Ahad, 29 April 2012

Penjagaan pergigian bayi 3


Penjagaan kebersihan mulut

Penjagaan kebersihan mulut harus bermula dari awal. Selepas bayi selesai menyusu, langkah yang perlu dilakukan adalah lapkan batas gusi menggunakan tuala basah dengan lembut dan mengeringkannya agar dapat menjaga kebersihan mulut bayi. Ini bagi mengelakkan sisa susu yang tertinggal di dalam mulut. Jika ini tidak dilakukan fungi jenis Kandida akan menyebabkan mulut berlendir, mengembang serta membusuk.

Tabiat ini perlu diteruskan oleh ibu bapa untuk membiasakan bayi dan menjadikan bayi rasa selesa dengan keadaan mulut yang bersih. Pada ketika usia kanak-kanak mencecah 3 tahun, perkenalkan berus gigi dan ubat gigi berfluorida kanak-kanak. Pastikan pada ketika memberus gigi, ibu bapa atau penjaga melakukannya bersama kanak-kanak bagi memastikan gigi digosok dengan baik dan anak tidak menelan ubat gigi. Seterusnya ianya akan menjadi habit yang baik untuk diteruskan sehingga dewasa.

Jika anda mendapati bayi mula untuk mengigit jarinya, bantulah dia dengan memberikan alat permainan yang lembut dan boleh di gigit. Selain mengelakkan bayi menghisap jari, puting atau botol, ia boleh membantu pertumbuhan gigi susu dengan baik.

Sebarang perubahan suhu badan yang berkaitan dengan pertumbuhan gigi harus diambil perhatian. Kawalan suhu badan dan bawa bayi untuk mendapatkan rawatan dari pihak doktor perubatan.
Elakkan tabiat menghisap putting, susu botol atau menghisap jari. Ini adalah kerana tabiat ini akan mengganggu pembentukan tulang rahang dan boleh menyebabkan gigi jongang terhasil. Bagi kanak-kanak yang menghisap botol susu, pastikan puting susu dikeluarkan dari mulutnya ketika dia telah tidur.
Bawak anak anda berjumpa doktor gigi seawal 2 setengah tahun walaupun dia tidak mengalami sebarang masalah pergigian. Jangan tunggu sehingga giginya sakit dan ini akan meninggalkan pengalaman ngeri kepada kanak-kanak.
Jika kanak-kanak menikmati makanan yang manis, ajarnya membersihkan gigi selepas makan. Sebolehnya kurangkan pengambilan makanan manis. Mencegah itu lebih baik dari merawat.

Rujukan

  1. http://dentistry.about.com/od/dentalcarebyage/tp/parentsguidetobabyteeth.htm
  2. http://jknkelantan.moh.gov.my/modules/news/article.php?storyid=40


Ahad, 22 April 2012

Penjagaan pergigian bayi 2


Pembentukan dan pertumbuhan gigi

Gigi kanak-kanak sebenarnya bermula di peringkat janin. Oleh itu, ibu-ibu mengandung disarankan mengambil makanan seimbang terutama kalsium. Ini mempengaruhi pembentukan gigi dan tulang janin. Fluorida banyak membantu memperkukuhkan pembentukan gigi dengan menjadikan keluk pada permukaan gigi tidak dalam. Keluk permukaan gigi yang dalam akan menyebabkan pengumpulan bakteria dan sisa makanan yang bayak. Seterusnya ia akan mencetuskan kejadian karies/gigi berlubang di permukaan yang sukar di kesan melalui mata kasar.

Cuba anda rasa gusi seorang bayi. Jika anda sedari, gusi bayi kelihatan berlekuk-lekuk. Ini menandakan korona gigi telah siap terbentuk ketika bayi lahir. Semasa di peringkat janin, gigi mula terbentuk tetapi belum keluar ke rongga mulut. Dalam umur kandungan 6 bulan, lapisan pertama yang terbentuk adalah lapisan enamel. Kemudian diikuti dengan lapisan dentin dan seterusnya dentin melingkungi kawasan pulpa yang mengandungi saraf dan salur darah.

