Ahad, 24 Jun 2012

Puasa dan rawatan pergigian 1

Mulut berbau
Mulutnya berbau busuk dan rasa kelat bila disentuhi lidah pada gigi-giginya. Dia mula mual dengan keadaan mulutnya terutama ketika berpuasa. Hendak berkumur atau berus gigi, matahari tegak di kepala tanda makruh untuk dilakukannya. Apa yang perlu dilakukan? Kerjanya semakin menimbun, pelanggan perlu ditemui bagi melancarkan urusan perniagaannya. Akhirnya dengusan hampa kedengaran. Dia sendiri rasa rugi kerana berpuasa. Namun, tersentak dengan suara imam di surau sebelah rumahnya.

“Bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadahan adalah bulan-bulan ‘emas’ bagi kaum muslim. Di bulan-bulan ini, segenap rahmat, ampunan dan kunci surga dicurahkan oleh Allah SWT kepada umat Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang dapat kita lihat dalam petikan hadis-hadis beliau s.a.w. ini;

Rejab adalah bulan pengampunan bagi umatku, maka perbanyakkan beristigfar di bulan ini, kerana Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Bulan Rejab dikenali juga dengan Al-Ashab (pelimpahan) kerana pada bulan ini rahmat Allah dilimpahkan kepada umatku.

Sya’ban adalah bulan ku. Barangsiapa berpuasa sehari sahaja dibulan ku ini, ia berhak mendapatkan syurga.

Wahai manusia! Bulan Allah yang penuh rahmat dan ampunan (bulan Ramadhan) telah datang kepada kalian. Bulan yang merupakan bulan terbaik di antara seluruh bulan di hadapan Allah. Siang harinya merupakan siang terbaik, sedangkan malam-malamnya merupakan malam-malam terbaik, dan waktu-waktunya merupakan waktu-waktu terbaik.... tarikan nafas kalian bernilai ibadah. Pada bulan ini, amalan-amalan kalian diterima dan doa-doa kalian dikabulkan”

Itulah hidangan awal kalbunya dinihari pagi itu. Rasanya seperti meneguk air sejuk yang bersih lagi segar. Dirinya menjadi bersemangat untuk meneruskan ibadah puasanya. Teringat ketika berpuasa di bulan yang lalu, dia mengimbas kembali betapa sukarnya dia untuk menyesuaikan dirinya. Rejab menjadi saksi ketika dia melafaskan syahadah di surau yang sama. Dengan agamanya yang dulu, pernah juga dia berpuasa tetapi mengikut cara anutan yang dulu. Kini dalam Islam, bulan Rejab dan Sya’ban hukumnya sunat untuk berpuasa menjadi medan didikan dirinya membiasakan berpuasa sebelum menemui bulan rahmat, Ramadhan.

Sya’ban ini, dia berazam untuk cuba berpuasa penuh. Baru sehari dia sudah merungut dengan bau mulut rasa tidak selesa. Rasanya dia sudah memberus gigi pagi tadi. Mengapa ianya masih berbau busuk?. Mengapa pada keadaan tidak berpuasa bau mulut ini tidak disedarinya? Adakah bau mulutnya memang sekian lama berlaku? Apa yang perlu dilakukannya? Dia terus meluru ke arah klinik gigi yang berdekatan untuk mendapatkan khidmat nasihat tentang masalahnya. 

Ahad, 17 Jun 2012

Pesanan buat pesakit selepas rawatan cabutan

Bila memikirkan tentang sakit gigi, pastinya kita semua membayangkan tidak tidur malam, terpaksa makan bubur dan kadang kala menganggu aktiviti harian. Bagaimana caranya untuk mengurangkan sakit gigi? Ada sesetengah individu yang cuba mengambil serbuk ubat tradisional bagi mengurang atau mendapatkan kelegaan kesakitan. Ada juga akan ke klinik perubatan dan meminta ubat dengan mengatakan ketegangan otot muka. Tidak semua kesakitan gigi perlu berakhir dengan tampalan. Terdapat beberapa pesakit yang sedar bahawa giginya sudah tidak boleh diselamatkan tetapi tetap mendesak untuk dirawat secara tampalan agar mereka merasakan 'ada gigi' dalam mulut.

Cabutan merupakan pilihan rawatan pergigian yang terakhir. Terdapat 2 sebab mengapa gigi perlu dicabut. Pertama, gigi tidak lagi disokong oleh tulang kerana jangkitan kuman di sekeliling tulang dan gusi. Kedua, gigi tidak lagi berfungsi disebabkan oleh jangkitan kuman pada saraf. perkara ini sering terjadi apabila kerosakan gigi tidak dicegah dengan lebih awal. Biasanya untuk melakukan rawatan tersebut perlukan persetujuan daripada anda atau jika bawah 18 tahun, daripada penjaga anda.

Berikut adalah pesanan yang harus dipatuhi oleh pesakit sebelum, semasa dan selepas rawatan cabutan;

Sebelum Cabut Gigi

1. Beritahu doktor gigi jika anda mempunyai masalah perubatan seperti masalah jantung, masalah perdarahan, atau pengalaman perdarahan yang berlanjutan selepas cabut gigi/ luka. Ini penting bagi mengelakkan sebarang kemungkinan keadaan kecemasan yang mungkin akan menjejaskan kesihatan keseluruhan tubuh anda.

2. Pastikan anda sudah bersarapan pagi/ makan. Sarapan adalah elemen utama di waktu pagi sebelum memulakan sebarang tugasan atau aktiviti harian.

Semasa Cabut Gigi

1. Tenangkan diri dengan menarik dan menghembus nafas secara perlahan-lahan.

2. Jangan 'mengeraskan badan'/ kejangkan badan bagi memudahkan proses pengeluaran gigi.

3. Jika merasa sakit sila angkat tangan sedikit

Selepas Cabut Gigi

1. Jangan memasukkan jari pada soket cabutan kerana jari yang tidak bersih boleh menjadi sumber bakteria yang menyebabkan keradangan. Begitu juga bermain-main soket cabutan dengan lidah sehingga merangsang pendarahan berlaku.

2. Telan air liur seperti biasa sambil mengigit kapas yang dibekalkan dengan kuat bagi menghentikan pendarahan. Kapas yang telah dibasahi dengan darah hendaklah ditukar dengan kapas yang baru dan gigit sehingga darah berhenti.

3. Jangan meludah banyak kali untuk mengeluarkan darah dan air liur. Sebaiknya telan ianya seperti air liur biasa. Ini kerana meludah yang kerap akan merangsang soket cabutan untuk berdarah banyak.

4. Kumur-kumur hanya dibenarkan selepas 24 jam selepas cabutan. Kumur perlahan-lahan dengan air suam yang bercampur garam (contohnya: 1 sudu kecil garam halus dicampurkan dengan segelas air suam). Berkumur yang berlebihan juga mengundang perdarahan.

5. Makan makanan yang lebut seperti bubur, bijirin dan roti yang dicecah air. Makanan dan minuman tidak seharunya yang panas hingga menyebabkan salur darah mengembang dan pendarahan berlaku. Elakkan mengunyah di bahagian gigi yang telah dicabut.

6. Sedikit kesakitan dan ketidakselesaaan bakal dirasai selepas 2-3 jam  dibius untuk cabutan. Ambil dan makan ubat yang telah dibekalkan seperti yang telah diarahkan. Jika antibiotik, sila habiskan bagi mengurangkan risiko jangkitan yang berlarutan.

5. Rehat dan usah melakukan aktiviti yang berat seperti senaman, angkat berat dan berlari.

6. Bagi perokok, sila berhenti merokok dalam masa 24 jam untuk mengelakkan pendarahan yang berlebihan. Begitu juga minum minuman keras.

Selepas 18 jam dari Cabut Gigi

Jika masih berlaku perdarahan dan kesakitan yang berlebihan atau masalah lain yang berkaitan, sila hubungi doktor gigi yang berkenaan atau ke klinik pergigian yang anda telah lakukan cabutan (di waktu pejabat) atau ke bahagian kecemasan hospital (di luar waktu pejabat).


RUJUKAN:
1. http://www.infosihat.gov.my/penyakit/GIGI/Cabutangigi.pdf
2. http://pergigiansarikei.tripod.com/nasihat.htm

Ahad, 10 Jun 2012

Kehausan gigi 3


Pencegahan

Tindakan mencegah daripada berlaku kehausan gigi di peringkat awal adalah langkah yang paling bijak. Gunakan berus gigi yang lembut dan sesuai dengan saiz mulut anda. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi jika sukar untuk membuat pilihan.

