Ahad, 29 Julai 2012

Puasa dan rawatan pergigian 6


Penutup

Apapun yang berlaku, Islam menyarankan umatnya agar menjaga perkataan yang keluar daripada mulut terutamanya ketika berpuasa. Al-Dailami meriwayatkan daripada Ibnu Umar, katanya;
“Diam orang puasa merupakan tasbih, tidurnya adalah ibadah, doanya mustajab dan amalannya digandakan”.

Banyakkan berzikir dan selawat. Jika mampu banyakkan ibadah untuk bekalan di akhirat. Imam khari, Muslim dan Ahmad meriwayatkan hadis daripada Sahal bin Sa’d, bersabda Rasulullah s.a.w.;
“Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan al-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesa masuk nescaya ditutupnya”.

Sumber: 
1. http://www.mda.org.my/07_public_01healthcare.htm Tips for dental care during fasting, reported by Dr Tuti Ningseng Mohd Dom & Dr Shahida Mohd Said 

Ahad, 22 Julai 2012

Puasa dan rawatan pergigian 5


Rawatan pergigian

Walau bagaimanapun, rawatan pergigian boleh dilaksanakan ketika puasa. Rawatan penskaleran, pembersihan akar yang terdedah, penyapuan fluorida setempat, tampalan dan rawatan akar boleh dilakukan tanpa perlu berbuka. Hanya berkumur-kumur samada dengan ubat kumur atau tidak, usahlah berlebihan terutama pada setiap sela masa rawatan dilakukan kerana dikuatiri tertelan.

Penggunaan bahan tampalan dan lapisan tampalan tidak membatalkan puasa. Lazimnya, pesakit dinasihatkan berkumur apabila selesai satu-satu prosedur rawatan. Ini membantu pengeluaran bahan tampalan daripada tertelan. Penggunaan alat pergigian yang mempunyai semburan air juga tidak menjejaskan ibadah puasa anda. Semburan air adalah sistem penyejuk agar struktur gigi dan gusi tidak rosak akibat haba yang dihasilkan oleh peralatan pergigian. Air yang bertakung akan disedut oleh alat penyedut, dipegang oleh pembantu di sebelah kiri pesakit. Ini membuatkan pesakit lebih selesa dan tidak mudah tertelan air.

Apabila anda sakit gigi dan anda diminta mengambil ubat, sila maklumkan kepada doktor gigi yang anda berpuasa. Anda boleh meminta kepada doktor gigi agar ubat yang diberi sesuai dengan waktu makan anda iaitu selepas berbuka puasa hingga ke waktu imsak. Contohnya; ubat yang boleh diambil hanya 2 kali sehari.

Jika perlukan cabutan, pemberian bius setempat (jenis spray, disapu atau suntikan) pada kawasan cabutan tiada masalah. Ia tidak membatalkan puasa kerana bukan jenis bahan nutrisi yang bertujuan memberikan tenaga tetapi untuk memastikan tiada deria rasa sakit ketika rawatan diberikan.

Sungguhpun begitu, masih ramai yang berpendapat untuk mengelakkan mendapatkan rawatan ketika puasa bagi menjaga kesempurnaan melaksanakan ibadah tersebut. Dapatkan nasihat dan rawatan dari doktor gigi yang berdekatan bagi membantu menyelesaikan masalah pembersihan mulut. Diharap anda dapatkan rawatan sebelum bermulanya bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadhan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang memudaratkan ibadah puasa.

Ahad, 15 Julai 2012

Puasa dan rawatan pergigian 4


Amalan baik semasa berpuasa

Apabila berpuasa, makanan tidak akan berada di dalam mulut sepanjang masa seperti hari-hari lain. Ini membuatkan keadaan dalam mulut sentiasa berada pH yang optimum (pH≈7). Ini akan mengurangkan aktiviti bakteria untuk menghasilkan karies gigi dan penyakit gusi. Makanan yang manis hanya boleh diambil semasa berbuka dan bersahur.

