Ahad, 25 Mac 2012

1- Gigi anak tercabut? Apa yang perlu dibuat?


Seorang ibu telah membuat panggilan kecemasan ke klinik pergigian. Aduan utama beliau adalah gigi anak lelakinya telah patah ketika sedang bercuti di sebuah tempat peranginan. Di dalam keadaan yang resah, saya menenangkan ibu agar dapat melakukan apa yang bakal saya perkatakan. Kejadian seperti ini sering diabaikan oleh ibubapa atau penjaga mahupun guru-guru di sekolah. Tiada cara lain yang perlu dilakukan selain membawa kanak-kanak ini ke klinik yang berdekatan.

Tindakan ibu, bapa, penjaga dan guru

Jika kejadian ini berlaku, jangan panik. Tenangkan kanak-kanak yang sedang menangis. Periksa di dalam mulut kanak-kanak. Pastikan gigi yang masih ada atau telah tercabut atau berubah kedudukan. Gigi yang masih ada, pastikan tiada perdarahan. Bagi gigi yang berubah kedudukan atau tercabut, kawal perdarahan dengan kapas atau kain yang bersih. Jika anda mampu mengembalikan gigi kepada kedudukan asal, pastikan jari anda bersih dan masukkan gigi tersebut ke dalam soketnya kembali. Seterusnya, minta kanak-kanak gigit kain bersih agar gigi tetap berada pada kedudukannya.

Manakala gigi yang telah tercabut dan jatuh, pegang gigi pada kepalanya (korona) dan lalukan akar gigi di bawah air yang mengalir selama 10 saat. Jangan membasuh akar gigi dan jangan terlalu lama di bawah air yang mengalir kerana ia akan menyebabkan sel-sel di sekeliling akar gigi akan mati dan membuatkan gigi tersebut mati. Cuba masukkan gigi ke dalam soket gigi seperti yang dijelaskan di atas. Tetapi jiak tidak dapat dilakukan segera ke klinik pergigian tidak kurang dari 1 jam selepas gigi tersebut tercabut.

Bagaimana pula bagi gigi yang patah separuh sahaja? Lakukan yang sama seperti di atas kerana mungkin gigi tersebut masih mampu disambungkan semula. Sekiranya serpihan gigi tersebut tidak dijumpai, bawa terus kanak-kanak ke klinik pergigian bagi mengenalpasti tahap kecederaan gigi kanak-kanak tersebut.

Ahad, 11 Mac 2012

Pengganti gigi 3

1       Jambatan pergigian

Jambatan pergigian bermaksud penganti gigi yang telah tiada dan bergantung kepada gigi bersebelahan yang sedia ada di dalam rongga mulut. Jambatan pergigian sering dikenali sebagai tanam gigi, memerlukan gigi bersebelahan sebagai tiang seperti jambatan yang mempunyai tiang untuk agar ianya kukuh dan tidak tertanggal. Gigi bersebelahan (gigi tumpang) akan dikecilkan saiznya dengan membuang sebahagian struktur gigi samada sihata atau telah bertampal. Pesakit berasa sensitif semasa prosedur rawatan diberikan.

Berbanding dentur, jambatan memberikan lebih keselesaan kepada pesakit kerana tidak terasa kehilangan gigi dan warnanya hampir menyerupai gigi asli. Kekal di dalam mulut serta tidak perlu ditanggalkan di waktu malam membuatkan pesakit memilihnya sekiranya mampu memilikinya. Harganya bergantung berapa batang gigi yang perlu diganti termasuk gigi bersebelahan. Contohnya: jika satu gigi yang tiada, pesakit perlu membayar harga untuk 3 gigi.

Dari segi penjagaan tidak banyak perbezaan dengan gigi asli kecuali penggunaan flos khas perlu diamalkan bagi membuang sisa makanan di bawah jambatan. Ini penting agar gusi di bawah jambatan sihat dan gusi gigi tumpang tidak menyebabkan gigi goyang.

Ahad, 4 Mac 2012

Pengganti gigi 2


Jenis-jenis penganti gigi

Berikut adalah jenis-jenis penganti gigi yang terkini mampu memenuhi kehendak pesakit :

1    Dentur (Gigi palsu)
Dentur atau sering dikenali sebagai gigi palsu merupakan alat pergigian boleh tanggal yang mengantikan gigi yang hilang atau dicabut. Walaupun diperbuat daripada bahan plastik dan logam namun, beberapa kelemahan dikenalpasti contohnya mudah patah.
Kos pembuatannya yang murah membuatkan pesakit lebih memilih denture sebagai penganti gigi yang lazim. Pesakit memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan dentur baru, lebih-lebih lagi jika pesakit pertama kali memakainya. Masalah yang mungkin dihadapi seperti sukar menyebut beberapa perkataan, sukar untuk makan, air liur keluar dengan banyak dan bentuk bibir dan pipi yang berubah sekali gus sedikit perubahan bentuk muka berlaku.
Dari segi penjagaan pula, dentur hendaklah dibersihkan setiap kali selepas makan dan sebelum tidur. Selepas dentur dibersihkan sebelum tidur, masukkannya ke dalam air biasa di dalam satu bekas. Jangan gunakan air suam atau air panas kerana ia akan membuatkan dentur mengembang dan tidak boleh dipakai lagi.
Dentur harus diganti dari semasa ke semasa agar dapat memberikan keselesaan kepada pemakai. Lakukan pemeriksaan pergigian secara berkala untuk memastikan tempoh penggunaan dentur yang dipakai. Walau bagaimanapun, pegawai akan memberi panduan dan tunjukajar semasa menerima dentur yang telah siap.
Bagi dentur yang diperbuat dari gabungan bahan logam dan plastik, logam kadangkalanya akan kelihatan. Demi keselesaan dan tidak mudah patah, pesakit lebih memilih dentur jenis logam-plastik berbanding jenis plastik sahaja. Dari segi harga, dentur jenis ini lebih mahal berbanding dentur jenis plastik.