Ahad, 27 November 2011

Rokok pemusnah bangsa 2


Kesan rokok

Seorang perokok perlu bertanggungjawab terhadap dirinya sendiri dan juga orang yang berada di sekelilingnya. Bahaya asap rokok bukan sahaja berbahaya kepada dirinya sahaja, malah orang di sekelilingnya. Asap rokok akan memasuki salur pernafasan dan seterusnya melalui trakea ke paru-paru. Dalam pada itu, asap rokok juga akan memasuki esofagus dan sistem pencernaan dan menyerap ke tisu badan. Asap rokok yang larut ke dalam cecair badan seperti darah akan beredar keseluruhan badan. Kesan serius berlaku seperti batuk, sakit-sakit badan dan kanser.

Kesan asap rokok terhadap diri sendiri
-       Ketagihan
-       Radang paru-paru
-       Tekanan darah tinggi
-       kebas pada kaki dan jari
-       migrain (sakit kepala)
-       pedih ulu hati
-       kekejangan otot kaki
-       serangan penyakit jantung
-       penyakit buah pinggang
-       kanser
Kesan asap rokok terhadap isteri perokok
- Melahirkan bayi yang kurang berat badan
- Melahirkan bayi yang tidak cukup bulan
- Lebih terdedah kepada kanser
- Mengurangkan kesuburan dan putus haid awal

Kesan asap rokok terhadap anak perokok
- Lebih mudah mendapat lelah
- Mendapat jangkitan paru-paru
- Pertumbuhan paru-paru kanak-kanak terganggu
- Mudah menjadi perokok apabila dewasa kelak


Ahad, 20 November 2011

Rokok pemusnah bangsa 1


Apa itu rokok?

Daun tembakau kering dileraikan dan digulung di dalam kertas. Kemudian dicucuh api pada hujung kertas itu dan bakarnya sedikit demi sedikit. Ia memberikan nikmat yang tidak terkata bagi yang menagihnya. Rokok merupakan salah satu tabiat ketagih yang berlaku di dalam masyarakat pada masa kini.

Bagi sesetengah individu merasa bangga dengan merokok. Rasa kelakian terserlah dan menjadikan diri lebih berkeyakinan untuk berinteraksi dengan individu lain. Tetapi sedarkah mereka, semua kebanggaan dan keegoan yang terserlah itu akan lupus bila mana mereka terlantar kesakitan akibat merokok. Pada masa itu, hanya keluarga sahaja yang mereka boleh harapkan atau tiada sesiapa yang mampu mendampingi mereka.


Kandungan rokok

Lebih dari 4,000 bahan kimia yang terdapat di dalam sebatang rokok. Bahan utama yang ada di dalam rokok adalah nikotin. Nikotin, asalnya tidak berwarna dari daun tembakau tetapi kesannya cukup besar pada perokok tegar. Jika anda baru pertama kali merokok, selama 10 saat, 1-2 mg bahan nikotin akan memasuki cecair otak. Nikotin akan menyebabkan dopamine dalam otak dirembeskan menyebabkan rasa ketagih untuk merokok lagi.

Ini membuatkan seseorang yang kehabisan rokok kadang kala berkelakuan seperti gangguan akal dan tertekan. Oleh itu, terlalu sukar bagi individu yang sudah terjerat dengan ketagihan merokok untuk meninggalkan tabiat itu selamanya.

Nikotin juga akan merangsang kelenjar adrenal untuk mengeluarkan adrenalin.  Rembesan ini akan meningkatkan tekanan darah, kadar pernafasan dan denyutan jantung. Ia menjadi punca serangan jantung secara tica-tiba dan seterusnya koma.

Selain nikotin, minyak tar juga terkandung di dalam sebatang rokok. Minyak ini sebenarnya sering digunakan untuk penurapan jalan raya. Bahan yang terdapat dalam tar akan mencetuskan sel-sel bertindak agresif. Sel-sel ini akan memulakan pembentukan kanser.

Karbon monoksida pula adalah gas beracun yang keluar dari asap rokok. Gas ini biasanya dikeluarkan oleh kenderaan yang menggunakan diesel atau petrol. Oksigen yang dibekalkan oleh gas ini kepada tisu-tisu menyebabkannya terencat. Jika gas ini melebihi 60% di dalam badan, sel-sel akan rosak teruk dan akhirnya maut akan menyahut.

Ahad, 13 November 2011

Rahang dislokasi 2

Rawatan

Beberapa usaha dilakukan bagi membolehkan mulut boleh ditutup kembali. Cara yang paling mudah adalah meminta pertolongan doktor gigi. Jangan risau jika ianya berlaku di waktu malam, anda boleh datang ke bahagian kecemasan. Biasanya, terdapat doktor gigi yang bertugas bagi mengendalikan kes-kes kecemasan seperti ini.

Bagaimana caranya untuk menutup kembali mulut dan mengembalikan kedudukan kondil ke soketnya? Pastikan pesakit duduk di dalam postur yang tegak bersandar. Perawat berdiri di hadapan pesakit. Balut kedua-dua belah ibu jari dengan kain kasa atau sapu tangan. Masukkan kedua-dua ibu jari ke dalam mulut dan letakkan di atas gigi geraham. Jari-jari yang lain memegang atau mengampu bawah rahang di luar mulut. Daya tolakan secara tegas tetapi lembut diperlukan. Tarik rahang ke arah bawah untuk mengeluarkan kondil dari kawasan artikular aminen. Kemudian, tolak secara menyerong ke arah belakang bertujuan untuk memasukkan kondil kembali ke dalam soket.

