Jumaat, 6 November 2009

Jambatan Pergigian sama dengan Jambatan Pulau Pinang?

Semalam saya berhubung dengan seorang rakan lama. Beliau merupakan sahabat saya semasa sekolah rendah dan kini bertugas sebagai seorang Jurutera. Dalam perbualan kami, satu persoalan yang dilontarkan adalah berkaitan dengan bidang saya dan bidang kerjanya. Dia mengatakan bahawa pernah terlihat satu blog yang membincangkan tentang Jambatan Pergigian tetapi tidak menelitinya dengan betul.


Pada hematnya, Jambatan Pergigian adalah sama strukturnya dengan Jambatan Pulau Pinang. Ia bermaksud bagi sesuatu Jambatan yang hendak dibina, ia memerlukan sungai atau air di bawahnya, memerlukan tiang yang kukuh dan perlu ada pengiraan yang sesuatu untuk jambatan itu kukuh dan tidak mudah roboh.

Pandangan beliau amat saya hargai. Ia sememangnya pendangan bukan sahaja dari seorang jurutera tetapi ramai yang di luar sana membayangi maksud yang sama. Secara asasnya, jambatan memerlukan tiang dan di bawah jambatan terdapat rongga yang akan dilalui oleh sesuatu seperti air. Contohnya, Jambatan Pulau Pinang.

Dalam bidang pergigian, dengan asas yang sama tetapi diaplikasi mengikut kesesuaian keadaaan di dalam mulut. Tujuan utama jambatan pergigian dibina adalah mengantikan gigi yang telah hilang samada disebabkan oleh rosak atau dicabut. Maksudnya, satu batang atau beberapa gigi telah hilang dan masih terdapat gigi kekal yang lain di dalam rongga mulut. Gigi yang masih ada di antara ruang kosong tersebut akan dijadikan tiang atau lebih dikenali sebagai gigi tumpang.

Di bawah jambatan pergigian, terdapat ruang dimana menjadi laluan kepada cecair makanan atau air semasa berkumur. Ruang tersebut juga merupakan ruang pembersihan dengan cara melalukan flos pergigian khas di bawah jambatan pergigian. Pembersihan ini penting agar gusi tidak membengkak dan radang.

Kebaikan penganti gigi ini adalah tidak seperti gigi palsu yang perlu ditanggalkan dan dibersihkan serta direndam di dalam bekas berair pada setiap malam. Jambatan pergigian ini akan tetap kekal di dalam mulut dan membuatkan pemakai tidak merasa kehilangan gigi.

Prosedur yang dilakukan:

1. Pesakit diminta datang ke klinik selepas sebulan membuat cabutan.
2. Setelah gusi gigi yang telah dicabut didapati sihat, doktor gigi akan memeriksa pula gigi bersebelahannya samada bergoyang dan gisu sekelilingnya sihat serta tidak berkaries (walaupun terdapat tampalan).
3. Perbincangan akan dimulakan di antara doktor gigi dan pesakit berkaitan prosedur rawatan yang akan dilakukan serta bagi menentukan jenis gigi penganti, warna yang sesuai dan kemampuan pesakit.
4. Setelah perbincangan disepakati, acuan mulut diambil bagi mendapatkan model kajian kesesuaian kes serta membina kelongsong jambatan sementara (bagi sesetengah kes).
5. Penyediaan gigi tumpang dilakukan dengan mengurangkan beberapa milimeter ketebalan gigi bagi memberikan laluan kepada jambatan menyarungi gigi tersebut.
6. Acuan gigi diambil sekali lagi bagi mendapatkan ketepatan dan kejituan bentuk gigi tumpang yang telah disedia bagi membuat Jambatan Pergigian yang sebenar.
7. Sementara menunggu Jambatan Pergigian untuk siap, Jambatan sementara akan disarungkan kepada gigi yang telah disedia agar pesakit tidak merasa sensitif dan merasa telah ada gigi di dalam mulutnya. Tempoh masa yang di perlukan adalah bergantung kepada jarak klinik dan makmal yang membuat Jambatan Pergigian
8. Setelah Jambatan telah siap, pesakit diminta hadir ke klinik (telah ditetapkan temujanjinya) bagi menukarkan Jambatan sementara kepada Jambatan Pergigian sebenar. Penyimenan Jambatan dilakukan pada tiang (gigi tumpang) dan dipastikan ruang di antara gusi dan bawah jambatan diperolehi.
9. Tunjukajar pembersihan gigi akan diberikan setelah pesakit dan doktor gigi berpuas hati.

Rujukan:
1. www.aacd.com.au/dental-bridge.htm
2. dentistry.about.com/.../ss/bridgemaint_4.htm
3. www.dentalwestwood.com/bridges/index.htm