Sabtu, 31 Oktober 2009

Mengatasi fobia anak ke klinik gigi

Dari sudut perubatan psikologi mengatakan bahwa resah, bimbang dan takut adalah sesuatu yang biasa di kalangan kanak-kanak dan biasanya ia tidak akan berterusan untuk jangka masa yang panjang. Perasaan ini bermula apabila bertemu orang-orang asing dan bila berpisah dari penjaga adalah dua perasaan yang biasa di alami oleh kanak-kanak. Ini adalah satu perkembangan yang biasa.

Keresahan terhadap orang-orang asing bermaksud bahawa kanak-kanak merasa takut bila berhadapan dengan orang yang tidak dikenali. Dalam konteks pergigian, doktor gigi dan kakitangan yang ada di klinik dianggap sebagai orang asing. Biasanya terjadi pada peringkat umur 4 - 5 bulan dan akan memuncak hingga ke usia 12 bulan.

Kajian mendapati 80-85% pesakit yang datang ke klinik pergigian mengalami fobia rawatan pergigian. Ini bukan sahaja takut sakit tetapi takut dari segi psikologi terhadap doktor gigi tidak kecuali pada kanak-kanak kerana di awal usia ke klinik pergigian ini adalah pengalaman pertama.

Selain itu, kanak-kanak belajar dari pengalaman yang dialami ketika melihat ibubapa atau saudara terdekat menjalani rawatan yang menakutkan ketika di klinik pergigian. Pembelajaran ini akan membuatkan kanak-kanak takut untuk menjalani rawatan pergigian seterusnya tidak menghadiri temujanji pergigian

http://www.ahu.on.ca/Default.aspx?l=,1,10,53,82

Langkah yang perlu dilakukan:

1. Mulakan dari awal dengan membawa anak anda bersama bila anda jumpa doktor gigi. Persatuan Pergigian Malaysia mengesyorkan supaya anda mula membawa anak berjumpa doktor gigi apabila dia sudah mencecah 1 tahun.

2. Ibubapa dan doktor gigi masing-masing memainkan peranan yang penting dalam menyediakan keadaan yang positif untuk perjumpaan pertama ini.

3. Pilihlah doktor yang mahir dalam mengendalikan kanak-kanak kecil. Tidak semestinya Pakar.

4. Tanyalah sesama rakan-rakan anda jika mereka dapat mengesyorkan doktor gigi yang prihatin dan simpati dengan ketakutan yang dialami kanak-kanak kecil.

5. Sesetengah doktor gigi mengadakan sesi untuk menyediakan kanak-kanak sebelum perjumpaan pertama.

6. Anda boleh temani anak anda untuk kali pertama sesi perjumpaan.

7. Kebanyakan kanak-kanak takutkan orang yang tidak dikenali termasuklah si doktor gigi. Tunjukkan kepadanya yang doktor itu adalah orang yang anda kenali dan percayai. Dengan memperlihatkan reaksi yang tenang, ia akan membantu anak anda menyesuaikan dirinya dengan lebih cepat.

8. Biasakan anak anda dengan doktor gigi dengan membawanya untuk pemeriksaan sahaja tanpa berbuat lebih dari itu. Janganlah tunggu sehingga sakit gigi baru hendak jumpa doktor kerana dia akan mengaitkan kesakitan dengan doktor gigi.

9. Dengar apa yang diperkatakan oleh kanak-kanak itu dan fahami tingkahlakunya. Dengar di mana kesakitan yang dialaminya.

10. Jangan sekali-kali memaksa atau mengugut anak anda. Ini akan menimbulkan rasa negatif setiap kali berjumpa doktor.

11. Yang paling penting pujilah anak anda setiap kali dia bekerjasama dan berjaya menjalani pemeriksaan di klinik gigi dengan baik.

12. Anda perlu faham bahawa peralatan yang digunakan oleh doktor gigi menakutkan bagi kanak-kanak. Cadangkan supaya doktor anda menunjukkan dan menerangkan kepada anak anda satu per satu peralatan yang akan digunakan

13. Sikap anda juga penting. Elakkan dari mengalihkan rasa takut anda sendiri kepada anak anda kerana dia akan merasainya. Jangan berbincang mengenai pengalaman silam yang menyakitkan dan elakkan dari menggunakan perkataan yang negatif.

14. Jangan pula menghadiahkannya dengan gula-gula selepas itu! Ini bertentangan pula dengan amalan penjagaan gigi yang baik.

Kanak-kanak lazimnya mempelajari banyak tentang kehidupan melalui ibubapa mereka. Jadi, ibubapa mestilah peka tentang perkara ini untuk memastikan yang anda tidak memindahkan ketakutan anda sendiri kepada anak-anak. Dengan erti kata lain, anak takut akan sesuatu kerana melihat reaksi ibu bapa.