Jika otot telah tegang, suntikan anestetik harus diberikan. Sekiranya sering berlaku, ahli keluarga terdekat pesakit diberikan tunjukajar cara untuk mengendalikannya oleh doktor gigi.

Kesakitan dan ketidakselesaan yang dialami di kawasan telinga buat beberapa hari. Pesakit dibekalkan dengan ubat tahan sakit untuk kelegaan. Namun, seandainya ia menyebabkan kesakitan dan kebengkakan yang serius, penyiasatan lanjut harus dilakukan. Radiograf dan CT scan merupakan salah satu langkah penyiasatan bagi mengesan ketidaknormalan pada TMJ. Fisioterapi mampu melembutkan otot rahang agar tidak telalu tegang. Suntikan ubat mengawal ligamen TMJ boleh diberikan membantu menganjalkan ligamen daripada longgar.

Pembedahan adalah langkah yang terakhir dalam rawatan. Pembedahan secara konservatif boleh dilakukan dengan mengikat rahang pada kedudukan sebenarnya dan mengawal pergerakan tergelincir yang disebabkan oleh otot. Manakala penbedahan secara eminektomi dilakukan dengan memotong artikular aminen bagi membenarkan pergerakkan kondil secara bebas tanpa sekatan. Ataupun, membesarkan saiz artikular aminen bagi menghalang kondil dari tergelincir.


Pencegahan

Pencegahan boleh dilakukan bagi mengelakkan terjadinya rahang dislokasi. Berikut adalah cara-cara pencegahannya:
  1. Elakkan menguap terlalu besar. Ampu rahang dari bawah ketika menguap.
  2. Kurangkan pengambilan makanan yang keras dan rangup seperti kacang dan keropok
  3. Elakkan pengunyahan makanan yang liat seperti daging
  4. Pastikan anda mendapat kerjasama dari perawat pergigian untuk berhenti seketika bagi merehatkan mulut anda yang telah membuka lama


Rujukan
  1. http://www.simplestepsdental.com/SS/ihtSSPrint/r.WSIHW/st.32219/t.25055/pr.3/c.308415.html
  2. http://www.scribd.com/Dislokasi/d/18576707
  3. http://emedicine.medscape.com/article/823775-overview
  4.  

Ahad, 6 November 2011

Rahang dislokasi 1


Denilia berumur 24 tahun, tidak mampu menutup mulutnya semula setelah menguap besar semasa bangun dari tidur. Dia pernah mengalami rasa sakit di sekitar pipi hingga ke telinga sebelum ini terutama ketika makan makanan yang rangup dan keras seperti keropok. Tetapi selama itulah tidak dihiraukannya. Kini, mulut tidak mampu ditutup semula buat beberapa ketika. Dia dibawa bergegas ke klinik dan doktor gigi membantunya menutup mulutnya semula.

Bagaimana ini terjadi? Pernahkah anda melaluinya? Apakah yang perlu dilakukan sekiranya ianya berlaku buat pertama kali atau telah beberapa kali berlaku ke atas diri anda? Tahukah anda, ia juga boleh terjadi semasa rawatan pergigian dilakukan akibat membuka mulut terlalu lama?

Bukaan mulut yang normal adalah sebesar 3 jari anda sendiri diletakkan secara menegak di antara gigi insisor (gigi hadapan, atas dan bawah) di rongga mulut. Jika bukaan mulut melebihi daripada ukuran itu dan mulut tidak boleh ditutup, ini bermakna individu tersebut mengalami rahang dislokasi.


Rahang dislokasi

Rahang bersambung dengan tengkorak melalui sendi yang dikenali sebagai sendi Temporomandibel (TMJ). Untuk pengetahuan, TMJ terletak di hadapan telinga. Anda boleh merasai pergerakan rahang dengan meletakkan jari di hadapan telinga sambil buka serta tutup mulut. Sendi terdiri daripada bebola (kondil) dan soket serta diselaputi dengan cecair untuk memudahkan pergerakan. Seperti di mana-mana sendi lain di dalam tubuh manusia, pergerakan bebola dikawal hanya di sekitar soketnya sahaja. Apa yang dirasai dengan meletakkan jari di hadapan telinga adalah pergerakan kondil di dalam soket iaitu ke hadapan dan ke belakang.

Rahang dislokasi bermaksud perubahan pergerakan kondil tergelincir daripada soketnya. Semasa bukaan mulut yang maksimum, kondil bergerak ke hadapan dan tergelincir melebihi sempadan soket yag dikenali sebagai artikular aminen. Sekatan daripada artikular aminen ini membuatkan mulut tidak boleh ditutup semula kerana kondil tidak boleh kembali ke dalam soket dan mengakibatkan ketegangan di kawasan telinga dan pipi. Kejadian ini bakal berulang kembali mungkin disebabkan ligamen yang memegang TMJ menjadi semakin longgar dan tidak bersifat anjal.