Penggunaan ubat gigi semasa memberus gigi ketika puasa ada sedikit perbezaan pendapat. Namun, apa yang pasti, berus gigi dengan ubat gigi berfluorida selepas berbuka puasa dan selepas bersahur adalah paling baik. Pastikan juga lidah dan permukaan mukosa/dinding pipi diberus bersama. Jangan lupa mengeluarkan sisa makanan di celah-celah gigi dengan menggunakan benang flos. Bagi yang memakai gigi palsu jangan lupa bersihkan gigi palsu sebaik sahaja selepas berbuka dan sahur.
Penggunaan ubat kumur dibenarkan ketika berpuasa. Berkumurlah selepas memberus gigi sekiranya perlu. Cuba elakkan ubat kumur yang berunsurkan alkohol kerana ia akan membuatkan mulut anda kering.

Elakkan pengambilan makanan yang mampu mengeluarkan bau yang kuat. Jika ada mengambilnya, lakukan pemberusan gigi sebaiknya selepas makan mampu menyingkirkan halitosis. Banyakkan minum air masak pada waktu malam (di antara waktu berbuka hingga imsak).

Adalah amat digalakkan sekiranya individu yang merokok memulakan langkah untuk berhenti merokok ketika puasa. Tidak merokok menjadi pelengkap kepada ibadah puasa.

Ahad, 8 Julai 2012

Puasa dan rawatan pergigian 3


Puasa dan berus gigi

Pertengahan Ramadhan, seorang pesakit 13 tahun, datang ke klinik untuk mendapatkan surat rujukan kepada pakar ortodontik (Pakar dalam penyusunan gigi). Sebagai pegawai yang merujuk kes kepada pakar saya perlu meastikan keadaan dalam mulut pesakit saya berada di tahap kebersihan yang maksimum. Apatah lagi rawatan pakar otodontik, ia memerlukan penelitian tentang kebersihan yang baik dan memuaskan.

Pakar ortodontik mahukan pesakit mereka menjaga kebersihan mulut masing-masing terutama mereka yang telah memakai aplians (samada pendakap gigi atau peralatan dalam mulut yang boleh tanggal). Apabila sudah memakai aplians, pembersihan yang teliti harus dilakukan agar tiada kejadian gigi tersusun cantik tetapi semuanya berlubang akibat penjagaan gigi yang tidak baik.

“Maaf Doktor, saya tak berus gigi pagi tadi lepas sahur. Mak kata makruh berus gigi selepas waktu imsak”, pesakit itu bersuara setelah saya menjemputnya naik ke kerusi pergigian.

“Mengapa begitu? Awak percaya 100% tentang hukum itu? Pernah tak awak dengar tentang Rasulullah sering bersiwak walaupun dalam keadaan berpuasa?” saya bertanyakan soalan bertubi-tubi untuk kepastian.

“Tak tahu la saya, doktor. Itu yang mak cakap pada saya”

 “Begini, Imam Ahmad melaporkan berkenaan kerapnya Rasulullah bersiwak walaupun dalam keadaan berpuasa. Satu lagi, Ibnu Amir bin Tabi’ah pernah berkata; “Saya melihat Rasullah berkali-kali bersiwak dalam keadaan berpuasa yang tidak dapat saya hitung dan kesan”.

“Ye ke, doktor?” tanya kehairanan pesakir itu dengan menjengkel mata.

“Kenapa ini berlaku? Salahkah Rasulullah bersiwak ketika berpuasa? Tak rugi kalau awak berus gigi. Malah dapat pahala lagi sebab awak menjaga kebersihan dan menunjukkan kebersihan amat penting dalam Islam. Kalau boleh berus gigi setiap kali hendak solat itu lagi baik. Cuma, jangan keterlaluan sehingga mencapai tahap makruh di sisi ibadah puasa, seperti sengaja menelan sedikit air kumuhan selepas memberus gigi.” saya menerangkan kepadanya sambil menunggu pembantu saya menyediakan segala peralatan dan bahan setelah saya memberikan isyarat tangan menunjuk ke arah alat penskaleran.

