Khamis, 28 Mei 2009

Sakit gigi...

Kehadiran pemuda yang sedang murung pada pagi ini membuatkan saya berasa kasihan melihatnya. Saya terus bertanyakan apa masalahnya. Pemuda yang masih bertongkat dagu masih mendiamkan diri. Saya menguatkan sedikit suara saya. Dia menunjukkan pipinya yang ditutup dengan tangan kanannya sedari tadi....

Rupa-rupanya giginya sedang sakit... Mmmm... apa masalahnya sampai giginya sakit... Selepas membuat pendaftaran, saya bertanyakan beberapa soalan berkaitan aduan sakitnya, pengalaman sakitnya, tentang masalah perubatannya dan sejarah rawatan pergigian.

Pemeriksaan muka nampak bengkak sedikit di pipi bawah sebelah kanan. Agak panas sepeti hendak demam. Sakit sejah 3 hari yang lalu dan hanya makan panadol untuk melegakan kesakitan. Dalam mulut, gigi gerahamnya telah ber'lubang' besar hingga ke kelihatan kanal saraf dan salur darah di dalam akar...

Apa yang perlu dilakukan?....
Saya terus membersihkan kawasan yang ber'lubang' setelah memakaikan 'baju hujan' kepada gigi tersebut. Akhirnya, sampai ke kawasan akar. Pesakit tidak merasa sakit kerana gigi tersebut telah mati....

Pembersihan dilakukan dengan berhati-hati pada semua akar yang ada (terdapat 3 akar pada gigi geraham pertama bawah. Namun, had saya sebagai insan biasa, saya terpaksa merujuk pemuda tadi kepada pakar.

Kenapa saya rujuk kesnya kepada pakar?
Ini adalah kerana saya tidak dapat menjumpai kanal akar yang kedua. Pakar lebih arif tentang kanal ini akan menggunakan peralatan seperti mikroskop khas untuk mengenalpasti kedudukan sebenar kanal tersebut...

Kesimpulan pada kali ini:
1. Tidak semua kes boleh dilakukan oleh semua doktor
2. Terdapat beberapa kes yang rumit perlu dirujuk kepada pakar.
3. Terdapat juga kes yang memerlukan perbincangan di antara pakar dan doktor gigi atau di antara doktor gigi dengan doktor gigi yang lain
4. Jangan rasa diri anda terhina jika kes anda menjadi perbincangan, kerana ini adalah untuk kebaikan diri anda juga

Isnin, 25 Mei 2009

Tampalan untuk gigi kanak-kanak yang bernanah

Pagi ini saya berjaya membuat tampalan kekal untuk seorang 'puteri' yang comel. Asalnya gigi tersebut bernanah di bahagian gusi yang mengadap ke pipi... nanah yang keluar dan menyakitkan itu telah sembuh dengan pengambilan ubat tahan sakit dan antibiotik. Memandangkan 'puteri' ini telah menghabiskan ubatnya, saya meneruskan rawatan pada 2 minggu yang lepas dengan membuka kaviti (membersihkan 'lubang') yang telah sedia besar....

'Puteri' yang berumur 4 tahun, tidak mengerang kasakitan semasa saya membuat rawatan kerana gigi tersebut telah mati; dalam erti kata gigi itu telah kehilangan deria rasa sakit. Gigi geraham pertama atas sebelah kanan yang masih elok bentuknya kecuali bahagian yang ber'lubang' sahaja yang perlu diletakkan tampalan. Gigi kekal yang akan mengantikannya akan mula tumbuh pada umur 11 tahun... bayangkan jika saya cabut gigi tersebut... bagaimana 'puteri' hendak mengunyah makanan selama 7 tahun mendatang?

Saya bersihkan giginya hingga ke kebuk pulpa (kawasan yang mengandungi saraf dan salur darah yang telah mati. Bagi gigi susu, rawatan ini tidak menyakitkan jika telah 'mati'. Saya letakkan sedikit ubat di dalam kebuk pulpa tersebut dan tunggu beberapa saat. Ini bertujuan untuk membersihkan kebuk pulpa dan menghindari gigi daripada bernanah semula.

Pada hari ini saya telah memberikan tampalan kekal kerana tiada tanda gelaja kesakitan dirasai pesakit. Pesakit berasa giginya masih berada di dalam mulutnya....

Beberapa faktor perlu dipertimbangkan bagi memberikan rawatan seperti ini:
1. Umur pesakit
2. Jangka waktu gigi kekal tumbuh mengantikan gigi susu tersebut
3. Kerjasama pesakit (tidak menangis, meraung dan lain-lain)
4. Kebenaran ibu bapa
5. Penjagaan kebersihan mulut yang teratur

Selasa, 19 Mei 2009

Sakit Gigi

Semalam, saya ditemukan dengan seorang pesakit yang mengadu sakit gigi. Dia rasa macam ada 'lubang' dan bila melihat ke cermin, dia mendapati giginya berwarna hitam. Aduan lain, sakit di sebelah kiri, atas. Sakit terutama apabila makanan masuk ke dalam 'lubang' tersebut.

Apakah 'lubang' itu? Mengapa 'lubang' itu menyakitkan? 'Lubang' itu dikenali sebagai karies gigi. Karies merupakan salah satu penyakit pergigian. Kejadian dan perluasan karies gigi boleh dicegah dengan mengamalkan beberapa langkah pencegahan. Untuk memahami berbagai cara pencegahan, penyebab dan proses penyakit hendaklah benar-benar difahami.

Karies terjadi tanpa mengira usia, bangsa, status sosio-ekonomi, keadaan fizikal iaitu cacat atau normal mahupun di dunia bahagian mana mereka berada. Sejak mula gigi erupt di dalam rongga mulut, ia akan terdedah kepada faktor-faktor yang menyebabkan terjadinya karies.