Dalam tempoh lapisan dentin membentuk akar dan ruang pulpa, gigi susu mula keluar ke rongga mulut. Pada ketika ini bayi akan mula rasa sakit dan akan mengigit benda lembut. Terdapat juga simptom, bayi demam disebabkan perubahan keadaan baru di dalam mulut.

Gigi kekal memerlukan masa yang sangat panjang untuk tumbuh. Gigi kekal juga memerlukan gigi susu dalam mendapatkan arah dan hala tuju di mana perlu tumbuh ke rongga mulut. Gigi susu mula tumbuh pada usia 6 bulan di bahagian rahang bawah. Ini bermakna pembentukan gigi susu seharusnya berlaku semasa 9 bulan di dalam kandungan bagi membantu pertumbuhannya.

Set gigi susu menjadi lengkap pada umur 2 tahun setengah atau mungkin kurang dari itu. Namun, jangan ambil mudah penjagaan gigi susu walaupun ia akan diganti dengan gigi kekal. Ini disebabkan gigi kekal mula tumbuh pada usia 6 tahun bagi mengantikan gigi susu. Bermaksud, gigi susu diperlukan selama lebih 5 tahun untuk digunakan sementara menunggu gigi kekal tumbuh ke dalam rongga mulut.

Gigi kekal yang tumbuh tanpa panduan gigi susu akan menyebabkan pertumbuhan gigi di dalam mulut tidak teratur. Ini akan menyukarkan kanak-kanak untuk makan dan bertutur. Apatah lagi menyebabkan rasa rendah diri. Rawatan gigi yang tidak teratur pula menjadi lebih rumit.

Ahad, 15 April 2012

Penjagaan pergigian bayi 1


Tangisan pertama kedengaran menandakan seorang bayi lahir ke dunia. Apakah yang anda lihat di dalam mulut semasa bayi menangis? Di mana gigi berada sebelum ia tumbuh? Bagaimana untuk menjaga gigi sebelum dan selepas ia tumbuh? Pernahkah persoalan ini dilontarkan kepada semua ibu-ibu? Senario kini melakarkan kejadian keries gigi yang masih tidak berkurangan. Malahan kanak-kanak yang berumur satu tahun setengah tetap mengalami kerosak gigi di seluruh mulutnya.

Semua ibu bapa mengimpikan senyuman yang cantik hasil barisan gigi yang kemas putih dan berseri dari mulut anak mereka. Bagaimana untuk mendapatkan gigi yang cantik itu? Apakah yang perlu dilakukan? Justeru penjagaan gigi seharusnya bermula dari bayi. Kebanyakan ibu bapa memandang remeh penjagaan gigi bayi mereka. Tidak hairanlah kehilangan gigi berlaku lebih awal. Seawal usia 2 tahun, gigi susu terpaksa dicabut.

Ahad, 8 April 2012

3- Gigi anak tercabut? Apa yang perlu dibuat?

Perhatian kepada ibu, bapa, penjaga atau guru

Perhatikan warna kegigian kanak-kanak tersebut. Jika berubah warna bermakna gigi tersebut sedang di dalam proses tidak vital. Kanak-kanak mungkin mengadu sakit setelah beberapa minggu selepas rawatan atau di dalam tempoh rawatan. Mungkin gigi tersebut goyang, gusi bengkak dan sering bandingkan dengan gigi bersebelahan yang tidak tercedera.

Andai didapati ada perubahan, sila ke klinik pergigian untuk mendapatkan kepastian dan rawatan yang sepatutnya. Rawatan untuk gigi yang tercedera tidak terhenti setakat gigi kembali ke soketnya tetapi, memerlukan rawatan secara berjadual yang telah ditetapkan oleh doktor gigi.

Pada situasi yang tertentu, komplikasi yang berlaku dan akhirnya gigi tersebut terpaksa dicabut. Namun, dapat diterima hakikat bahawa kehadiran gigi tersebut dapat mengekalkan ruang untuk pilihan beberapa rawatan seperti gigi palsu, jambatan atau implan.