Saya teringat satu ceramah yang pernah saya hadiri ketika belajar di univeristi dahulu. Penceramah itu pernah menyebutkan tentang larangan berkumur berlebihan ketika berpuasa, katanya;
“Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Qait bin Sabran; “Berlebihanlah dalam berkumur melainkan engkau berpuasa”

“Sekarang saya perlu bersihkan seluruh mulut awak dengan prosedur penskaleran. Minggu ini saya tidak boleh rujuk awak kepada Pakar Ortodontik. Dua minggu lagi saya akan beri tarikh temujanji untuk memastikan awak dapat menjaga kebersihan mulut dengan baik sebelum saya buatkan surat rujukan kepada pakar”, terang saya lagi dengan lebih lanjut dan tegas agar pesakit dapat mematuhi nasihat yang diberikan. Tangan saya terus menyambar alat penskaleran dan membuat ‘pembersihan’ seluruh mulutnya. Pesakit akur tindakan saya dengan membuka mulut tanda bersedia menjalani prosedur penskaleran. Sambil menjalankan prosedur saya bercerita tentang apa yang saya faham berkaitan memberus gigi ketika berpuasa.

Ada pendapat mengatakan bahawa memberus gigi ketika berpuasa adalah harus. Tiada penegahan tentang bersugi ketika berpuasa. Ini merujuk dalam hadis yang bermaksud;
“Kalaulah tidak memberatkan bagi umatku, maka aku akan menyuruh mereka untuk bersiwak setiap kali ingin mendirikan solat.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun, dikatakan makruh sekiranya bersugi ketika matahari tegak di kepala (selepas waktu zuhur). Adalah lebih afdal sekiranya bau mulut orang berpuasa dibiarkan sahaja. Ini termaktub di dalam hadis di mana Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah, sabda Rasulullah s.a.w.;
“Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadhan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka;
1.     Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi,
2.     Malaikat mengampunkan mereka sehingga waktu berbuka
3.     Allah hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hambaku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepada mu
4.     Diikat padanya syaitan
5.     Diampunkan bagi mereka pada akhir malam”

Ahad, 1 Julai 2012

Puasa dan rawatan pergigian 2


Halitosis

Mulut berbau atau yang lebih dikenali dengan halitosis sering berlaku terutama mulut yang kering (bermaksud bukan sahaja mereka yang sedang berpuasa tetapi mereka yang kurang minum air dan mengalami masalah perubatan seperti pesakit kanser). Mulut kering berlaku akibat kurangnya rembesan air liur atau kurangnya minum air. Air liur sebagai pembilas mulut semulajadi kurang dirembeskan kerana tiada proses penguyahan ketika berpuasa. Pembilasan air liur mampu membuang cebisan sisa-sisa makanan dari permukaan licin gigi. Kekurangan minum air semasa puasa menyebabkan air liur menjadi likat dan susah membilas mulut. Maka, berlaku kekurangan oksigen dengan menyediakan suasana anaerobik yang sesuai untuk peningkatan pembiakan dan aktiviti bakteria.

Ini bermakna punca sebenar halitosis adalah daripada penjagaan kesihatan harian. Ia bukan berpunca daripada puasa. Makanan yang terselit di celah-celah gigi memberikan kesan bau yang kuat apabila mengalami proses pereputan. Mulut kering lebih memburukkan lagi keadaan kerana kesan pereputan sisa makanan mengeluarkan gas pereputan bercampur dengan bau asid hasil daripada aktviti bakteria dalam mulut. Pembersihan mulut harus dilakukan dengan segera sekiranya mahu kesan bau dikurangkan. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud;
“Siwak dapat membersihkan mulut dan membuat Tuhan senang.”
(Hadis riwayat Bukhari dari Aisyah)

Dalam menjalankan ibadah puasa, penjagaan kebersihan gigi tetap dititikberatkan. Dicadangkan berus gigi dengan ubat gigi selepas berbuka puasa dan bersahur. Dari riwayat At-Tabrani,
“Bersiwaklah (dalam berus) sisa-sisa makanan antara gigi kerana (membersihkan sisa-sisa makanan semacam itu) termasuk kebersihan dan kebersihan itu membawa kepada iman dan iman itu bersama-sama pemiliknya di syurga”

Pemakanan harus dijaga. Bawang putih, bawang merah, keju, susu dan daging mampu menyumbang masalah halitosis. Tidak dilupa jua punca lain seperti penyakit di saluran respiratori, masalah dalam perut, diabetes, jangkitan sinus, penyakit hati dan buah pinggang. Namun, lebih jelas halitosis bermula daripada bau pernafasan melalui mulut.