Karies gigi melibatkan proses penghuraian tisu keras gigi iaitu enamel dentin dan simentum akibat dari tindakan asid. Asid ini dihasilkan oleh bakteria di dalam plak yang bertindak ke atas karbohidrat di permukaan gigi. Proses berlarutan dan memakan lama sehingga terbentuk kaviti pada permukaan gigi. Jika dibiarkan berlanjutan, ia akan melibatkan pulpa dan menimbulkan nanah.

Sabtu, 9 Mei 2009

Bagaimana jika tiada gigi atau gigi telah rosak?

Pastinya akan menyusahkan seseorang itu untuk makan, bertutur dan bersosial. Jika susah untuk makan, seseorang itu akan mengambil jalan mudah dengan makan makanan yang kurang zat. Apabila kurang zat diambil setiap hari, kesihatan badan akan terjejas. Ini menyebabkan seorang manusia itu tidak dapat melakukan aktiviti yang biasa dilakukan.


Gigi merupakan mutiara yang penting di dalam kehidupan kita. Jaga kesihatan gigi bermakna jaga kesihatan keseluruhan tubuh badan kita. Menurut WHO, Kesihatan Oral ditakrifkan sebagai pengekalan gigi sepanjang hayat iaitu mempunyai fungsi, kegigian asli dengan estetik yang baik, jumlah yang tidak kurang daripada 20 batang gigi, mempunyai kedudukan baik dari kanin ke kanin dan premolar dan tidak memerlukan gigi palsu.

Keadaan mulut yang sihat adalah mulut yang bebas daripada sebarang penyakit dan tidak kehilangan gigi pada usia yang muda.

FUNGSI GIGI

Gigi insisor berfungsi sebagai pemotong makanan. Gigi kanin mampu mengoyakkan makanan seperti daging. Gigi pramolar dan molar bertindak semasa mengunyah makanan iaitu menghancurkan makanan agar mudah dihadamkan oleh perut. Semua fungsi setiap gigi akan bekerjasama semasa proses pengunyahan berlaku ketika makan.

Sekiranya semua gigi molar telah hilang dari rongga mulut, anda masih boleh mengunyah kerana masih ada gigi premolar. Tetapi, jika gigi incisor dan kanin telah hilang, tiada penggantinya, maka anda sukar untuk makan.

Apabila anda menyebut huruf ‘S’ dan’L’, lidah akan terletak pada hujung gigi atas. Apa kata anda menyebut perkataan ‘selasa’ dan ‘selesa’. Ini bermakna gigi amat diperlukan untuk pertuturan. Sedarkah apabila bertutur, anda memerlukan gigi untuk menyebut beberapa huruf dan perkataan.

Bayangkan jika anda terlihat seseorang tersenyum dan senyuman itu kelihatan seperti ada sesuatu yang tidak kena. Kenapa? Anda akan lihat gigi bukan?.... Jadi, gigi juga memperlihatkan senyuman yang menawan kepada seseorang. Mungkin anda terlihat tompok-tompok hitam pada gigi. Mungkin tiada gigi, terutama gigi hadapan. Atau…gigi berkilat seperti memakai gigi palsu…. Mungkin ya, mungkin tidak. Apa yang pasti gigi mempengaruhi personaliti kita.

PERUBAHAN PERGIGIAN

Bagaimana gigi kekal menggantikan gigi desidus? Contoh berpandukan gigi incisor. Sebenarnya benih gigi kekal dan gigi desidus telah mula berada di dalam rahang seorang manusia dari sejak usia pembentukannya di dalam kandungan ibu. Gigi desidus mula proses pembentukannya sejak kandungan ibu 6 bulan. Ketika pembentukan gigi desidus hamper siap akarnya, benih gigi kekal telah mula proses pembentukkannya sejak bayi berumur 6 bulan.

JENIS KEGIGIAN

Terdapat 2 jenis kegigian untuk setiap manusia iaitu kegigian susu (desidus) dan kegigian kekal. Seawal umur 6 bulan, gigi susu akan tumbuh. Biasanya gigi hadapan bawah. Begitu juga seawal umur 6 tahun, gigi kekal hadapan bawah akan menggantikan gigi susu walaupun tidak rosak.

Kegigian susu terdiri daripada 8 batang gigi hadapan (kacip/insisor), 4 batang gigi taring (taring/kanin) dan 8 batang gigi geraham (molar). Jumlah gigi susu yang ada di dalam rongga mulut seorang kanak-kanak adalah 20 batang gigi.

Manakala kegigian kekal terdiri daripada 8 batang gigi hadapan (kacip/insisor), 4 batang gigi taring (taring/kanin), 8 batang gigi geraham kecil (pramolar) dan 12 batang gigi geraham besar (molar). Jumlah keseluruhan gigi kekal yang hadir di dalam mulut seorang dewasa adalah 32. Walau bagaimanapun, gigi geraham besar yang ketiga jarang kelihatan bagi populasi manusia zaman ini. Biasanya gigi ini hanya tertanam dalam rahang dan tidak akan keluar jika tiada kesakitan berlaku.

KENALI KEGIGIAN KITA

Gigi merupakan suatu struktur yang amat kuat. Kekuatannya menyamai tulang kerana ia dibentuk daripada kalsium. Tulang berperanan sebagai tempat pelekatan otot dalam pembentukan tubuh manusia tetapi gigi berfungsi semasa makan dan bertutur. Ia juga merupakan satu aset penting dalam kecantikan seseorang. Susunan gigi yang cantik akan menerbitkan senyuman yang menawan. Kepentingan penjagaan gigi adalah bermula dengan mengenali berkenaan dengan struktur gigi kita.