Nasihat kepada pesakit

Makan makanan yang lembut dan tidak membuat gigi terpaksa mengigit makanan yang keras. Makan ubat penahan sakit dan antibiotik yang telah dibekalkan. Datang temujanji yang seterusnya bagi memastikan gigi tersebut masih vital atau tidak (hidup atau telah mati). Jika memerlukan, doktor gigi akan meminta ibu, bapa, penjaga atau guru membawa kanak-kanak ke klinik perubatan untuk mendapatkan suntikan tetanus.

Apa yang penting, jaga kebersihan mulut pada tahap yang optimum. Pesakit pastinya tidak dapat memberus gigi pada beberapa hari yang pertama. Namun, pesakit digalakkan berkumur-kumur dengan ubat kumur setiap kali selepas makan.

Walau bagaimanapun, pencegahan adalah lebih baik daripada merawat. Awasi anak-anak kita dalam menjalani aktiviti lasak. Berikan alat perlindungan yang mampu minimumkan kecederaan. Malang tidak berbau, namun ianya mampu dicegah.


Rujukan

1.    http://en.wikipedia.org/wiki/Treatment_of_knocked-out_%28avulsed%29_teeth

2.    Ceramah Dr Mimi Syazleen binti Abdul Rahman, Pakar Pergigian Kanak-kanak Hospital Sg Buloh, Selangor.



Ahad, 1 April 2012

2- Gigi anak tercabut? Apa yang perlu dibuat?

Membawa gigi ke klinik

Persoalan yang timbul pula, bagaimana gigi hendak dibawa ke klinik? Gigi boleh dibawa dengan beberapa cara:
  • Jika mampu diperolehi, gigi hendaklah direndam di dalam larutan khas yang dikenali sebagai Hank’s Balanced Salt Solution (HBSS). Rendaman gigi di dalam larutan ini akan membuatkan gigi mampu bertahan selama 4 jam sebelum dimasukkan ke dalam soketnya.
  • Gigi juga boleh direndam di dalam air susu segar yang sejuk. Gigi akan bertahan selama 2 jam sebelum dimasukkan semula ke dalam soketnya.
  • Cara yang paling mudah adalah membawa gigi di dalam bekas plastik/ plastik yang berisi air liur kanak-kanak tersebut atau meletakkan gigi tersebut di lantai mulut atau di pipi dalam mulut kanak tersebut.

Bawa gigi tersebut secepat yang mungkin untuk mengurangkan komplikasi yang lain. Apabila sampai ke klinik gigi maklumkan kepada doktor gigi tentang kejadian yang menyebabkan gigi tersebut tercabut. Nyatakan apa yang telah dilakukan oleh anda terhadap gigi yang tercabut atau berubah kedudukan beserta riwayat perubatan dan pergigian yang pernah dilalui kanak-kanak.

Rawatan yang diberikan oleh doktor gigi

Lazimnya doktor gigi akan memeriksa keadaan di dalam mulut pesakit (kanak-kanak tersebut) dan memberikan bius setempat di kawasan yang tercedera (jika perlu). Gigi yang tercabut diperiksa dan dibersihkan. Mulut yang berlumuran darah juga akan dibersihkan terutama soket yang kosong. Gigi dimasukkan ke dalam soket dan dipasang dawai di hadapat gigi. Dawai tersebut perlu diletakkan agar gigi tetap pada kedudukannya sementara sel-sel di sekeliling akar kembali kepada ikatan aslnya di dalam soket. Ianya memerlukan masa lebih kurang 2 minggu.

Setelah memastikan gigi telah siap memasuki soket asalnya, doktor gigi akan mengambil radiograf (lebih dikenali ‘X-ray’) gigi tersebut. Radiograf akan merekod keadaan gigi tersebut dari korona hingga ke hujung akar bagi tujuan simpanan rekod dan perbandingan bagi sebarang perubahan yang bakal berlaku pada temujanji yang berikutnya.

Bagi gigi yang patah separuh sahaja, gigi yang masih ada di dalam mulut akan diperiksa tahap kecederaannya. Sekiranya kecederaan hanya melibatkan lapisan enamel dan dentin, rawatan tampalan sewarna gigi akan diberikan. Tetapi, jika kecederaan melibatkan pulpa (terdapatnya saraf dan salur akar), maka rawatan akar (pulpotomi, pulpektomi atau kanal akar) akan dilakukan.