Ahad, 6 November 2011

Rahang dislokasi 1


Denilia berumur 24 tahun, tidak mampu menutup mulutnya semula setelah menguap besar semasa bangun dari tidur. Dia pernah mengalami rasa sakit di sekitar pipi hingga ke telinga sebelum ini terutama ketika makan makanan yang rangup dan keras seperti keropok. Tetapi selama itulah tidak dihiraukannya. Kini, mulut tidak mampu ditutup semula buat beberapa ketika. Dia dibawa bergegas ke klinik dan doktor gigi membantunya menutup mulutnya semula.

Bagaimana ini terjadi? Pernahkah anda melaluinya? Apakah yang perlu dilakukan sekiranya ianya berlaku buat pertama kali atau telah beberapa kali berlaku ke atas diri anda? Tahukah anda, ia juga boleh terjadi semasa rawatan pergigian dilakukan akibat membuka mulut terlalu lama?

Bukaan mulut yang normal adalah sebesar 3 jari anda sendiri diletakkan secara menegak di antara gigi insisor (gigi hadapan, atas dan bawah) di rongga mulut. Jika bukaan mulut melebihi daripada ukuran itu dan mulut tidak boleh ditutup, ini bermakna individu tersebut mengalami rahang dislokasi.


Rahang dislokasi

Rahang bersambung dengan tengkorak melalui sendi yang dikenali sebagai sendi Temporomandibel (TMJ). Untuk pengetahuan, TMJ terletak di hadapan telinga. Anda boleh merasai pergerakan rahang dengan meletakkan jari di hadapan telinga sambil buka serta tutup mulut. Sendi terdiri daripada bebola (kondil) dan soket serta diselaputi dengan cecair untuk memudahkan pergerakan. Seperti di mana-mana sendi lain di dalam tubuh manusia, pergerakan bebola dikawal hanya di sekitar soketnya sahaja. Apa yang dirasai dengan meletakkan jari di hadapan telinga adalah pergerakan kondil di dalam soket iaitu ke hadapan dan ke belakang.

Rahang dislokasi bermaksud perubahan pergerakan kondil tergelincir daripada soketnya. Semasa bukaan mulut yang maksimum, kondil bergerak ke hadapan dan tergelincir melebihi sempadan soket yag dikenali sebagai artikular aminen. Sekatan daripada artikular aminen ini membuatkan mulut tidak boleh ditutup semula kerana kondil tidak boleh kembali ke dalam soket dan mengakibatkan ketegangan di kawasan telinga dan pipi. Kejadian ini bakal berulang kembali mungkin disebabkan ligamen yang memegang TMJ menjadi semakin longgar dan tidak bersifat anjal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan