akhirnya maut akan menyahut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan