Ahad, 27 Mei 2012

Kehausan gigi 1


Seorang isteri telah datang kepada saya bertanyakan tentang ubat yang sesuai untuk gigi suaminya yang sensitif. Beliau menyatakan bahawa keadaan suami agak membimbangkan akibat terlalu sensitif sehinggakan tidak mampu makan dan minum samada yang sejuk atau panas.

Memandangkan melalui perbualan yang singkat tidak mengambarkan permasalahan sebenar. Saya meminta suaminya datang ke klinik untuk membuat pemeriksaan lanjut. Ini penting bagi saya agar tidak tersalah dalam membuat telahan permasalahan pesakit. Adalah lebih baik kiranya saya dapat melihat sendiri keadaan di dalam mulut pesakit. Seterusnya saya dapat memberikan rawatan yang sewajarnya sesuai dengan masalah pesakit itu.


Datang ke klnik

Pesakit mengadu rasa sensitif dan kurang selesa ketika makan dan minum yang sejuk. Kadang-kala, terganggu ketika bercakap terutama ketika sebutan yang melibatkan angin masuk ke dalam mulut. Kawasan yang paling sensitif adalah di permukaan mengunyah gigi belakang atas dan bawah.

Pemeriksaan di dalam mulut pesakit mendapati terdapat hampir keseluruhan giginya mengalami kehausan sturktur gigi. Permukaan gigi yang seharusnya mempunyai bentuk permukaan yang berlekok menjadi hampir rata dan kilat serta licin. Walau bagaimanapun, ianya tidak menjejaskan gigitan dan proses pengunyahan. Lapisan pertama gigi, enamel sangat nipis malahan ada yang tiada dan mendedahkan lapisan kedua, dentin. Terdapat juga gigi yang terlalu nipis sehingga hampir mendedahkan lapisan pulpa di  mana menempatkan salur darah dan saraf.

Ahad, 20 Mei 2012

Gusi bengkak ibu mengandung 3


Pencegahan dan rawatan

Penyakit ini boleh dicegah asalkan ianya dapat ditangani dengan lebih awal. Pergantungan kepada doktor gigi adalah perlu tetapi ianya haruslah bermula dari individu itu sendiri. Ibu mengandung seharusnya menjaga gigi dan gusi dengan melakukan rutin penjagaan kebersihan diri dan mulut.

Berus gigi dengan ubat gigi berfluorida. Ini lebih digalakkan dilakukan setiap kali muntah. Jika perlu gunakan flos setiap kali selesai makan dan sebelum masuk tidur. Penggunaan ubat kumur amat digalakkan terutama yang mengandungi antiseptik di mana boleh membantu membersihkan permukaan gigi dan struktur tisu lembut di dalam mulut. Tujuan sebenar adalah untuk mengeluarkan sisa-sisa makanan dan menghilangkan lapisan plak yang mengandungi bakteria yang memudaratkan.

Jagalah pengambilan makanan. Pastikan ibu mengandung mengambil makanan yang mempunyai sumber makanan yang seimbang. Makanan yang bervitamin B (bijirin dan kekacang) dan vitamin C (buah-buahan yang berwarna cerah) mampu melindungi kebengkakkan gusi dan berdarah.

Disamping itu, pemakanan yang mengandung sumber kalsium (susu dan ikan) amat digalakkan bagi membantu pertumbuhan tulang dan gigi anak di dalam kandungan.

Kawal pengambilan makanan yang manis adalah langkah terbaik yang seharusnya diamalkan oleh setiap individu. Diketahui umum bahawa makanan manis adalah penyebab kerosakan gigi dan kencing manis (diabetes), apatah lagi jika ini berlaku pada ibu mengandung yang mempunyai risiko yang tinggi terhadapnya.

Berjumpalah dengan doktor gigi setiap 3 bulan bagi melakukan pemeriksaan ke atas kesihatan pergigian agar tiada rawatan yang memudaratkan kesihatan ibu dan kandungan seperti penggunaan sinar-X dan rawatan cabutan gigi. Hadiri mana-mana caramah atau perbincangan mengenai penjagaan pergigian ibu dan anak yang telah disediakan di klinik-klinik yang berdekatan. Maklumkan kepada kepada doktor anda bahawa anda sedang mengandung kerana tidak semua ubat-ubatan sesuai untuk ibu mengandung.

Penyakit gusi yang sering berlaku pada ibu-ibu mengandung adalah bersifat sementara. Setelah melahirkan anak, kebanyakan pesakit menyatakan penyakit gusi telah sembuh. Namun dengan syarat, penjagaan kebersihan pergigian tetap dijadikan tabiat rutin.



Rujukan:

  1. http://www.icrawl.org/5962777123-masalah-gigi-gusi-berdarah-ketika-hamil
  2. http://www.inilah.com/news/read/gaya-hidup/2009/11/19/182384/wanita-hamil-rawan-radang-gusi-berdarah/
  3. http://dentistry.about.com/od/basicdentalcare/qt/perinatalguidelines.htm
  4. http://dentistry.about.com/b/2010/01/28/oral-bacteria-linked-to-stillbirth.htm

Ahad, 13 Mei 2012

Gusi bengkak ibu mengandung 2


Perubahan hormon ibu mengandung

Kehamilan membawa banyak perubahan pada diri seorang wanita. Perubahan ini adalah bergantung kepada pengeluaran hormon semasa seorang ibu itu mengandung.  Gigi dan gusi adalah anggota yang tidak terkecuali dari mengalami perubahan tersebut.

Ketika hamil, hormon estrogen amat diperlukan untuk pertumbuhan sel pada anak di dalam kandungan. Walau bagaimanapun, kesan hormon ini juga akan berlaku pada ibu yang mengandung. Hormon estrogen mampu meningkatkan pembesaran sel gusi dan kelihatan gusi membengkak. Selain itu, hormon estrogen menyebabkan salur darah yang berada di kawasan gusi menjadi lebih kemerah-merahan dan kelihatan berlaku keradangan. Keadaan gusi ini mudah terluka walaupun hanya geseran yang lembut.


Perubahan ketika hamil

Ketika hamil dua hingga lapan bulan, seorang ibu itu kerap mengalami masalah gigi dan gusi berdarah. Ini adalah disebabkan oleh hormon dan menjadikan gusi lebih sensitif. Jelas sekali ini dibuktikan apabila memberus gigi, perdarahan gusi berlaku dan mengakibatkan luka.

Masalah gusi sering dikaitkan dengan plak dan bakteria. Luka yang terdedah membuatkan pengumpulan bakteria di kawasan tersebut. Bakteria yang mendapat makanan akan menghasilkan bahan kumuh toksin dan seterusnya menyebabkan berlaku kebengkakkan yang teruk.

Pengumpulan bakteria pula berlanjutan masuk ke salur darah dan menyebabkan jangkitan kepada kandungan. Kajian di Amerika (2009) menyatakan jangkitan bakteria dari penyakit gusi adalah salah satu punca kelahiran tak matang.

Selain itu, rasa mual dan muntah di pagi hari (morning sickness) telah meningkatkan tahap keasidan di dalam mulut. Keadaaan mulut yang berasid mampu menyumbang kepada masalah gusi berdarah dan kesakitan yang menganggu tidurnya.

Ahad, 6 Mei 2012

Gusi bengkak ibu mengandung 1


Pesakit berumur 24 tahun sedang mengandung anak yang ketiga telah datang ke klinik pergigian. Pesakit mengadu sakit terutama di bahagian gigi belakang dan meminta doktor gigi mencabut mana-mana gigi yang menyebabkannya sakit. Pesakit kurang pasti gigi yang mana telah membuatkannya sakit berhari-hari sehingga tidak boleh tidur.

Pemeriksaan pergigian mendapati tiada gigi yang berlubang atau menyebabkan kesakitan. Semua giginya elok selain bengkak gusi berlaku pada seluruh mulutnya. Rawatan mencuci gigi (penskaleran dan pengilapan) telah dilakukan dan pesakit dibenarkan pulang.

Beberapa minggu kemudian, pesakit kembali datang ke klinik pergigian dengan aduan yang sama. Malah, meminta untuk mencabut gigi tertentu agar dapat menghilangkan kesakitanya. Setelah sebatang gigi dicabut, pesakit balik dengan perasaan gembira dan dengan harapan sakitnya akan hilang.

Namun, selang beberapa minggu, sakit datang lagi dan membuatkan pesakit terus meluru ke klinik pergigian dan meminta mencabut giginya sebatang lagi. Pesakit mengharapkan setelah gigi dicabut kesakitannya akan hilang buat seketika. Berdasarkan sesi kaunseling yang dijalankan oleh doktor gigi, pesakit pernah mengalami sakit yang sama semasa mengandungkan anak pertama dan kedua. Tetapi, setelah sebatang giginya dicabut, sakit tersebut hilang sepanjang tempoh mengandung sehingga anak dilahirkan.

Apakah yang berlaku kepada pesakit ini? Mengapa setiap kali mengandung baru pesakit ini merasakan kesakitan gigi sedangkan hanya mengalami gusi membengkak sahaja?