Seorang isteri telah datang kepada saya bertanyakan tentang
ubat yang sesuai untuk gigi suaminya yang sensitif. Beliau menyatakan bahawa
keadaan suami agak membimbangkan akibat terlalu sensitif sehinggakan tidak
mampu makan dan minum samada yang sejuk atau panas.
Memandangkan melalui perbualan yang singkat tidak
mengambarkan permasalahan sebenar. Saya meminta suaminya datang ke klinik untuk
membuat pemeriksaan lanjut. Ini penting bagi saya agar tidak tersalah dalam
membuat telahan permasalahan pesakit. Adalah lebih baik kiranya saya dapat
melihat sendiri keadaan di dalam mulut pesakit. Seterusnya saya dapat
memberikan rawatan yang sewajarnya sesuai dengan masalah pesakit itu.
Datang
ke klnik
Pesakit mengadu rasa sensitif dan kurang selesa ketika
makan dan minum yang sejuk. Kadang-kala, terganggu ketika bercakap terutama
ketika sebutan yang melibatkan angin masuk ke dalam mulut. Kawasan yang paling
sensitif adalah di permukaan mengunyah gigi belakang atas dan bawah.
Pemeriksaan di dalam mulut pesakit mendapati terdapat
hampir keseluruhan giginya mengalami kehausan sturktur gigi. Permukaan gigi yang
seharusnya mempunyai bentuk permukaan yang berlekok menjadi hampir rata dan
kilat serta licin. Walau bagaimanapun, ianya tidak menjejaskan gigitan dan
proses pengunyahan. Lapisan pertama gigi, enamel sangat nipis malahan ada yang
tiada dan mendedahkan lapisan kedua, dentin. Terdapat juga gigi yang terlalu
nipis sehingga hampir mendedahkan lapisan pulpa di mana menempatkan salur darah dan saraf.