Makan makanan yang seimbang dengan mengurangkan makanan snek. Kurangkan minum minuman berkarbonat, jika perlu ambilnya hanya pada waktu makan dalam keadaan sejuk dengan menggunakan penyedut minuman. Ini mampu meminimumkan sifat erosif. Adalah lebih baik sekiranya dapat menukarkan tabiat kepada minum susu atau air masak atau mengunyah gula getah (bebas gula) bagi meneutralkan pH mulut yang berasid setiap kali selepas makan. Elakkan diri daripada mengamalkan pemakanan snek yang berasid.

Bagi yang bermasalah melaga gigi terutama ketika tidur, pemakaian ‘mouth guard’ amatlah digalakkan. Pemakaian sebelum masuk tidur dapat mengurangkan kesan atrisi pada gigi meskipun tabiat melaga gigi tidak dapat dielakkan.

Berus gigi dengan berus yang lebut dan menggunakan ubat gigi berfluorida. Fluorida dapat mengembalikan semula struktur gigi hilang akibat pelarutan asid daripada makanan yang dimakan atau hasil bakteria semulajadi di dalam mulut. Namun, diharap tidak memberus gigi sejurus selepas makan kerana permukaan enamel gigi dalam tempoh 15-20 minit adalah lembut akibat pH mulut yang berasid. Enamel yang lembut mudah tertanggal akibat pemberusan.

RUJUKAN


Ahad, 3 Jun 2012

Kehausan gigi 2


Kehausan gigi

Haus bermaksud kepada kekurangan atau hilang saiz asal sesuatu objek akibat geseran, gosokan atau dipakai berulang kali. Dalam pergigian, kehausan gigi dikaitkan dengan 3 jenis iaitu atrisi, abrasi dan erosi. Ketiga-tiga jenis kehausan ini mempunyai perbezaannya yang tersendiri.

Atrisi adalah kehausan gigi yang melibatkan permukaan oklusi/gigitan. Pergerakan pengunyahan yang berulang-ulang dengan tekanan yang kuat menyebabkan struktur gigi sedikit demi sedikit dikisar halus. Tabiat suka melaga gigi terutama ketika tidur mampu mengundang masalah atrisi. Sering berlaku di gigi hadapan.

Abrasi adalah kehausan secara mekanikal yang melibatkan permukaan pemberusan. Teknik dan cara pemberusan yang salah dan tidak efektif seperti memberus secara mendatar dengan kuat menyebabkan permukaan gigi berlekuk ‘V’ di permukaan pemberusan gigi. Tidak disangkal juga tabiat mengigit pensil dan penggunaan kayu pencungkil gigi mampu menghasilkan masalah ini. Gigi yang sering terjadi abrasi adalah yang terletak di sudut paling menonjol dalam jajaran gigi seperti gigi kanin (taring) dan gigi promolar (geraham kecil).

Erosi adalah kehausan disebabkan oleh pemakanan jenis berasid. Tabiat pemakanan seperti suka makan makanan yang masam dan berasid (asam dan minuman berkarbonat) memainkan peranan dalam menyebabkan gigi berlaku kehausan. Erosi boleh berlaku pada individu yang mengalami masalah bulimia dan aneroxia nervosa.

Hasilnya, gigi kehilangan deria rasa, kurang fungsi mengunyah dan mengigit serta ada kalanya menyebabkan sakit/sensitif. Bagi pesakit ini, beliau mengalami gigi erosi.

Rawatan

Bagi mengurangkan sensitif, lazimnya perawat menampal kawasan gigi yang sensitif. Penggunaan ubat gigi yang sesuai dengan masalah sensitif adalah suatu tindakan pesakit semasa di rumah.

Sekiranya terdapat bentuk gigi yang berubah, rawatan pemakaian korona merupakan salah satu pilihan untuk mengembalikan bentuk gigi asal. Seharusnya pemilihan bahan dalam membuat korona dipilih dengan baik sesuai dengan masalah kehausan yang dihadapi oleh pesakit.

Masalah kehausan gigi boleh dielak melalui mengawal teknik pemberusan gigi dan tabiat pemakanan.